Pada 22 Februari
lepas kerajaan Malaysia telah melancarkan skim Bantuan Rakyat Satu Malaysia
atau BR1M 2014. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan
RM4.5 billion untuk skim bantuan ini yang akan diberikan kepada 7 juta rakyat
Malaysia. Tambahan pula beliau juga menyatakan bahawa pada masa akan datang
jumlah bantuan ini akan dipertingkatkan lagi jika keadaan kewangan kerajaan
bertambah kukuh.
Persoalannya
ialah adakah tindakan ini akan dapat membantu rakyat menangani masalah kenaikan
kos kehidupan serta membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang adalah
sangat bertanggung jawab serta prihatin terhadap aspek kebajikan masyarakat?
Dari perspektif
ajaran Islam adalah tidak dinafikan bahawa membantu orang yang susah adalah
satu perkara yang diajar oleh agama. Al-Quraan menekankan perkara tersebut
melalui beberapa ayat termasuk yang berikut:
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya
dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak
yatim, orang miskin, tetangga yang terdekat dan yang jauh, teman sejawat, Ibnu
Sabil dan hamba" (An Nisa' , 4: 36)
“Maka (bagi
menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik
bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya. ” (Ar-Rum, 30: 38)
“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan
orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada
orang-orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara
satu sama lain … dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara
(menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, …” (Al
Anfal, 8:72)
Terdapat juga
banyak hadith yang mengajak kita bersedekah kepada golongan yang miskin. Di
bawah adalah beberapa sabda Rasulullah SAW berkenaan amalan sedekah kepada
golongan miskin:
“Sungguh
sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian
yang buruk (Su’ul Khatimah).”
“Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling
bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang
menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau
melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.”
“Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang
sahabat bertanya, `Jika ia tiada apa yang hendak diberi?’ Jawab Baginda,
`Hendaklah ia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.’
Sahabat itu bertanya lagi, `Jika ia tidak boleh bekerja?’ Jawab Baginda,
`Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.’ ‘Kalau ini juga tidak dapat ia
lakukan?’ tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab, ‘Beri nasihat untuk berbuat
baik.’ Sahabat itu bertanya, ‘Jika itupun tidak dapat dilakukan?’ Jawab
Baginda, ‘Janganlah ia melukakan hati orang lain – itulah sedekahnya.’ ”
"Perumpamaan orang-orang Mu'min dalam saling
kasih mengasihani dan sayang menyanyangi, umpama sebujur tubuh yang apabila
salah satu anggotanya sakit, seluruh anggota tubuh yang lain turut sama merasai
kesakitan tersebut"
Namun apa yang
perlu kita sedar ialah bahawa semua saranan dan galakkan dari ayat Al Quraan
dan hadith di atas adalah ditujukan terutamanya kepada ahli masyarakat. Dalam
erti kata yang lain, apa yang dikehendaki oleh agama ialah ahli masyarakat
sendiri mempunyai sikap saling bantu membantu dan berkorban dengan memberi
sumbangan dari pendapatan milik mereka sendiri kepada golongan miskin secara
sukarela.
Perkara ini dihuraikan
secara terperinci oleh pakar-pakar ekonomi Islam berdasarkan kajian mereka
berkenaan aspek pengurusan kewangan sektor awam semasa pemerintahan Rasulullah
SAW dan para sahabat. Menurut mereka, di
bawah pemerintahan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, tugas memberi
bantuan kepada golongan miskin bukannya dipikul oleh pemerintah semata-mata.
Peranan utama pemerintah adalah memberi galakkan kepada rakyat supaya saling
bantu membantu antara satu sama lain secara sukarela. Skim di mana rakyat
dipaksa mengeluarkan wang untuk disalurkan kepada golongan miskin hanyalah
dalam bentuk zakat. Ini adalah tujuan utama zakat iaitu untuk membantu golongan
miskin dan fakir serta golongan terdesak lain yang termasuk dalam senarai asnaf
yang layak menerima zakat. Walaupun selepas itu kerajaan Islam memperolehi sumber
pendapatan lain seperti Al Kharaj, Al Ushr, Fai dan al Khums, namun sumber
pendapatan tersebut tidak menggantikan skim zakat sebagai mekanisma utama untuk
membantu golongan miskin.
Namun, ini tidak
bermakna kerajaan langsung tidak boleh memberi sumbangan kepada rakyat miskin. Dalam
keadaan di mana kerajaan mempunyai sumber pendapatan yang tinggi dari sumber
asli seperti minyak dan hasil mahsul yang lain, maka amatlah wajar sekali
kerajaan menyalurkan wang itu kepada golongan miskin kerana dana tersebut pada
hakikatnya sememangnya hak rakyat.
