Thursday, July 28, 2011

Masalah `Siling Hutang’ di Amerika: Apakah iktibarnya?

Satu istilah yang sedang hangat diperbincangkan sekarang di serata dunia ialah Debt Ceiling atau ‘Siling Hutang’. Istilah ini merujuk kepada jumlah hutang maksimum yang dibenarkan oleh Kongres Amerika yang boleh dipinjam oleh badan eksekutif kerajaan Amerika yang sekarang dipimpin oleh Presiden Obama.

Untuk memahami masalah yang dihadapi oleh Presiden Obama sekarang berkaitan isu ini, adalah perlu bagi kita terlebih dahulu memahami satu ciri penting sistem politik Amerika yang tidak terdapat di kebanyakan negara lain seperti Britain dan Malaysia. Ciri penting ini dikenali sebagai konsep Separation of Powers atau ‘Pemisahan Kuasa’. Menurut konsep ini, terdapat pemisahan yang jelas antara tiga institusi pemerintahan negara iaitu badan Eksekutif (Executive), Legislatif (Legistlative yang berbentuk parlimen di Malaysia) dan Kehakiman (Judiciary). Ia berbeza dengan sistem politik yang diamalkan di Britain dan Malaysia di mana TIDAK terdapat pemisahan kuasa antara badan-badan legislatif dan badan eksekutif. Hal ini kerana di Malaysia, parti yang memenangi pilihan raya akan menjadi majoriti dalam parlimen dan pada masa yang sama akan membentuk badan eksekutif yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri. Oleh yang demikian, segala perancangan oleh badan eksekutif tidak akan menghadapi masalah untuk mendapat kelulusan daripada parlimen.

Keadaan seperti ini tidak berlaku di Amerika kerana pilihan raya pesiden (ketua badan eksekutif di Amerika) adalah terasing daripada pilihan raya bagi keahlian Kongresnya. Oleh yang demikian, wujud kemungkinan bahawa presiden yang dipilih adalah dari parti yang berbeza daripada parti yang menjadi majoriti dalam Kongres. Sebenarnya inilah yang sedang berlaku di Amerika di mana presidennya iaitu Barack Obama adalah dari parti Demokrat sedangkan Kongres, khususnya House of Representative adalah di bawah kawalan parti Republikan.

Apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin parti Republikan di Kongres sedang menyekat usaha Obama untuk memperoleh sumber dana dengan cara menambahkan jumlah hutang kerajaan. Sebenarnya tindakan meminjam oleh kerajaan Amerika bukanlah perkara yang ganjil atau tidak pernah berlaku. Bahkan disebabkan sumber pendapatan Amerika daripada pencukaian sentiasa tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan kerajaan (yakni belanjawan defisit), maka kerajaan Amerika telah lama terpaksa bergantung kepada pinjaman. Namun apa yang telah berlaku ialah pinjaman kerajaan Amerika sudah mencapai tahap yang terlalu tinggi. Dalam masa 12 bulan dari Jun 2010 sehingga Jun 2011, kerajaan Amerika telah meminjam sebanyak USD1.3 trilion sementara jumlah hutang terkumpul sudah meningkat menjadi USD14.3 trilion. Jumlah ini merupakan ‘siling hutang’ yang telah ditetapkan oleh Kongres Amerika sebelum ini dan oleh itu kelulusannya untuk meningkatkan siling hutang ini adalah perlu jika kerajaan Amerika ingin melaksanakan rancangannya untuk menambahkan pinjaman.

Namun pemimpin parti Republikan di Kongres telah memaklumkan kepada Obama bahawa syarat utama yang mesti dipatuhi sebelum kebenaran diberikan untuk siling ini ditingkatkan ialah tiada penambahan kepada cukai yang dikenakan kepada rakyat serta pengurangan perbelanjaan kerajaan secara radikal. Sudah tentu ia adalah syarat yang sukar diterima oleh pentadbiran Obama kerana salah satu daripada perjuangan parti Demokrat adaah untuk memastikan terdapat pengagihan kekayaan daripada golongan kaya kepada golongan miskin melalui proses percukaian.

