Wednesday, October 28, 2015

Analisa Bajet 2016

Analisa Bajet 2016
Oleh Prof Mohd Nazari Ismail, Biro Penyelidikan IKRAM.
Bajet 2016 kerajaan telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 23 Oktober 2015 dalam dalam keadaan yang agak tertekan. Ini memandangkan pendapatan kerajaan dari sumber biasanya terus menurun akibat dari kejatuhan harga minyak.
Oleh itu kerajaan terpaksa bergantung kepada sumber GST, satu kaedah percukaian yang sangat tidak popular di kalangan rakyat.
Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh kerajaan ialah perasaan tidak puas hati yang berleluasa di kalangan rakyat yang kesempitan hidup akibat keadaan kos kehidupan yang sentiasa meningkat, termasuk harga rumah yang telah melambung tinggi ke tahap yang mustahil dibeli oleh kebanyakan orang, terutama di kalangan anak muda. Ramai yang merasakan bahawa punca utama kos kehidupan telah meningkat ialah kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dan oleh itu berlakulah banyak amalan pembaziran dan ketirisan. Akhir sekali rakyat juga merasa curiga dengan tindakan kerajaan mewujudkan syarikat 1MDB yang mempunyai beban hutang yang begitu besar yang kemungkinan akhirnya akan ditanggung oleh rakyat juga.
Oleh itu tidak hairanlah kerajaan telah berusaha untuk menghasilkan satu bajet yang mempunyai banyak ciri yang cuba memujuk rakyat supaya kembali menyokong kerajaan. Berbagai peruntukan telah diadakan untuk tujuan ini. Antara lain ialah projek pembangunan yang bukan sahaja akan merangsang aktiviti ekonomi, bahkan juga akan memberi peluang perniagaan dan pekerjaan seperti sembilan projek berimpak tinggi bernilai RM6.7billion, projek menaiktaraf Jalan Tun Razak bernilai RM900 juta, projek menaiktaraf jalan di kawasan penempatan Felda bernilai RM200 juta, projek memperbaiki jalan berjumlah jarak 700km di seluruh negara bernilai RM1.4bil, projek mempermodenkan sektor pertanian bernilai RM5.3billion, dan projek MRT bernilai RM28 billion. Untuk mendapat sokongan dari rakyat di Sawarak dan Sabah, pengguna lebuhraya Sarawak Pan-Borneo Sarawak yang menelan belanja lebih dari RM20 billion tidak akan tidak dikenakan sebarang bayaran tol.
Tarikan lain adalah di dalam bentuk bayaran BR1M, baucar buku kepada pelajar, bantuan persekolahan kepada keluarga miskin, program eRezeki dan eUsahawan, pembinaan 175,000 unit rumah PR1MA, pinjaman mikro kepada peniaga kecil dan sederhana, program kebajikan dan pembangunan komuniti orang Orang Asli, dan penambahan kepada beberapa jenis potongan cukai.
Namun sama ada sentimen rakyat akan menjadi positif sepenuhnya akibat bajet ini boleh dipertikaikan. Ini kerana kerajaan juga telah mengurangkan peruntukan kepada banyak kementerian yang akan menjejaskan kebajikan banyak golongan. Antara lain ialah pemotongan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM2.4 billion yang mengakibatkan peruntukan untuk universiti-universiti dikurangkan sebanyak RM1.442 billion. Yuran pengajian pada peringkat ijazah tinggi besar kemungkinan akan terpaksa dinaikkan selepas ini. Yang paling teruk terjejas ialah Universiti Malaya yang dipotong peruntukan sebanyak 27.3 peratus. Ini bermakna besar kemungkinan peruntukan kerajaan kepada Universiti Malaya untuk tahun 2016 tidak akan dapat menampung kos penggajian staf untuk tahun itu.
Kementerian Komoditi dan Perladangan juga telah mengalami pemotongan peruntukan sebanyak 60.76 peratus. Kesannya akan dirasai oleh pengguna kerana harga minyak masak kemungkinan besar akan naik akibat pengurangan subsidi. Pemotongan peruntukan kepada Kementerian Pengangkutan besar kemungkinan akan mengakibatkan kenaikan harga tiket keretapi dan kapalterbang dari beberapa tempat pendalaman. Pemotongan peruntukan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mengurangkan subsidi bil electrik yang akan memberi kesan kepada keluarga miskin yang menggunakan elektrik kurang dari RM20 sebulan. Pemotongan peruntukan lain yang agak memeranjatkan ialah peruntukan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang melibatkan agensi penting seperti Mida, MPC, Matrade, dan SME Corp. Pemotongan sebanyak 44 peratus kepada Matrade adalah memeranjatkan kerana kerajaan di dalam proses menandatangani perjanjian TPPA. Bantuan kepada pengeksport adalah sangat penting apabila persaingan dalam pasaran antarabangsa menjadi lebih sengit nanti. Pemotongan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula adalah tidak secocok dengan laungan kerajaan tentang keprihatinan mereka kerana ia melibatkan program Vaksinasi HPV dan program mammogram.
Satu perkara yang sangat merunsingkan ialah walaupun banyak pemotongan dilakukan kepada berbagai peruntukan yang penting, namun peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri telah ditambah lebih dari RM1 billion. Perdana Menteri patut memberi penjelasan kerana jika tidak, ini akan menimbulkan persoalan kenapakah wang tersebut tidak diagihkan secara terus kepada berbagai kementerian kerajaan sebagai badan pelaksana program kerajaan untuk manfaat masyarakat? Tanpa penjelasan yang munasabah, ramai akan bertanggapan bahawa apa yang sedang berlaku ialah Perdana Menteri ingin membolot semua kredit dari perbelanjaan kerajaan untuk tujuan mengukuhkan kedudukan politik beliau.
