Oleh Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Pada bulan Mei 2010, rakyat Malaysia telah dikejutkan oleh Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apabila beliau mengatakan bahawa Malaysia akan mengalami nasib seperti Greece, yakni mungkin menjadi muflis, jika subsidi kerajaan tidak dipotong dengan segera. Tambah beliau, hutang kerajaan juga akan meningkat menjadi 100% berbanding KDNK negara. Oleh kerana itu, beliau mengatakan rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa kos elektrik, tol, perkhidmatan kesihatan kerajaan, pelajaran, minyak petrol, dan makanan perlu dinaikkan demi menjamin kestabilan persekitaran sosial dan politik negara di masa hadapan. Untuk mengukuhkan hujah beliau, Idris Jala memberikan beberapa fakta. Antara lain, jumlah subsidi kerajaan pada tahun 2009 ialah RM74 billion atau RM12,900 setiap isi rumah yang dipecahkan seperti berikut - Sosial (RM42.8bil), Petrol (RM23.5bil), Infrastruktur (RM4.6bil) dan makanan (RM3.1bil). Akhir sekali Idris Jala memberi amaran tentang defisit belanjawan kita yang tersangat tinggi iaitu RM47 billion. Oleh itu beliau meramalkan bahawa jumlah hutang negara akan meningkat menjadi RM1,158 bilion pada tahun 2019 jika kadar defisit itu dikekalkan.
Gambaran yang diberikan oleh Idris Jala meresahkan ramai pihak termasuk di kalangan penyokong kerajaan sendiri. Ada yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Adakah keadan begitu teruk sehinggakan tidak ada alternatif lain? Adakah betul punca kepada masaalah kita ialah fenomena ketagihan subsidi di kalangan rakyat atau adakah ianya kerana kerajaan gagal mengurus kewangan kita dengan baik?
Respon pihak parti pembangkang dalam hal ini sangat mudah. Mereka mengatakan bahawa punca utama masalah ialah kegagalan kerajaan mengurusan kewangan negara. Oleh itu penarikan subsidi tidak boleh dibenarkan kerana akan membebankan rakyat. Mereka juga mengatakan bahawa jika pemerintahan negara di tangan mereka, subsidi tidak akan ditarik balik kerana mereka mampu menguruskan kewangan negara dengan lebih cekap dan efisyen.
Siapakah yang lebih betul dalam hal ini? Adakah perlu bagi rakyat untuk mengganti kerajaan BN dengan kerajaan PR supaya subsidi akan terus dikekalkan untuk rakyat?
Untuk memahami isu-isu ini dengan lebih mendalam ada baiknya kita memahami konsep subsidi dahulu dengan lebih mendalam. Subsidi adalah satu bentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada sesebuah sektor perniagaan. Banyak kes subsidi melibatkan bantuan kerajaan kepada pengeluar di dalam sesebuah industri untuk membantu memajukan industri tersebut. Contoh terbaik ialah bantuan kerajaan kepada Proton dalam industri kereta. Ada juga bentuk subsidi yang diberikan kepada sesebuah industri untuk menghalang harga dari naik. Contoh terbaik ialah subsidi minyak petrol dan subsidi makanan. Terdapat juga bentuk subsidi untuk memastikan perkembangan sektor tertentu seperti subsidi baja dalam sektor pertanian.
Isu subsidi juga adalah isu yang hangat dibincangkan di dalam bidang perniagaan antarabangsa. Ia dilihat sebagai tindakan protectionist atau perlindungan dan oleh itu merupakan satu bentuk sekatan kepada perdagangan antarabangsa. Ini kerana subsidi menjadikan harga keluaran tertentu dalam negeri menjadi murah berbanding harga keluaran yang diimport dan seterusnya akan mengurangkan dayasaing barangan yang diimport. Bayangkan jika ahli perniagaan Malaysia ingin mengeksport batik kita ke negara Indonesia tetapi berhadapan dengan batik yang lebih murah di sana hanya semata-mata kerana pengusaha batik Indonesia mendapat bantuan kerajaan dan bukan kerana mereka adalah lebih cekap atau lebih efisyen. Sudah tentu pengeluar batik Malaysia akan berasa tidak berpuas hati. Maka itulah juga perasaan pengeskport kereta dari negara lain terhadap Proton. Sebagai contoh, syarikat kereta dari Korea atau China adalah lebih efisyen berbanding Proton. Namun mereka sukar mengalahkan Proton di dalam pasaran Malaysia kerana harga kereta Proton adalah lebih murah disebabkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Dalam hal ini, subsidi telah menyumbang kepada distortions (pembelokan) di dalam pasaran di mana pengeluar yang lebih efisyen tidak dapat mengalahkan pengeluar yang tidak efisyen kerana campur tangan pihak kerajaan. Di samping itu, subsidi seperti ini juga melibatkan kos yang sangat tinggi kepada kerajaan dan rakyat.
