Salah satu isu yang hangat sangat diperbahaskan di negara kita ialah janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN jika pembangkang berjaya memenangi pilihanraya akan datang. Ini bermakna jika kerajaan BN tewas, maka di masa akan datang semua pelajar Malaysia yang akan menuntut di IPTA dan IPTS akan memperolehi pendidikan secara percuma sementara semua pelajar dan bekas pelajar yang berhutang dengan PTPTN akan dikecualikan dari membayar hutang-hutang mereka. Menurut ketua pembangkang langkah ini boleh dilaksanakan kerana pendapatan Petronas adalah mencukupi untuk membiayai kos pendidikan di negara kita. Sebaliknya reaksi kerajaan dalam hal ini ialah bahawa langkah tersebut akan memufliskan negara. Ini kerana kerajaan akan terpaksa menambahkan lagi jumlah hutangnya. Persoalan yang mungkin berlegar di kepala kita ialah siapakah yang bercakap benar dan boleh dipercayai.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pada masa ini keadaan kewangan negara adalah di dalam keadaan yang tenat. Itulah sebabnya hutang kerajaan sudah pun mencapai tahap yang begitu tinggi iaitu melebihi RM455 billion atau 53% dari KDNK negara. Ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa pada tahun 1970 hutang kerajaan pada masa itu adalah sangat rendah iaitu kurang dari RM5 billion. Tetapi ianya telah meningkat dengan mendadak terutama sekali dalam masa 10 tahun yang lepas.
Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikkan jumlah hutang tersebut. Sudah tentu faktor utama ialah kerana kerajaan telah tidak berbelanja dengan berhemah iaitu dengan berbelanja pada jumlah yang lebih dari pendapatan yamg diperolehinya. Jika kerajaan melaksanakan polisi berbelanja dengan jumlah yang sama dengan jumlah pendapatannya (iaitu dasar Balanced Budget) maka sudah tentu kerajaan tidak akan mempunyai sebarang hutang. Tetapi kerajaan juga sedar bahawa ini bermakna projek-projek pembangunan yang baru tidak akan dapat dilaksanakan. Kadar pertumbuhan ekonomi juga akan menjadi lembab.Semua ini akan menjejaskan pengaruh politik kerajaan. Satu cara untuk memastikan perbelanjaan yang besar masih dapat dilakukan tanpa berhutang ialah dengan meningkatkan pendapatan melalui kenaikan kadar cukai dan juga dengan menghapuskan subsidi. Tetapi langkah-langkah tersebut sudah tentu juga akan membuat kerajaan tidak popular dengan pengundi. Di samping itu, langkah menambahkan cukai dan mengurangkan subsidi akan membuka ruang politik kepada pihak pembangkang. Maka dengan itu kerajaan terpaksa mengambil jalan yang mudah pada jangka pendek iaitu dengan menampung perbelanjaan yang meningkat dengan berhutang. Sebenarnya ini adalah juga situasi yang berlaku di kebanyakan negara lain dan oleh sebab itulah di kebanyakan negara di dunia, hutang kerajaan adalah semakin meningkat.
Faktor kedua yang menyumbang kepada hutang negara yang meningkat ialah ketirisan dan pemborosan di dalam pengurusan kewangan negara. Ini juga berlaku di banyak negara lain, terutama sekali di negara-negara di mana sistem politik adalah tidak demokratik serta tidak wujudnya ketelusan dalam sistem kewangan kerajaan. Akibat dari ketirisan dan pemborosan tersebut, perbelanjaan kerajaan akan meningkat ke tahap yang tidak sepatutnya. Sudah tentu ini juga berlaku di negara kita. Namun jumlah ketirisan dan pemborosan adalah agak sukar untuk dianggarkan dengan tepat kerana banyak maklumat tidak dapat diperolehi akibat dari sistem pengurusan kewangan yang tidak telus.
Namun kita juga perlu menyedari bahawa salah satu dari punca utama kenapa pemborosan berlaku dalam perbelanjaan kerajaan adalah kerana budaya 'politik wang' sudah menular hingga ke akar umbi masyarakat. Akibatnya pada hari ini adalah sangat sukar untuk kita mendapati ahli politik yang tidak beramal dengan amalan politik wang. Ini kerana ramai dikalangan pengundi menjadikan pemimpin politik mereka sebagai salah satu dari 'sumber kewangan' mereka yang penting. Sebagai contoh, apabila seorang ahli politik dilantik menjadi wakil rakyat, ramai di kalangan rakyat akan meminta sumbangan kewangan dari beliau untuk berbagai tujuan termasuk bantuan kesihatan, untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak, untuk membaiki rumah yang sudah rosak, untuk membantu pembiayaan pendidikan anak dan berbagai-bagai tujuan lain. Sudah tentu gaji seorang wakil rakyat tidak akan mencukupi untuk membiayai semua permintaan tersebut dan oleh itu sering kali ahli politk terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain untuk menampung kos aktiviti politiknya demi menjaga popularitinya di mata rakyat. Di antara sumber yang terpenting adalah `sumbangan' dari ahli perniagaan. Tetapi sudah tentu ahli perniagaan akan hanya sanggup menyumbang kepada tabung kewangan ahli politik jika ahli politik juga sanggup membantu mereka mendapat projek yang menguntungkan, khususnya projek-projek pembangunan kerajaan. Ahli perniagaan akan juga memastikan bahawa kos operasi mereka akan mengambil kira 'sumbangan' yang terpaksa diberikan kepada ahli politik yang membantu mereka. Inilah di antara sebab utama kenapa terdapat projek-projek kerajaan yang dilaksanakan walaupun tidak nampak keperluan kepada projek tersebut. Inilah juga antara sebab utama kenapa kos projek kerajaan melambung tinggi.
