Wednesday, August 4, 2021

Covid dan Krisis Hutang

Covid dan Krisis Hutang (Artikel in akan diterbitkan oleh majalah Dewan Ekonomi pada bulan September). Prof Mohd Nazari Ismail Universiti Malaya Pandemik Covid yang melanda negara semenjak dari bulan Mac 2020 masih bersama kita sehingga kini. Pada ketika artikel ini ditulis, iaitu pada 12 Julai 2021, jumlah kes aktif baru adalah melebihi 9 ribu orang manakala jumlah kematian pula sudah melepasi 6 ribu orang walaupun kerajaan telah melaksanakan PKP yang ketiga di seluruh negara bermula pada 10 Mei 2021. Selain itu juga, walaupun ramai rakyat Malaysia kini sudah divaksinasikan, namun virus Covid masih terus merebak dan terkini varian virus baru Delta yang dikatakan lebih berbahaya telah menjadi punca peningkatan kes di Malaysia. Virus tersebut bukan sahaja berjangkit dengan mudah bahkan juga dapat mengatasi kesan vaksinasi. Dalam erti kata yang lain, kita masih tidak pasti bilakah pandemik ini akan berakhir. Namun, satu perkara yang pasti berlaku akibat daripada pandemik ini ialah masalah kenaikan beban hutang kerajaan. Ini kerana kerajaan-kerajaan di seluruh dunia telah berbelanja dengan begitu banyak dalam usaha mengawal jangkitan Covid serta mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi akibat daripada pandemik tersebut. Strategi utama yang digunakan adalah pakej rangsangan ekonomi di mana kerajaan akan memberikan pelbagai bantuan kewangan kepada pelbagai kategori masyarakat termasuk organisasi perniagaan. Akan tetapi, oleh kerana hampir kesemua kerajaan sudah dibebani dengan beban hutang sebelum ini, maka mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa menambahkan lebih banyak hutang kepada jumlah hutang sedia ada, langkah ini sekaligus membuatkan keadaan keberhutangan kebanyakan negara menjadi semakin tenat. Sebagai contoh, dalam usaha menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat yang telah terjejas teruk akibat langkah penutupan ekonomi pada tahun 2020, pentadbiran Trump dan Bank Pusat Amerika (Federal Reserve) telah berbelanja lebih daripada AS$ 6 trilion (RM24 trilion). Ini mengakibatkan defisit belanjawan kerajaan melonjak naik daripada AS$ 1.1 trilion (RM4.4 trilion) menjadi AS$ 3.7 trilion (RM14.8 trilion) bagi tahun fiskal 2020. Presiden Biden yang telah mengambil alih pentadbiran Amerika pada awal tahun 2021 juga telah melaksanakan langkah perbelanjaan tambahan berjumlah AS$ 1.9 trilion (RM 8 trillion). Akibatnya, jumlah hutang kerajaan Amerika pada pertengahan tahun 2021 ialah hampir AS$ 29 trilion. Nisbah hutang kepada KDNK meningkat menjadi 127% iaitu jauh melebihi tahap 85% yang dikatakan oleh kebanyakan ahli ekonomi sebagai tahap bahaya yang boleh menyebabkan krisis ekonomi. Krisis berpotensi berlaku kerana apabila hutang kerajaan berlebihan, ia akan mengakibatkan kenaikan beban pembayaran faedah. Sehubungan itu, kerajaan terpaksa menaikkan kadar cukai serta mengurangkan perbelanjaan. Oleh kerana perbelanjaan kerajaan merupakan pemacu utama ekonomi, sebarang pengurangan perbelanjaan akan mengakibatkan penguncupan ekonomi yang serius. Situasi serupa juga sedang dihadapi oleh kerajaan Britain. Hutang kerajaan Britain telah meningkat daripada GBP 1.87 trilion pada bulan April 2020 menjadi GBP 2.19 trillon pada bulan Mei 2021. Hutang kerajaan Britain berbanding KDNK sekarang ini adalah hampir 100%, iaitu yang paling tinggi semenjak Perang Dunia Kedua. Di Malaysia, jumlah hutang kerajaan juga dijangka meningkat daripada tahap semasa. Masalahnya agak rumit kerana perselisihan pendapat mengenai jumlah sebenar tahap hutang kerajaan berikutan kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya 2018. Pada tahun tersebut, kerajaan Barisan Nasional menyatakan bahawa nisbah hutang kepada KDNK kerajaan adalah 50.8%, iaitu di bawah had maksimum 55%. Namun setelah mengambil alih, pemerintah PH menegaskan bahawa peratusan tersebut tidak tepat kerana tidak mengambil kira jaminan kerajaan ke atas hutang beberapa organisasi milik kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Ia disebut hutang di luar belanjawan dan jika kesemuanya ini dimasukkan, jumlah hutang awam Malaysia kepada KDNK pada masa itu sebenarnya telah melebihi 80%. Apa yang pasti kini ialah jumlah hutang kerajaan terus meningkat berikutan langkah kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk mengatasi masalah yang disebabkan oleh wabak Covid-19. Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa pemerintahan pada buan Mac 2020, pakej bantuan kewangan kepada rakyat berjumlah RM 380 bilion telah diumumkan. Namun, oleh kerana kesengsaraan rakyat masih berterusan, kerajaan Malaysia telah mengumumkan satu lagi pakej bantuan berjumlah RM150 bilion pada akhir Jun 2021. Sebanyak RM10 billion adalah bantuan tunai langsung kepada rakyat merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dalam bentuk bantuan tunai, subsidi upah dan bantuan kepada mereka yang hilang perkerjaan. Di samping itu, RM4.6 bilion adalah Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebagai bantuan langsung kepada 11 juta rakyat yang terkesan akibat Covid dan RM1 billion untuk membiayai program vaksinasi. Akibat daripada kesemua perbelanjaan di atas, jumlah hutang kerajaan sudah tentu akan meningkat lagi. Pada tahun 2019, pembayaran faedah tahunan hutang kerajaan Malaysia adalah sekitar RM28 bilion. Bagi tahun yang akan datang, jika mengambilkira hutang di luar belanjawan dan juga hutang tambahan yang timbul daripada pakej rangsangan ekonomi Covid-19, kemungkinan besar pembayaran faedah akan menghampiri angka RM40 bilion setahun. Jika dilihat daripada pendapatan kerajaan melalui cukai, didapati kutipan cukai melalui GST pada tahun 2017 adalah hanya RM44.03 bilion. Walaupun GST adalah sistem percukaian yang menyeluruh dan sangat efisien untuk menjana pendapatan negara, namun pendapatan tersebut tidak cukup untuk perbelanjaan mengurus dan membayar faedah terhadap hutang negara. Tambahan pula setelah GST dihapuskan oleh kerajaan PH pada tahun 2018 dan digantikan oleh SST, pendapatan daripada hasil cukai bagi kerajaan juga telah berkurangan. Bahkan kutipan SST pada tahun 2020 hanyalah RM24.5 bilion. Oleh kerana aktiviti ekonomi negara kini telah berkurangan akibat Covid-19, kutipan cukai kerajaan pada tahun 2021 juga diramalkan terus menurun. Ringkasnya, kerajaan Malaysia akan menghadapi cabaran yang sangat sukar pada masa akan datang untuk menjelaskan hutangnya. Implikasi paling penting daripada keadaan ini ialah kerajaan mungkin perlu meningkatkan kutipan cukai atau mengurangkan perbelanjaan, atau mungkin kedua-duanya sekali dalam usaha mengurangkan atau melunaskan hutang. Sudah tentu ini bermakna, rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah, akan menghadapi keadaan yang sukar di mana harga barang-barang keperluan akan meningkat naik akibat pengurangan subsidi oleh kerajaan atau kenaikan cukai, sama ada SST atau GST dan cukai-cukai lain. Di samping itu, kerajaan juga mungkin akan terpaksa menaikkan kadar bayaran kepada perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang selama ini adalah rendah atau percuma, seperti sektor pendidikan dan kesihatan. Masalah serius yang sedang kita hadapi kini seharusnya dapat memberi pengajaran yang sangat penting kepada kita, iaitu kita perlu mencari alternatif kepada pendekatan pembangunan ekonomi yang pada masa ini sangat bergantung kepada dana hutang. Alternatif yang perlu dipertimbangkan secara serius adalah sistem waqaf, iaitu sistem yang dijalankan dengan menggunakan dana yang disedekahkan oleh ahli masyarakat sendiri terutamanya daripada kalangan yang berada dan berharta. Sudah tentu ini juga memerlukan perubahan sikap di kalangan rakyat, iaitu cenderung untuk berbelanja di jalan Allah semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya. Pemimpin dan rakyat perlu dididik dengan nilai 'mengukur baju di badan sendiri' dan benci dengan amalan hidup yang berhutang daripada institusi Riba atau industri hutang. Sebenarnya tokoh agama dan ahli falsafah lampau telah memperingatkan kita tentang bahaya hutang dan industri hutang. Di dalam Al-Quran terdapat ayat yang memberi amaran kepada kita bahawa Allah akan mengisytiharkan perang kepada pengamal Riba (Al Baqarah 278-280). Malangnya, sebilangan besar daripada kita sekarang sama sekali tidak lagi mengambil peduli dengan peringatan Allah tersebut. Lebih malang lagi apabila terdapat sebilangan sarjana agama yang telah berusaha mencari jalan untuk mengekalkan industri hutang ini walaupun sebenarnya hutang hanya dibenarkan untuk membantu orang susah dan bukan untuk mendapatkan keuntungan. Sememangnya, 'industri hutang' sangat menguntungkan bagi beberapa orang yang terlibat di dalamnya, namun kita perlu sedar sebenarnya keadaan bagi kebanyakan ahli masyaraat yang lain, terutamanya golongan pekerja, rakyat yang lemah dan miskin, akan menjadi semakin sukar dan sengsara apabila tahap keberhutangan masyarakat meningkat. Persoalannya bilakah kita mahu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar demi kesejahteraan kita di dunia dan juga di akhirat?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.