Monday, September 21, 2015

PROTES KUNING - MERAH : PUNCA DAN IMPLIKASI
Prof. Mohd Nazari Ismail, Phd.
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

Baru-baru ini kita telah menyaksikan dua perhimpunan besar di bandaraya Kuala Lumpur. Perhimpunan pertama terdiri dari mereka yang berbaju kuning yang menuntut supaya wujudnya pilihanraya yang adil dan bebas, kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, menguatkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara. Perhimpunan yang kedua oleh yang berbaju merah pula agak sukar difahami objektifnya kerana tidak dinyatakan secara jelas. Namun ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah kombinasi reaksi membantah perhimpunan pertama serta memberi amaran kepada kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina supaya menghormati status ketuanan Melayu di Malaysia.
Walaupun objektif kedua-dua perhimpunan adalah sangat berbeza, namun pada pengamatan saya pula, satu faktor utama yang mencetuskan perhimpunan di atas, yang mungkin disedari hanya oleh sebahagian kecil dari mereka yang berhimpun, adalah masalah ekonomi yang dihadapi oleh mereka sendiri. Ini kerana kebiasaanya, apabila rakyat merasa selesa dengan kehidupan mereka, mereka menjadi tidak sensitif terhadap aspek penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin. Begitu juga perasaan negatif terhadap bangsa lain tidak akan menjadi kuat jika masyarakat dalam keadaan selesa dan mewah. Namun demikian, keadaan akan berubah jika rakyat merasa tertekan dengan kesempitan hidup akibat beban kewangan yang tinggi dalam menjalani kehidupan harian.
Terdapat beberapa bukti kepada analisis ini. Di Amerika Syarikat, pada dekad-dekad sebelum ini, amat jarang sekali kita melihat perhimpunan berbentuk protes secara besar-besaran kecuali perhimpunan gerakan hak sivil untuk memberikan hak yang lebih kepada golongan kulit hitam yang tertindas dan juga protes terhadap penglibatan Amerika Syarikat di dalam perang Vietnam. Namun dalam dua dekad terakhir ini, telah berlaku beberapa perhimpunan protes terutama sekali di sekitar lokasi mesyuarat institusi kewangan IMF atau WTO. Contoh yang terbaik adalah protes yang agak ganas terhadap WTO di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun 1999.
Satu lagi adalah perhimpunan `Gerakan Occupy’ (Occupy Movement) di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat yang bermula di Zuccotti Park di bandaraya New York pada 17 September 2011 dengan gelaran gerakan `Occupy Wall Street’. Perhimpunan ini telah disusuli dengan perhimpunan yang sama di beberapa bandaraya lain di seluruh dunia. Isu pokok yang ditekankan ialah kewujudan ketidakadilan keadaan sosio-ekonomi (social and economic inequality) di dalam masyarakat. Ungkapan yang digunakan oleh pendemonstrasi ialah `We are the 99%’ yang merujuk kepada keadaan di mana dirasakan 99 peratus rakyat hidup dalam kesusahan dan hanya 1 peratus yang hidup dalam kesenangan. Beberapa perhimpunan berbentuk `Occupy’ ini juga berlaku di Eropah seperti `Occupy London’ pada tahun 2012 yang berpusat di luar St Paul’s Cathedral.
Di Timur Tengah, fenomena protes ini juga telah berlaku dengan gelaran `Arab Spring’. Ianya tercetus pada tahun 2010 di Tunisia apabila seorang pemuda yang berasa begitu kecewa dengan kesempitan hidupnya telah dizalimi oleh pihak polis telah membakar dirinya sehingga mati. Protes besar-besaran yang menyusul berjaya menggulingkan pemerintah negara tersebut. Sementara di Mesir pula kemuncaknya ialah kejatuhan Presiden Mubarak pada tahun 2013. Faktor utama kenapa begitu ramai pendemonstrasi di Mesir sanggup bersabung nyawa menentang pemerintah yang zalim ialah kerana keperitan hidup terutama sekali pengangguran di kalangan pemuda dan pemudi. Punca yang sama jugalah telah berjaya menggulingkan Muammar Gaddafi di Libya kerana di negara tersebut, bukan sahaja wujud seorang pemerintah yang zalim bahkan juga kadar pengangguran yang tinggi di kalangan pemuda iaitu sekitar 50%. Di Mesir pemimpin yang dilahirkan oleh revolusi iaitu Presiden Morsi telah dirampas kuasanya secara haram oleh Presiden As Sisi. Namun demikian, ramai yang meramalkan As Sisi akan menghadapi revolusi yang kedua kerana keadaan ekonomi Mesir yang begitu tenat dan kadar pengangguran yang tinggi terutamanya di kalangan pemuda.