Jika Kongress Amerika masih tidak membenarkan siling hutang dinaikkan dan dengan itu menyekat kerajaan Amerika daripada memperoleh sumber dana, maka menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika, pada 2 Ogos nanti, kerajaan Amerika akan kehabisan dana untuk membayar bil yang berjumlah USD134 bilion (atau 44% daripada jumlah semua bil) pada masa yang telah dijanjikan. Menurut penganalisis kewangan, jika perkara ini berlaku akan terdapat kesan yang besar kepada ekonomi Amerika. Ini disebabkan kerajaan Amerika akan mengalami kes ‘Debt Default’ yang akan mengurangkan keyakinan pasaran kewangan kepada keupayaan kerajaan Amerika untuk membayar hutangnya pada masa hadapan. Kos pinjaman (atau bunga) kepada hutang akan meningkat dan dengan itu rakyat Amerika akan terpaksa berkerja lebih kuat untuk membantu kerajaannya menjelaskan hutang-hutang akan datang. Ekonomi Amerika juga besar kemungkinan akan meleset dan oleh yang demikian lebih banyak firma akan menghadapi masaalah kewangan dan lebih ramai lagi rakyatnya akan dibuang kerja.

Tetapi adakah masalah ini semua akan dapat dielakkan jika ‘siling hutang’ dibenarkan oleh Kongres untuk ditingkatkan? Sudah tentu tidak. Hakikatnya ialah hutang kerajaan Amerika sekarang adalah tersangat tinggi dan peningkatan ’siling hutang’ hanya bermakna bahawa jumlah hutang kerajaan Amerika akan dapat dipertingkatkan dengan mudah. Ia juga bermakna beban hutang kerajaan (yang juga bermakna beban hutang rakyat) akan menjadi bertambah besar pada masa hadapan.

Jelaslah kepada kita bahawa perdebatan dan perbincangan berkenaan masalah ‘siling hutang’ hanya menarik perhatian masyarakat Amerika daripada masalah yang lebih besar iaitu beban hutang yang besar, yang sudah tentu tidak akan mampu dibayar oleh mereka. Di samping itu juga, perbincangan masalah ‘siling hutang’ lebih menarik perhatian daripada perbincangan berkenaan punca utama kepada masalah iaitu amalan riba dan industri hutang yang masih berleluasa. Sebenarnya selagi amalan riba tidak dihapuskan oleh masyarakat Amerika dan industri hutang dibiarkan hidup dan maju, masalah hutang negara tersebut tidak akan dapat diselesaikan.

Persoalannya, adakah masyarakat Malaysia peka tentang apa yang berlaku di Amerika dan mampu untuk memperoleh iktibar atau pengajaran yang betul? Sedarkah kita bahawa belanjawan kita tiap-tiap tahun, seperti di Amerika, juga sentiasa dalam keadaan defisit? Sedarkah kita bahawa hutang terkumpul kerajaan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun? Sedarkah kita bahawa hutang kerajaan yang pada tahun 1970 berjumlah hanya lebih kurang RM1 bilion telah bertambah dengan begitu cepat dan sekarang hampir mencecah RM500 bilion?

Akhir sekali kita juga harus sedar bahawa disebabkan badan legislatif Malaysia (yakni Parlimen) tidak akan menyekat badan eksekutif kerajaan Malaysia daripada menambah hutangnya, maka besar kemungkinan hutang kerajaan Malaysia akan terus meningkat dari tahun ke tahun tanpa kawalan. Tambahan pula kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang sedang diasak teruk oleh pihak pembangkang dan oleh yang demikian adalah sangat perlu bagi kerajaan BN meningkatkan pinjaman untuk memastikan ia mempunyai dana yang cukup untuk `menyelesakan’ kehidupan rakyat sekali gus menumpulkan hujah-hujah pembangkang. Dengan cara ‘menyelesakan kehidupan’ rakyatlah parti pemerintah akan terus popular dan akan terus menang dalam pilihan-pilihan raya yang akan datang. Cuma hutangnya sahaja akan terus bertambah-tambah.