Tetapi adakah
itu keadaannya di negara kita sekarang? Adakah kerajaan mempunyai lebihan (surplus) apabila perbelanjaan kerajaan
ditolak dari pendapatannya dari sumber asli dan lain-lain? Malangnya tidak. Sikap kerajaan suka berbelanja lebih dari
pendapatan serta berlakunya ketirisan, pembaziran dan pengurusan kewangan yang
tidak berhemah telah menghasilkan keadaan di mana sudah 15 tahun berturut-turut
kerajaan telah mengumumkan belanjawan defisit. Akibatnya jumlah hutang
terkumpulnya sekarang berjumlah lebih dari RM550 billion di mana sebahagian
besarnya adalah dari sumber yang berbentuk Riba. Ini bermakna kerajaan membayar
bunga (interest) di atas pinjamannya
berjumlah hampir 17 billion ringgit setiap tahun. Malahan disebabkan keadaan
hutang kerajaan yang sentiasa meningkat inilah maka pada tahun lepas Fitch
Rating, iaitu sebuah organisasi penarafan bon antarabangsa telah menurunkan
taraf bon kerajaan Malaysia, yang
mengakibatkan kos pinjaman kerajaan juga meningkat. Susulan dari itu, kerajaan
telah terpaksa membuat keputusan untuk melaksanakan sistem percukaian GST pada
tahun 2015 untuk menambahkan pendapatan percukaian kerajaan yang dikutip dari
rakyat.
Pendek kata
sebenarnya tabung kewangan kerajaan sudah lama dalam keadaan negatif dan oleh
itu duit yang disumbangkan melalui skim BR1M itu sebenarnya bukannya dari
sumbangan peribadi pemimpin-pemimpin yang pemurah dan baik hati tetapi diperolehi
dari penambahan kepada hutang kerajaan semata-mata. Perlu juga diambil
perhatian bahawa semua hutang-hutang yang telah berjumlah lebih dari RM550 billion
itu, termasuk bunga yang dikenakan akan pada akhirnya ditanggung oleh rakyat.
Dalam erti kata yang lain, lambat laun kerajaan akan terpaksa meminta rakyat
menyumbang dengan lebih gigih kepada usaha membayar balik beban hutangnya yang besar itu dengan menggunakan berbagai-bagai
kaedah kutipan termasuk cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai import dan cukai
GST.
Di samping itu, kita
juga perlu sedar bahawa sebenarnya punca utama kepada keadaan di mana ramai
rakyat hidup dalam keadaan yang sengsara akibat dari kos kehidupan yang
sentiasa meningkat adalah kerana sistem kewangan Riba yang diamalkan di negara kita
dan di serata dunia. Sistem ini yang berasaskan industri perbankan telah
menciptakan wang dengan banyak melalui proses penciptaan kredit (hutang). Akibatnya
bukan sahaja tahap harga dalam sistem ekonomi sentiasa meningkat bahkan juga
menambahkan beban hutang kepada rakyat. Di Malaysia sebagai contoh, beban
hutang isi rumah telah pun melebihi RM750 billion pada tahun 2012. Oleh itu selagi sistem kewangan berasaskan Riba
dibenarkan berkembang, maka masalah kesengsaraan ekonomi akibat kenaikan kos
kehidupan dan beban hutang tidak akan selesai. Buktinya ialah keadaan yang sama
sedang berlaku di negara lain yang beramal dengan sistem Riba termasuk di
Jepun, Singapura, United Kingdom, dan Amerika Syarikat walaupun kerajaan mereka
secara umumnya adalah tidak korup.
Sebagai rumusan,
walaupun skim BR1M mungkin berjaya mewujudkan persepsi dari kalangan yang
terdesak bahawa kerajaan adalah dipimpin oleh ahli politik yang pemurah dan
baik hati, namun hakikat sebenarnya ialah ianya tidak akan berupaya
menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dalam jangka panjang. Bahkan dalam jangka
panjang persepsi tersebut besar kemungkinan akan diganti dengan perasaan marah
apabila rakyat sedar bahawa beban hutang yang ditanggung oleh mereka semakin
meningkat dan keadaan kehidupan mereka yang melarat masih tidak berubah dan kos
kehidupan sentiasa meningkat. Besar kemungkinan juga rakyat yang semakin kecewa
akan memilih kerajaan baru untuk memerintah mereka. Malangnya pada masa itu
nanti, jika beban hutang kerajaan terlampau tinggi dan sistem ekonomi dan
kewangan negara masih tidak berubah, besar kemungkinan juga kerajaan baru yang
bakal dilantik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi dalam
masa yang singkat dan lambat laun akan digulingkan juga.