Seterusnya aspek yang membimbangkan belanjawan ini ialah ianya masih lagi belanjawan defisit sebanyak 3.1 peratus, yang bermakna kerajaan Malaysia sudah melaksanakan belanjawan defisit selama 18 tahun berturut-turut. Dalam kaedah Islam, hutang sepatutnya diselesaikan segera dan bukan ditangguhkan. Lebih teruk lagi ialah ianya ditambahkan. Tetapi di dalam kes belanjawan negara kita, walaupun nisbah hutang kerajaan berbanding KNK negara naik sedikit sahaja ke 55 peratus (berbanding 54 peratus), namun ini bermakna hutang terkumpul semakin meningkat. Berdasarkan ramalan IMF, jumlahnya akan menghampiri RM1 trillion pada tahun 2020. Ini bermakna kerajaan akan tertekan untuk mencari sumber dana untuk menyelesaikan beban hutang ini dan oleh itu besar kemungkinan ianya akan datang dalam bentuk kadar GST yang semakin meningkat. Inilah realiti yang sedang berlaku di negara lain. Sebagai contoh di Jepun, kadar GST nya yang dahulu hanya 5 peratus telah meningkat menjadi 8 peratus sekarang dan dirancang utk dinaikkan ke tahap 10 peratus pada tahun hadapan.
Hutang isi-rumah dijangkakan akan meningkat juga. Pada tahun 2014 nisbah kepada KNK adalah 87 peratus. Oleh itu adalah dianggarkan pada tahun 2015, ianya sudah melepasi angka RM1 trillion. Ini adalah satu situasi yang membahayakan kerana jika berlaku kejatuhan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, ramai keluarga akan terkesan dengan hebat.
Respon rakyat kepada bajet ini mungkin bercampur-campur. Bagi yang sangat banyak mendapat faedah, seperti penduduk di Sabah dan Sarawak, sudah tentu mereka akan gembira dengan bajet ini. Begitu juga kumpulan lain seperti ahli beberapa NGO yang akan mendapat peruntukan sebanyak RM160 juta, usahawan yang mendapat manfaat secara langsung dari program TEKUN, dan mereka yang mendapat duit bantuan BRIM. Mereka semua akan berasa terhutang budi kepada kerajaan kerana bajet mempunya banyak aspek yang memberikan duit secara terus ke dalam poket mereka. Namun ada kemungkinan lambat laun mereka akan berasa tidak puas hati apabila menyedari bahawa mereka masih lagi terpaksa membayar GST setiap kali berbelanja di restoran dan supermarket, dan juga terpaksa membayar kenaikan kos tol (bagi mereka yang menggunakan lebuh raya). Mereka juga mungkin akan berasa tidak puas hati apabila kos kehidupan naik akibat dari inflasi.
Sebenarnya walaupun cukai GST, tol dan sebagainya memberi kesan kepada kenaikan kos kehidpuan, namun punca utama kepada kenaikan kos kehidupan adalah sebenarnya sistem kewangan yang kita amalkan di negara kita yang berasaskan kepada amalan riba. Sistem ini akan menggalakan orang untuk berhutang. Apabila jumlah hutang meningkat dengan cepat, jumlah wang juga akan meningkat dan sudah tentu inflasi akan berlaku. Ini adalah satu fenomina yang berlaku di hampir kesemua negara yang beramal dengan sistem riba termasuk di negara maju. Jika masih ramai yang terus berhutang untuk membeli rumah dan lain-lain, ini bermakna harga rumah dan barang lain akan terus naik dan akan memberi kesan kepada kos kehidupan mereka.
Tetapi rakyat yang kurang faham bagaimana sistem kewangan boleh menghasilkan masalah ini akan mengaitkan masalah kenaikan kos kehidupan secara langsung dengan beberapa perkara sahaja iaitu tren kejatuhan ringgit, tren pengurangan subsidi dan pelaksanaan GST oleh kerajaan. Tambahan pula, ada banyak berita di media sosial dan internet yang melaporkan tuduhan pembaziran dan ketirisan di pihak kerajaan yang menghasilkan keadaan di mana hanya segelintir dari rakyat yang berpengaruh mendapat habuan yang sangat banyak sedangkan sebahagian besar yang lain hidup dalam keadaan susah dan melarat. Sudah tentu ini akan membuat rakyat bertambah tidak puas hati kerana mereka akan merasakan mereka telah dizalimi.
Jika perasaan ini meluas dikalangan rakyat, sudah tentu mereka akan menuntut agar berlaku perubahan di dalam masyarakat, terutama dari aspek kuasa politik. Adalah diharapkan perasaan tidak puas hati ini tidak akan menghasilkan suasana kacau bilau yang akan merugikan semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.
Apa yang dapat dirumuskan ialah sebenarnya Bajet 2016 tidak akan mampu menangani masalah dan cabaran ekonomi yang sedang dan akan dihadapi oleh negara kita. Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan adalah sebenarnya sangat serius dan perlu kepada beberapa langkah penting dalam jangka pendek dan panjang. Dalam jangka pendek kerajaan perlu melakukan perkara berikut:
I. Menambahkan tahap ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan. Dengan cara ini perasaan syak wasangka dan tidak puas hati di kalangan rakyat akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.
II. Elemen pembaziran dan ketirisan dalam pentadbiran kewangan kerajaan, serta amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa mesti dihapuskan dengan serta merta.
III. Pelaksanaan projek kerajaan mestilah dilihat dilaksanakn dengan cara yang adil. Keadaan di mana persepsi bahawa hanya segelintir dari masyarakat yang mempunyai hubungan politik sahaja mendapat faedah dan manfaat dari perbelanjaan kerajaan mesti diatasi. Persepsi itu sekarang ini amat meluas dan selagi ianya tidak ditangani dengan berkesan, akan menimbulkan suasana tidak puas hati yang berleluasa di kalangan masyarakat.