Sebenarnya jika pembangkang memenangi pilihanraya akan datang, sikap rakyat yang suka meminta-minta bantuan kewangan dari pemimpin politik mereka besar kemungkinan tidak akan berubah dengan mendadak. Oleh itu besar kemungkinan juga keadaan kewangan negara yang tenat tidak akan dapat dipulihkan dengan drastik dalam masa terdekat. Cuma besar kemungkinan suasana persekitaran politik akan menjadi lebih telus dan lebih demokratik. Ini sudah semestinya akan dapat membantu untuk mengurangkan kes-kes penyalahgunaan kuasa, pemborosan dan amalan politk kewangan yang sekarang ini sudah mencapai tahap yang menakutkan.
Satu lagi punca kepada kenaikan kos kehidupan serta juga kenaikan perbelanjaan negara ialah sistem kewangan yang diamalkan di negara kita adalah berdasarkan sistem riba. Sebenarnya mana-mana negara yang beramal dengan sistem riba akan mendapati bahawa tahap hutang sektor awam dan sektor swasta akan meningkat dengan cepat walaupun negara tersebut beramal dengan sistem demokrasi dan walau pun terdapat ketelusan dalam persekitaran politik negara tersebut. Bukti yang jelas ialah negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kesemua negara tersebut mempunyai sistem politik yang demokratik serta sistem pengurusan kewangan kerajaan yang telus. Namun hutang kerajaan di negara tersebut masih berada pada tahap yang tinggi dan oleh itu pembiayaan pendidikan masih tidak dapat diberikan secara percuma kepada rakyat. Di Amerika Syarikat sebagai contoh, hampir semua pelajar akan mempunyai hutang pendidkan yang tinggi sebaik sahaja mereka menghabiskan pelajaran mereka, kecuali jika mereka datang dari keluarga yang kaya atau di mana ibu-bapa sanggup mengorbankan kesenangan mereka untuk membiayai pendidikan anak mereka sendiri.
Jelaslah bahawa dalam masa terdekat, janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN adalah satu janji yang akan sangat sukar untuk kotakan. Namun kita mendapati rakyat masih merasai bahawa ada kemungkinan janji tersebut boleh dilaksanakan walaupun kerajaan BN bermati-matian mengatakan bahwa janji tersebut mustahil dapat dilaksanakan. Kerajaan BN juga bermati-matian mengatakan bahawa jika janji tersebut dilaksanakan, hutang kerajaan akan dinaikkan kepada tahap yang membahayakan keadaan kewangan negara dan besar kemungkinan negara akan menjadi muflis. Namun hujah kerajaan BN sekarang semakin tidak dipercayai oleh rakyat. Punca utama ialah kerana sebahagian besar rakyat mempunyai persepsi yang kuat bahawa kerajaan BN sudah banyak kali menipu rakyat dan ramai di kalangan pemimpin BN juga terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan duit rakyat untuk memperkayakan diri sendiri. Ketua pembangkang menyedari hakikat itu dan jelas sekali sedang mengeksploitasikan nya untuk tujuan kejayaan politik beliau untuk jangka pendek.
Dalam jangka panjang negara kita sebenarnya memerlukan kepada perubahan yang besar dalam banyak perkara. Ini termasuk perubahan kepada sistem politik supaya ianya menjadi bertambah demokratik, perubahan kepada sistem pengurusan kewangan kerajaan supaya ianya menjadi semakin telus, perubahan kepada struktur kepimpinan masyarakat supaya pemimpin yang dilantik adalah dari kalangan yang bertaqwa dan berakhlak tinggi, serta perubahan kepada nilai serta tahap pemikiran masyarakat supaya mereka mereka akan menjadi lebih bijak dalam memilih pemimpin dan tidak mudah ditipu dengan 'gula-gula murahan' dan janji-janji kosong. Dalam erti kata yang lain kita memerlukan kepada proses pentarbiahan yang intensif yang melibatkan semua lapisan masyarakat demi untuk melahirkan generasi baru yang mempunyai tahap kefahaman dan penghayatan agama yang tinggi serta bersifat kritis dalam menilai isu-isu yang dihadapi. Pada masa itu kelak, kita harapkan PTPTN akan menjadi `non-issue'.
Akhir sekali izinkan saya menyatakan satu perkara yang menghairankan diri saya apabila memerhatikan beberapa kes-kes di kalangan ibu bapa yang mengatakan mereka tidak mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka sendiri dan menyuruh anak mereka berhutang dengan PTPTN. Ini kerana sering kali saya perhatikan bahawa ibu bapa ini juga sanggup membiayai pembelian kereta baru dan mewah untuk diri mereka sendiri yang berjumlah ratusan ribu Ringgit. Kenapa kah mereka tidak sanggup mengorbankan impian mereka untuk memperolehi kereta mewah demi memastikan anak-anak mereka tidak terperangkap dengan hutang pendidikan? Bagi saya ini adalah bukti bahawa sebenarnya salah satu punca utama masalah adalah sikap di kalangan rakyat sendiri. Selagi sikap ini tidak berubah suasana kewangan negara tidak akan berubah walaupun kerajaan yang memerintah sudah pun berubah.