Sebenarnya baik buruk subsidi yang diberikan oleh kerajaan adalah bergantung kepada perspektif golongan mana yang terlibat. Sebagai contoh, dalam kes subsidi yang diberikan kepada Proton, ianya sudah tentu adalah baik bagi pemilik syarikat Proton, pekerja Proton dan juga syarikat yang menjadi pembekal kepada Proton (Proton Vendors) serta pekerja mereka. Tetapi dari perspektif rakyat Malaysia secara umum, bukan semua akan menikmati kebaikan ini. Bagi golongan rakyat Malaysia yang tidak ada kaitan dengan Proton dan tidak berminat untuk membeli kereta Proton, tidak banyak kebaikan yang mereka perolehi walaupun mereka juga menanggung kos bantuan yang diberikan kepada Proton. Jika subsidi kepada Proton ini adalah untuk membantu menjual kereta Proton dengan harga yang rendah di pasaran luar negara, ini bermakna golongan yang beruntung adalah pengguna luar negara tersebut yang telah mendapat bantuan kewangan dari rakyat Malaysia.
Bagaimana pula dengan subsidi yang lain, seperti subsidi tol? Sekali lagi golongan yang paling beruntung ialah golongan yang menggunakan jalan bertol setiap hari serta pengguna dari Singapura dan Thailand yang langsung tidak membayar cukai pendapatan kepada kerajaan. Golongan yang paling tidak mendapat keuntungan dari subsidi tol adalah golongan yang langsung tidak menggunakan jalan bertol kerana mereka masih terpaksa menyumbang secara tidak langsung kepada kos pembinaan dan penyeliaan jalan bertol tersebut.
Keadaan ketidakadilan ini juga jelas berlaku dalam kes subsidi minyak petrol (yang berjumlah RM23.5 bilion pada tahun 2009) kerana wujudnya ketidakseimbangan pengagihan kosnya kepada semua rakyat. Sebenarnya golongan yang paling beruntung dalam kes ini ialah orang asing yang menggunakan kenderaan di Malaysia kerana mereka tidak membayar apa-apa cukai pendapatan kepada kerajaan. Golongan kaya juga beruntung kerana kenderaan yang mereka gunakan adalah besar dan menggunakan banyak petrol. Walaupun perbelanjaan kos petrol bulanan mereka mungkin tinggi, namun jumlah subsidi yang diterima oleh mereka juga adalah tinggi. Sebaliknya golongan miskin secara relatif mendapat manfaat yang sedikit sahaja dari subsidi ini, terutama sekali di kalangan yang memakai motosikal kapcai sedangkan mereka juga menanggung kos subsidi yang besar ini dalam bentuk cukai pendapatan yang dibayar kepada kerajaan.
Satu cara mengatasi kesan ketidakadilan di atas adalah dengan kerajaan mengambil langkah diskriminasi dalam pengagihan subsidi iaitu dengan memberikannya kepada golongan yang paling memerlukan bantuan. Kaedah `targeted subsidies’ ini sudah lama diamalkan di beberapa negara termasuk negara kita sendiri di mana bantuan kerajaan ditujukan khas kepada golongan miskin. Contoh-contoh bentuk bantuan kepada golongan ini ialah pengecualian pembayaran bil air jika penggunaanya sedikit, boucer atau stamp makanan (food stamps), biasiswa, bantuan buku teks, bantuan kos perumahan, perkhidmatan kesihatan dan lain-lain. Namun kos pentadbiran skim bantuan yang berbentuk diskriminasi ini adalah sangat tinggi dan kadangkala tidak praktikal untuk digunakan dalam kes tertentu seperti subsidi minyak petrol.