Walaupun isu ‘siling hutang’ tidak akan timbul di negara kita, namun masalah atau krisis hutang yang besar ini juga akan dihadapi oleh kita dan sudah tentu juga akan menjadi terlampau rumit untuk diselesaikan. Sudah tentu satu hari nanti kita semua akan menyedari betapa seriusnya masalah yang kita hadapi. Yang menjadi kebimbangan ialah pada ketika itu keadaan sudah mencapai tahap ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Saturday, July 23, 2011

Keadilan yang menyeluruh prasyarat keamanan negara

Baru-baru ini bandar raya KL telah menyaksikan satu suasana yang jarang-jarang dilihat. Puluhan ribu rakyat turun membanjiri jalan dan lorong untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka tentang proses pilihan raya di negara kita dengan menyokong perhimpunan aman yang dianjurkan oleh BERSIH 2.0. Gas pemedih mata diletupkan dan air yang mengandungi kimia disembur oleh pihak polis untuk memaksa penunjuk perasaan bersurai.

Namun ramai yang tetap degil dan enggan meninggalkan lokasi. Lebih daripada seribu orang ditangkap. Insiden ini berlaku walaupun pihak berkuasa beberapa hari sebelum itu telah cuba sedaya upaya untuk menakutkan penunjuk perasaan supaya tidak hadir dengan cara mengeluarkan notis amaran kepada pekerja kerajaan dan pelajar serta orang awam dengan menguar-uarkan perhimpunan tersebut sebagai haram.

Jelaslah bahawa jika sebahagian besar rakyat merasakan bahawa keadaan yang tidak adil wujud dalam masyarakat, maka sukar bagi pemerintah untuk mengawal mereka. Jika pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan tindakan untuk memenuhi lapan permintaan BERSIH 2.0 itu, maka persepsi negatif terhadap proses pilihan raya akan terus kekal dan sudah pasti kita akan menyaksikan BERSIH 3.0 pula.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa adalah amat penting untuk memastikan rakyat keseluruhannya merasakan bahawa mereka telah mendapat keadilan dalam kehidupan mereka. Perasaan marah yang muncul apabila merasakan bahawa diri telah dizalimi adalah naluri tabiat manusia. Cuma ada yang berjaya mengawal dengan baik supaya tindak balas mereka tidak melampau batasan agama dan undang-undang sementara ada yang lain tidak berjaya. Jika golongan yang tidak berjaya ini besar, maka kemungkinan keganasan dan tindak-tanduk liar berlaku adalah sangat tinggi dan ini akan merugikan semua pihak.

Sebenarnya perkara ini bukannya susah untuk disedari. Keadaan sebegini sudah acap kali berlaku di negara-negara lain termasuk di Iran pada tahun 2010 yang mengorbankan lebih kurang 150 nyawa (berdasarkan laporan CNN). Mereka yang merusuh adalah penyokong Mir Hossein Mousavi yang merasakan bahawa kekalahan calon yang mereka sokong adalah hasil daripada penipuan parti pemerintah di bawah pimpinan Mahmud Ahmadinejad.

Di Kenya keadaan yang sama turut berlaku pada tahun 2008 yang melibatkan kematian berjumlah lebih kurang 800 orang. Apa yang menarik perhatian ialah jumlah kematian yang begitu tinggi di Kenya. Faktor utamanya ialah sentimen perkauman yang sangat kuat khususnya kebencian yang meluap-luap terhadap kaum Kikuyu yang dianggap mempunyai pengaruh yang berlebihan.

Namun bukan semua rusuhan berlaku kerana tanggapan keadilan dalam proses pilihan raya sahaja. Sebagai contoh, di Rwanda, insiden keganasan yang berlaku pada tahun 1994 tidak langsung berkait dengan proses pilihan raya, tetapi akibat dariada beberapa faktor lain. Akhirnya telah berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang mengorbankan hampir 1 juta nyawa atau lebih kurang 20% daripada jumlah penduduk negara Rwanda.