Dalam jangka panjang, perubahan-perubahan diatas masih tidak akan menjamin kesejahteraan di dalam masyarakat. Daripada apa yang kita dapat lihat di negara lain, sebenarnya langkah meningkat pendapatan negara sahaja tidak akan mampu menjamin kesejahteraan hidup kepada rakyat. Sebagai contoh, di negara berpendapatan tinggi seperti Greece, Sepanyol, Amerika, Britain dan Jepun, ramai dari kalangan rakyat mereka hidup dalam keadaan sengsara. Sebagai contoh, di Amerika syarikat lebih dari 17 peratus rakyat adalah dalam golongan miskin, di Jepun ialah lebih dari 15peratus, di Sepanyol ialah 21 peratus dan di Greece ialah 30 peratus. Kerajaan di negara tersebut juga banyak memotong peruntukan kerana hutang kerajaan mereka juga amat tinggi. Sebagai contoh nisbah hutang kerajaan Jepun berbanding KNK adalah hampir 250 peratus , di Amerika Syarikat ialah 96 peratus, di UK ialah 97peratus, Spain 97.2 peratus, dan Greece ialah 158 peratus (berbanding 55 peratus di Malaysia). Oleh itu kerajaan negara tersebut juga telah terpaksa melakukan pemotongan kepada perbelanjaan dan akibatnya ramai golongan miskin merana. Kes gelandangan di negara-negara di atas adalah serius, bahkan lebih serius berbanding Malaysia.
Hakikat sebenar ialah selagi amalan riba berleluasa dalam masyarakat, kesejahteraan dari segi ekonomi tidak akan dapat dicapai. Oleh itu, dalam jangka panjang kita juga wajib mematuhi ajaran al Quraan berkenaan Riba. Sistem kewangan yang berasaskan kepada amalan riba mesti dihapuskan. Selagi sistem ini berleluasa dan berkembang dengan pesat, selagi itulah masalah ekonomi dan kewangan masyarakat tidak akan dapat diselesaikan dan lambat laun kita akan mengalami masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara lain juga.
Namun sistem kewangan Riba ini tidak akan dapat dihapuskan jika nilai masyarakat adalah nilai yang berasaskan kepada kebendaan, keduniaan dan kemewahan. Nilai-nilai tersebutlah lah yang diamalkan di Eropah dan akibatnya sistem kewangan berasaskan riba dapat berkembang dengan maju dan seterusnya menghasilkan berbagai masalah yang dihadapi mereka sekarang.
Oleh itu, disamping mewujudkan sistem pemerintahan yang adil, telus, demokratik dan saksama, kita juga semua mesti berusaha untuk menanamkan nilai Islam yang sebenar dalam masyarakat di mana rakyat bukan berlumba-lumba mencari kekayaan dunia tetapi berlumba-lumba mengejar pahala dengan cara berinfaq dan amal solih yang lain. Dengan cara inilah sebuah sistem ekonomi dan kewangan yang berteraskan ajaran Islam yang sebenar akan dapat diwujudkan, di mana institusi Waqf menggantikan institusi perbankan sebagai institusi terpenting di dalam sistem ekonomi. InshaAllah dengan itu kita dan juga generasi akan datang akan dapat menikmati kesejahteraan hidup yang sebenar di negara kita yang tercinta ini.