Sebenarnya masalah ekonomi dan masalah kos kehidupan serta masalah pengangguran adalah masalah global, ianya berlaku di hampir kesemua negara di dunia. Bahkan ianya lebih meruncing di negara-negara berpendapatan tinggi seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun. Begitu juga negara jiran kita iaitu Singapura yang dilihat sebagai negara termaju di Asia Tenggara. Sebagai contoh, kos perumahan di Singapura adalah sangat tinggi dengan sewaan HDB flat (iaitu jenis kediaman paling murah di Singapura) boleh meningkat kepada lebih dari RM7,000 sebulan. Pendapatan di Singapura bukanlah tinggi sangat berbanding kos kehidupan rakyatnya. Sebagai contoh, pendapatan guru adalah hanya lebih kurang RM8 ribu sebulan. Ini bermakna hampir keseluruhan pendapatan guru akan dihabiskan dengan pembayaran sewa. Di Tokyo pula, kadar sewaan apartmen satu bilik adalah lebih dari RM10 ribu sebulan. Jelaslah kepada kita bahawa masalah kesempitan hidup ini adalah masalah global dan dihadapi oleh hampir kesemua negara. Ironinya negara yang berpendapatan tinggi adalah yang paling tertekan, terutama sekali apabila kadar penganggurannya adalah tinggi.
Apa yang dapat dirumuskan ialah punca masalah kesempitan hidup rakyat bukannya kerana pendapatan per kapita yang rendah atau kezaliman pemimpin semata-mata. Sebenarnya punca masalah tersebut adalah sistem kewangan negara yang berkembang dengan cepat akibat penciptaan matawang dengan banyak melalui penciptaan kredit. Apabila sektor kewangan berkembang, sektor ini akan memberikan hutang kepada kerajaan, sektor swasta dan isi rumah dengan banyak. Ekonomi negara akan berkembang pesat pada mulanya. Namun demikian, lambat laun masalah akan timbul kerana kos kehidupan akan bertambah dan dalam masa yang sama tahap hutang juga meningkat. Kesannya ialah inflasi yang sentiasa meningkat sementara tahap hutang semakin tinggi. Sebagai contoh, di Malaysia jumlah hutang isi rumah berbanding KNK adalah hanya 57% pada tahun 2002. Pada tahun 2013 peratusannya meningkat menjadi 87%. Pada akhir tahun 2008, jumlah hutang isi rumah di negara ini ialah RM465 billion dan pada akhir tahun 2014 ianya telah meningkat menjadi RM940 billion. Tahap gaji pula tidak akan meningkat pada kadar yang sama dengan inflasi kerana kebanyakan firma mempunyai bebanan hutang yang tinggi di samping menghadapi tekanan persaingan yang sengit dari firma pesaing yang lain yang juga menghadapi tekanan hutang yang tinggi.
Persoalannya mengapakah di negara kita ramai yang berasa marah kepada kerajaan sementara di negara-negara barat kemarahan telah ditujukan kepada sektor kewangan? Jawapannya ialah rakyat negara ini yang tertekan akan mencari tempat untuk melepaskan kemarahan mereka. Oleh kerana wujud masalah ketidakadilan, penindasan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin maka rakyat merasakan itulah punca utamanya. Kebanyakan mereka tidak faham akan peranan sistem kewangan dalam mengakibatkan mereka mengalami kesempitan hidup. Sebaliknya di negara barat, masalah salah guna kuasa dan rasuah adalah tidak begitu serius. Tahap ketelusan dalam pentadbiran negara adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat semua rakyat tahu apakah pendapatan Presiden Obama setahun serta harta pemilikan beliau. Mereka juga diberi hak untuk mengetahui kenapa sesebuah syarikat mendapat kontrak kerajaan. Oleh sebab itulah protes yang berlaku di barat ditujukan kepada institusi kewangan dan tidak kepada pemerintah. Sebaliknya di negara kita, tahap ketelusan adalah rendah. Ditambah pula dengan pendedahan kisah penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang sangat meluas, terutama di alam maya dan kerajaan pula telah gagal meyakinkan rakyat bahawa kisah tersebut adalah palsu atau tidak benar.