Punca utama tragedi itu ialah tanggapan wujudnya ketidakadilan dari segi pengaruh politik dan ekonomi kaum minoriti Tutsi berbanding kaum majoriti Hutu. Sudah tentu mangsa yang terkorban adalah kebanyakannya dari kaum Tutsi. Namun ramai dari bangsa Hutu sendiri yang tidak bersetuju dengan keganasan yang dilakukan terhadap kaum Tutsi turut menjadi mangsa pembunuhan kerana dilihat sebagai pembelot kepada bangsa.

Kita mungkin merasakan bahawa rusuhan yang berkaitan dengan suasana ketidakadilan ini hanya berlaku di negara mundur atau kurang maju di Afrika, Amerika Selatan, Timur Tengah dan Asia. Namun ia sebenarnya tidak benar.

Sebagai contoh, semenjak tahun lepas hingga sekarang, berlaku rusuhan yang ganas di Greece walaupun proses pilihan rayanya dianggap sebagai telus dan adil. Rusuhan yang berlaku itu pula tiada kaitan langsung dengan semangat perkauman kerana di Greece tidak wujud suasana konflik antara kaum yang ketara.

Punca utama rusuhan ialah tanggapan wujudnya suasana ketidakadilan terhadap rakyat umum oleh golongan yang berkuasa atau berpengaruh. Hal ini timbul kerana keadaan kegawatan ekonomi yang teruk sedang melanda Greece akibat hutang kerajaan yang sangat tinggi, yang sekarang ini berjumlah lebih daripada US485 bilion.

Ketidakupayaan kerajaan Greece menanggung beban hutang ini memaksanya mengambil langkah penjimatan yang drastik, yang antara lain melibatkan peningkatan berbagai jenis cukai, pemotongan pelbagai jenis perbelanjaan sektor awam termasuk pemotongan gaji pekerja sektor awam, pemotongan subsidi kesihatan, pemotongan peruntukan untuk sekolah-sekolah dan pemotongan bantuan kewangan kepada golongan miskin.

Kerajaan Greece juga telah membuang pekerja kontrak sementara secara serta-merta serta menjual aset-aset negara. Sudah tentu langkah-langkah ini menyebabkan ramai yang hilang perkerjaan di samping mengalami kesengsaraan yang dahsyat. Inilah yang membuatkan mereka marah kepada kerajaan dan kepada golongan yang pernah berkuasa di Greece sebelum ini. Pada tanggapan mereka, rakyat biasa yang tidak berdosa telah menjadi mangsa kepada kerakusan golongan tersebut.

Suasana di Greece juga sedang berlaku di Sepanyol, di Ireland dan mungkin juga di Portugal dalam masa yang terdekat kerana semua kerajaan negara tersebut sedang menghadapi beban hutang yang tinggi.

Sebagai rumusan, adalah tersangat penting bagi kerajaan memastikan bahawa rakyat mempunyai persepsi bahawa proses pilihan raya di Malaysia adalah adil dan telus. Namun ini sahaja tidak mencukupi. Kesejahteraan masyarakat bukan sahaja bergantung kepada proses pilihan raya yang adil semata-mata tetapi juga kepada sistem politik yang adil, sistem perundangan yang adil, sistem sosial yang adil, sistem ekonomi yang adil, sistem kekeluargaan yang adil, sistem pendidikan yang adil dan berbagai-bagai lagi sistem lain yang adil.

Oleh itu amat jelaslah kepada kita bahawa penyelesaian jangka panjang tidak lain dan tidak bukan adalah melaksanaan syariah Islam secara menyeluruh kerana hanya dengan cara itulah sahaja kita dapat menjamin semua perkara yang disebutkan di atas akan berlaku. Tambahan pula langkah permulaan proses perubahan yang panjang ini adalah mewujudan individu-individu Muslim yang ramai, yang telah dididik (ditarbiah) supaya mereka bukan sahaja mempunyai keinginan yang kuat untuk melihat pelaksanaan syariah dalam masyarakat, tetapi juga mempunyai jiwa yang ikhlas, yang sentiasa memeriksa diri supaya tidak menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa, serta sentiasa beramal secara adil kepada ibu bapa, ahli keluarga, jiran, kawan dan kepada masyarakat umum, hatta termasuk juga kepada pemerintah yang tidak berlaku adil kepada mereka.

Add comment