Dari manakah kerajaan memperolehi sumber kewangan untuk membayar kos subsidi? Jawabannya adalah dari segala pendapatan kerajaan sama ada dari cukai atau dari sumber lain seperti pendapatan dari Petronas dan keuntungan syarikat-syarikat milik kerajaan yang lain. Jika pendapatan sesebuah kerajaan adalah tinggi maka kita akan mendapati bahawa kemungkinan subsidi yang diberikan kepada rakyatnya juga adalah tinggi. Sebagai contoh, di Saudi Arabia, subsidi diberikan kepada rakyat dalam berbagai sektor termasuk petrol, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran. Tambahan pula rakyatnya langsung tidak membayar apa-apa bentuk cukai pendapatan. Ini adalah kerana kerajaan Arab Saudi memperolehi pendapatan yang tinggi dari sumber minyaknya. Pada tahun 2010 pendapatan kerajaan Arab Saudi adalah USD185.1 billion sementara perbelanjaannya hanyalah USD173.1 billion. Oleh kerana itulah kerajaan Arab Saudi tidak merasa tertekan dengan perbelanjaan subsidi kepada rakyat walaupun rakyat tidak menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai pendapatan.
Di Malaysia, perbelanjaan kerajaan pada tahun 2010 ialah RM205,468 bilion sementara pendapatan hanya RM162,131 bilion. Inilah yang menghasilkan keadaan di mana defisit belanjawan kita ialah RM43,337 bilion dan akan ditambahkan lagi kepada hutang yang terkumpul dari tahun-tahun yang lepas.
Bagaimanakah kerajaan boleh mengurangkan defisit tersebut di atas? Satu cara ialah dengan menambahkan pendapatan melalui penambahan cukai pendapatan atau cukai-cukai lain. Tetapi ini adalah satu kaedah yang tidak popular dan akan menyebabkan sokongan kepada kerajaan merosot.
Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, baik dalam aspek operasi dan juga aspek pembangunan. Di dalam aspek operasi, salah satu elemen kos utama ialah penggajian. Adalah amat sukar untuk mengurangkan kos penggajian kerana sebarang usaha untuk memotong gaji akan membuat kerajaan langsung tidak popular. Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan perbelanjaan pembangunan. Ini bermakna projek-perojek pembangunan seperti jalan raya, kampus universiti dan bangunan sekolah baru diberhentikan atau dipotong. Ini juga akan membuat ramai golongan tidak akan berpuas hati kerana ramai yang mendapat pendapatan melalui projek seperti ini, terutama sekali dari kalangan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan serta juga sub-kontraktor mereka dari kalangan bumiputera dan juga bukan bumiputera. Apabila, Datuk Abdullah Badawi cuba untuk mengurangkan perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam bidang pembinaan, ramai peniaga-peniaga Melayu dari berbagai golongan – baik dari pembekal makanan ke tapak pembinaan mahupun kontraktor binaan dan arkitek, merasa tidak senang hati dan ini telah menggugat kedudukan politik beliau. Akhirnya beliau terpaksa menarik balik keputusan tersebut dan menambahkan perbelanjaan dalam bidang pembinaan melalui dana yang dipinjam dan seterusnya menyebabkan defisit dan hutang terkumpul kerajaan semakin meningkat.
Satu cara lagi bagi kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan ialah dengan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan. Ini boleh dilakukan dengan melaksanakan langkah penjimatan. Sebagai contoh jabatan kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu seperti mengurangkan majlis di hotel-hotel, mengurangkan kos hadiah dan cenderamata yang diberikan dalam majlis-majlis tersebut, mengurangkan lawatan keluar negara oleh pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan dan lain-lain perbelanjaan yang tidak perlu. Di samping itu, perbelanjaan boleh dikurangkan jika peraturan proses pemberian kontrak kerajaan diperketatkan untuk mengurangkan rasuah. Kita semua tahu bahawa sering terdapat fenomena ‘cost inflation’ dalam pemberian kontrak kerajaan. Bahkan ini adalah cara bagi sesetengah ahli politik memperolehi sumber dana untuk membiayai aktiviti politik mereka.