Akibatnya di Malaysia sebahagian besar dari rakyat merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah semata-mata akibat dari penyalahgunaan kuasa pemimpin Barisan Nasional. Malangnya reaksi pemimpin Barisan Nasional juga tidak membantu. Mereka sepatutnya memberikan maklumat dengan lebih terperinci untuk membuktikan bahawa mereka tidak menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, mereka dilihat menggunakan kuasa untuk menutup kisah-kisah yang telah dibongkarkan. Contohnya dalam kes 1MDB, pegawai penyiasat telah disekat atau dipindahkan sementara Peguam Negara telah dipecat dari jawatannya. Isu perkauman pula telah digunakan untuk menarik perhatian rakyat daripada isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih penting untuk dibincangkan. Sudah tentu ramai yang tidak yakin bahawa bangsa Cina adalah punca kepada semua permasalahan negara. Namun akan wujud juga segelintir yang senang terpedaya dan merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah akibat dari tindak tanduk kaum Cina yang dilihat semakin berani mencabar hak istimewa orang Melayu.
Taktik menggunakan sentimen perkauman ini adalah taktik biasa pemimpin yang sudah kehabisan modal untuk berhujah secara rasional. Malangnya sentimen kaum adalah sesuatu yang menyentuh emosi dan oleh itu mudah mendapat sambutan segelintir rakyat, terutama sekali dari kalangan yang tidak berfikiran kritikal, atau kurang terdedah kepada maklumat di alam maya atau siber. Adalah diharapkan taktik pemerintah untuk memanipulasi pemikiran mereka ini tidak akan berjaya kerana sekiranya ia berjaya, ia bakal menimbulkan suasana kekecohan yang sangat merbahaya kepada kestabilan politik negara di masa akan datang.
Berdasarkan perkembangan tersebut, adalah jelas negara ini berpotensi menghadapi keadaan yang getir dan merbahaya di masa akan datang jika isu perkauman ini terus dimainkan. Di Rwanda pada tahun 1994, rakyat telah dimanipulasikan oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan konflik perkauman yang dahsyat yang mengakibatkan hampir satu juta penduduknya terkorban. Adalah tidak mustahil konflik seperti ini boleh berlaku di negara kita, jika suasana ekonomi menjadi bertambah tenat sementara pemimpin semakin ghairah meniup api perkauman. Untuk mengelakkan senario yang dahsyat ini dari berlaku, masyarakat Malaysia perlu memastikan beberapa perkara penting seperti berikut diwujudkan di negara kita:
1. Sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus. Ini kerana dalam keadaan tersebut, perbincangan boleh dilakukan dengan bebas untuk memastikan pendapat yang baik dan bernas dapat dikeluarkan dan menjadi input kepada polisi negara yang akan menjamin kesejahteraan rakyat. Di samping itu, rakyat juga akan berasa tidak dizalimi dan manipulasi sentimen kaum akan dapat dibenteras daripada awal lagi. Sudah tentu sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus akan memastikan negara akan mendapat pemimpin yang amanah dan ikhlas dan bukannya pemimpin yang khianat dan mementingkan diri sendiri.
2. Sistem ekonomi yang bebas dari amalan riba. Dengan cara itu kadar inflasi akan menurun, kos kehidupan akan terkawal, beban hutang dalam masyarakat akan menurun, tahap persaingan antara firma juga akan menurun, syarikat sederhana dan kecil akan bertambah dan peluang pekerjaan juga akan bertambah.
3. Sistem nilai masyarakat yang berasaskan kepada ajaran agama dan tidak menekankan aspek material semata-mata. Dengan cara itu, kadar kepenggunaan (consumption) akan terkawal, dan masyarakat tidak akan mempunyai gaya hidup yang suka berhutang dan oleh yang demikian sistem Riba tidak akan dapat berkembang.
Perlaksanaan kesemua perkara di atas memerlukan banyak usaha dan pengorbanan, terutama sekali dari mereka yang menggelar diri mereka sebagai pendakwah yang sedang berusaha mewujudkan sebuah negara rahmah. InshaAllah usaha ini akan berjaya dan generasi akan datang akan hidup dalam keadaan yang makmur dan selamat di dunia dan juga akhirat.