Monday, October 12, 2015

TPPA – Kenapa kerajaan begitu beriya-iya?

TPPA – Kenapa kerajaan begitu beriya-iya?

Oleh Prof. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan Pertubuhan IKRAM.

Susulan selesainya rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) di bandaraya Atlanta, Amerika Syarikat baru-baru ini, perdebatan dan perbincangan berkenaannya semakin hangat. Terdapat banyak isu yang ditimbulkan oleh berbagai pihak. Artikel ini akan membincangkan beberapa isu terpenting sahaja dan akan cuba merungkaikan persoalan kenapakah kerajaan Malaysia begitu beriaya-iya untuk menyertai perjanjian TPPA ini walaupun banyak pihak menentangnya.
Perlu disedari bahawa walaupun kerajaan Malaysia telah bersetuju kepada perjanjian ini, namun kerajaan Malaysia memilih untuk menjadi ahli kepada perjanjian secara rasmi hanya setelah mendapat persetujuan parlimen. Sebenarnya perkara ini juga berlaku di negara lain termasuk Amerika di mana kerajaannya juga perlu mendapat persetujuan kongres nya sebelum ia secara rasmi menjadi ahli TPPA. Oleh itu ramai pihak di negara yang terbabit sekarang sedang giat berusaha untuk mempengaruhi keputusan ini.

Penentangan terhadap TPPA adalah sangat lantang di kalangan beberapa organisasi dan persatuan. MTUC yang mewakili kesatuan buruh menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian ini akan menjejaskan kebajikan pekerja. Persatuan pengguna seperti CAP serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang kos kepada pengguna terutama sekali kos ubat-ubatan akan meningkat dan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga keras menentang TPPA kerana merasakan kebajikan usahawan dan peniaga bumiputera akan terjejas. Pengurusan syarikat dan perbadanan milik kerajaan (GLC) pula bimbang kedudukan mereka akan turut terjejas kerana perjanjian ini akan merubah beberapa peraturan berkaitan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, yang akhirnya akan menguntungkan syarikat asing secara tidak adil. 

Akhir sekali satu sebab kenapa perjanjian ini ditentang ialah kerana ianya dikatakan akan menjejaskan kedaulatan negara akibat dari provisi `Investor State Dispute Resolution’ yang membenarkan syarikat asing yang melabur menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa jika syarikat merasakan keuntungan pelaburan mereka terjejas akibat perubahan dalam polisi atau undang-undang negara yang terbabit.