Malangnya dalam suasana masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tertekan akibat beban hutang, langkah penjimatan di atas sering dibangkang oleh rakyat sendiri. Sebagai contoh langkah untuk tidak mengadakan majlis atau seminar kerajaan di hotel-hotel telah dikutuk oleh persataun pemilik hotel tempatan kerana menurut mereka ini tidak akan membantu perkembangan sektor perhotelan. Begitu juga langkah mengurangkan pemberian cenderamata dan hadiah akan melembapkan sektor-sektor yang terlibat. Langkah mengurangkan lawatan ke luar negara akan mengurangkan pendapatan agen penjualan tiket serta pendapatan syarikat penerbangan MAS dan Air Asia. Mereka semua akan menentang langkah penjimatan tersebut yang akan mengurangkan pendapatan bagi firma-firma mereka.
Di samping itu, apabila kebanyakan ahli masyarakat tidak mempunyai etika yang tinggi dan juga tidak bertaqwa, adalah amat sukar untuk menghapuskan masalah ‘cost inflation’ di dalam projek-projek pembangunan kerajaan. Hakikatnya ialah sebahagian besar rakyat sering melihat pemimpin politik mereka sebagai sumber untuk memperolehi bantuan kewangan. Bagi mereka pemimpin politik yang sering menghulurkan wang tunai kepada rakyat adalah pemimpin yang layak mendapat sokongan mereka walau pun pemimpin itu mungkin tidak bermoral. Pemimpin politik yang berprinsip dan bermoral tetapi tidak sering menghulurkan wang tunai kepada rakyat adalah pemimpin yang `kedekut’ dan tidak layak mendapat undi mereka.
Jelaslah langkah untuk menghapuskan masalah ‘cost inflation’ serta rasuah akan mengambil masa yang panjang. Penghapusan rasuah memerlukan pentarbiahan ahli masyarakat dari bawah hingga ke atas. Kalaupun kerajaan yang sedia ada dapat ditumbangkan kerana rakyat sudah muak dengan penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah yang berleluasa, namun adalah amat `naïve’ untuk kita mengharapkan bahawa amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa tersebut akan hilang dengan sekelip mata.
Oleh kerana sulitnya bagi kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan dengan cara-cara di atas, maka kerajaan sekarang sedang memikirkan alternatif lain iaitu dalam bentuk mengurangkan subsidi seperti yang disebut di awal artikel ini yang berjumlah RM74 billion pada tahun 2009. Tetapi seperti yang diketahui, langkah ini juga adalah sangat tidak popular kerana ianya akan menambahkan beban perbelanjaan kepada rakyat. Setiap kali kerajaan bercakap tentang keperluan untuk mengurangkan subsidi, ia akan membuat pihak pembangkang senyum kerana ini akan membuat kerajaan hilang populariti di kalangan pengundi. Pembangkang seterusnya akan menggunakan isu ini sebagai modal kempen politik mereka. Kerajaan yang memerintah sekarang juga sedar akan hakikat ini dan oleh itu sebenarnya tidak akan sewenang-wenangnya memotong subsidi.
Oleh kerana semua langkah penjimatan perbelanjaan adalah sukar dilakukan dan tidak popular di kalangan rakyat, maka sebenarnya apa yang sentiasa berlaku ialah kerajaan akan terus mengalami belanjawan defisit dan menampung defisit tersebut dengan cara meminjam dari berbagai-bagai sumber termasuk dari institusi kewangan dan pelabur individu dari dalam dan luar negara. Inilah sebenarnya jalan yang paling mudah dan ‘selamat’ (dari segi politik) bagi pihak kerajaan dalam jangka masa pendek. Tidak seperti di Amerika di mana ada golongan, terutama sekali dari kalangan penyokong parti Republikan yang sangat bencikan amalan kerajaan menambahkan hutang, di Malaysia tidak wujud golongan yang lantang menentang amalan kerajaan menambahkan hutang. Hatta, di kalangan pendakwah dan penyokong Islam sekalipun, ramai yang tidak tahu menahu langsung tentang amalan kerajaan berhutang ini dan hampir kesemua mereka tidak tahu jumlah hutang terkumpul kerajaan. Ramai di kalangan mereka, termasuk dari kalangan gerakan Islam yang Syumul (yakni yang memahami Islam sebagai agama yang mempunyai skop yang luas termasuk dalam bidang ekonomi) lebih lantang menentang rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi berbanding dengan rancangan kerajaan menambahkan hutang untuk membiayai subsidi tersebut. Ini mungkin kerana mereka kurang sedar tentang elemen riba dalam hutang kerajaan serta jumlah beban hutang terkumpul kerajaan. Mereka juga mungkin tidak peka tentang implikasi jangka panjang kepada kestabilan politik dan sosial negara akibat dari masalah hutang tersebut.
Oleh kerana itulah walaupun kerajaan sering menyatakan hasrat untuk mengurangkan subsidi bagi mengurangkan perbelanjaan negara, namun hakikatnya ialah besar kemungkinan kerajaan tidak akan mengurangkan subsidi yang diberikan kepada rakyat. Ini terutama sekali dalam tahun-tahun yang berdekatan dengan pilihanraya. Subsidi, walaupun memang akan melibatkan kos yang tinggi kepada kerajaan, namun ia akan terus dikekalkan supaya rakyat dapat hidup dengan `selesa dan senang’ demi untuk mengurangkan modal politik pihak pembangkang dan seterusnya menjamin kemenangan kerajaan di dalam pilihanraya yang akan datang. Hanya beberapa individu sahaja yang akan memarahi tindak tanduk kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini, yang memindahkan beban membayar hutang negara kepada generasi akan datang yakni anak-anak dan cucu-cucu kita. Namun demikian, besar kemungkinan individu-individu ini akan dimarahi pula oleh rakyat yang lain yang merasakan bahawa isu hutang kerajaan ini tidaklah penting berbanding dengan isu keperluan untuk memastikan subsidi akan terus dikekalkan demi keselesaan kehidupan mereka sekarang.
Sebenarnya langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah di atas ialah dengan mewujudkan satu suasana di mana rakyat mempunyai darjah ketaqwaan yang tinggi serta mempunyai thiqah (kepercayaan) yang juga tinggi kepada pemimpin yang dilantik dari kalangan mereka. Dalam suasana seperti itu, besar kemungkinan ramai dari kalangan rakyat akan menjadi penderma sukarela kepada kerajaan. Inilah yang berlaku di zaman Nabi Muhammad s.a.w di mana sahabat baginda dengan sukarela mensedeqahkan harta mereka kepada negara dengan jumlah yang banyak. Di zaman itu dan zaman berikutnya, amalan rakyat ‘mewaqafkan’ harta mereka kepada kerajaan Islam adalah lumrah dan oleh itu fenomena kerajaan terpaksa meminjam adalah jarang berlaku. Dalam erti kata yang lain, tumpuan rakyat yang lebih kepada kehidupan yang selesa di akhirat kelak berbanding dengan kehidupan dunia yang sementara ini akan membuat mereka lebih cenderung untuk `memberi’ berbanding dengan `meminta’ dari kerajaan. Sebaliknya kalau diperhatikan sekarang ini tidak ramai golongan yang berminat untuk mewaqafkan harta mereka kepada kerajaan sehinggakan kebanyakan masjid yang dibina adalah dari sumber kerajaan dan bukan secara langsung dari derma rakyat.
Berbalik kepada persoalan samada subsidi pada ketika itu patut diteruskan atau diberhentikan sebenarnya bergantung kepada keadaan pendapatan dan perbelanjaan negara pada masa itu. Jika pendapatan kerajaan masih melebihi perbelanjaan walaupun terdapat perbelanjaan subsidi, maka sudah tentu subsidi harus dikekalkan terutamanya kepada golongan miskin. Tetapi jika pendapatan adalah tidak mencukupi (atas beberapa sebab seperti kurangnya hasil minyak pada masa itu) besar kemungkinan kerajaan akan memberhentikan subsidi kerana mahu mengelakkan dari meminjam dari sumber yang tidak halal.
Berdasarkan hujah di atas maka jelaslah bahawa isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan hutang kerajaan adalah sebenarnya bukan punca utama masalah masyarakat. Isu-isu tersebut hanyalah simptom kepada penyakit utama masyarakat iaitu kekurangan sikap taqwa kepada Allah. Hanya apabila setiap ahli dalam masyarakat bertaqwa kepada Allah, maka kita akan dapat mewujudkan suasana di mana rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan pembaziran dapat dihapuskan, dan perbelanjaan kerajaan juga akan dapat ditampung oleh pendapatan negara yang ada. Pada masa itu juga, besar kemungkinan isu ‘subsidi’ langsung tidak akan menjadi topik perbincangan.
Wallahua’lam.
Monday, August 1, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)