Sebenarnya kesemua kebimbangan mereka adalah mempunyai asas yang sangat kukuh dan sukar untuk dinafikan. Namun perlu disedari juga bahawa penentangan terhadap TPPA juga lantang di negara lain termasuk di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di antara penentang utama TPPA di Amerika Syarikat adalah AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai  56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat. Mereka merasakan bahawa perjanjian ini akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan akan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah seperti Malaysia. Satu lagi persatuan dari barat yang sangat menentang perjanjian ini ialah MSF  (Médecins Sans Frontières/Doctors Without Borders). Ini kerana mereka merasakan kos ubat-ubatan akan meningkat di semua negara ahli TPPA termasuk di negara barat akibat terma perjanjian yang akan menyekat proses pengeluaran ubatan generik yang lebih murah. Akibat kempen yang giat oleh banyak organisasi yang menentang TPPA, ramai rakyat Amerika sebenarnya sangat bencikan perjanjian ini. Maka tidak hairanlah kenapa dua calun utama dalam pertandingan merebut jawatan Presiden di Amerika, iaitu Hilary Clinton dari parti Democrat dan Donald Trump dari parti Republican adalah antara penentang utama perjanjian ini, mungkin kerana menyedari bahawa pendirian menentang TPPA akan memastikan mereka akan mendapat banyak sokongan dari kalangan rakyat Amerika.

Persoalan yang timbul ialah jika kebimbangan oleh berbagai pihak di atas adalah kukuh dan berasas, kenapakah kerajaan dari dua belas negara yang terlibat masih meneruskan perjanjian ini?  Jawapannya ialah kerana terdapat satu kumpulan yang sangat berpengaruh yang sangat menyokong perjanjian ini iaitu organisasi perniagaan yang berdaya saing tinggi dan kuat dalam pasaran antarabangsa. Di Malaysia, kebanyakan mereka adalah ahli kepada FMM (Federation  of Malaysian Manufacturers).  Oleh sebab itu, FMM adalah penyokong paling kuat kepada perjanjian TPPA. Sebab utama mereka menyokong perjanjian ini ialah kerana perjanjian ini akan membuka ruang eksport yang lebih luas kepada ahli FMM, terutama dari sektor tekstil, elektronik dan barangan otomotif. Mereka berpendapat perjanjian ini akan membantu mereka meningkatkan pendapatan kerana pasaran baru akan terbuka untuk mereka seperti dari negara Canada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru. Pelaburan juga akan bertambah dan sudah tentu juga peluang pekerjaan dalam sektor mereka. Di samping  syarikat di atas, syarikat-syarikat gergasi dalam sektor minyak sawit negara juga menyokong perjanjian ini. Ini kerana mereka merasakan bahawa eksport minyak sawit akan meningkat dengan mendadak akibat peluang pemasaran di negara lain terutama sekali di Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat pula, penyokong utama kepada perjanjian ini juga adalah dari kalangan syarikat perniagaan yang besar dan kuat, yang mengeskpot ke luar negara seperti dari sektor farmaseutikal dan pertanian. Begitu juga, antara penyokong utama TPPA dari negara New Zealand adalah syarikat pengeskport dalam sektor tenusu sementara dari Canada adalah syarikat pengeksport dari sektor keluaran daging.

Jelas sekali, bahawa kumpulan yang sangat akan mendapat manfaat dari TPPA adalah syarikat perniagaan, terutama sekali dari kalangan syarikat yang besar, dan kuat atau kompetitif dalam pasaran antarabangsa.  Di samping itu, kebanyakan dari syarikat ini mempunyai beban hutang yang sangat tinggi akibat dari strategi perkembangan mereka. Beban hutang ini mewajibkan mereka membesarkan saiz pendapatan mereka dan ini hanya akan dapat dilakukan jika saiz pasaran untuk keluaran mereka juga bertambah. TPPA lah yang akan membantu meluaskan saiz pasaran mereka.

Kerajaan dari semua negara pula sangat bergantung kepada syarikat-syarikat ini untuk membantu merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi negara.  Oleh itu mereka merasakan bahawa perjanjian ini bukan sahaja akan menambahkan peluang pekerjaan, malah kadar pertumbuhan ekonomi juga akan meningkat. Pendapat mereka diperkukuhkan lagi oleh dapatan dari beberapa kajian. Sebagai contoh  sebuah organisasi penyelidikan ekonomi antarabangsa yang berpengaruh iaitu `The Peterson Institute for International Economics’ menyatakan bahawa TPPA berupaya meningkatkan pendapatan sebanyak USD295 billion serta peningkatan perdagangan sebanyak USD1.9 trillion di negara terbabit. Ini kerana bukan sahaja akan wujud liberalisasi dalam eksport dan import bahkan juga liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan teknologi.  Dalam kes Malaysia, Peterson Institute meramalkan saiz ekonomi Malaysia (yakni GDP) akan meningkat lebih dari 5 peratus pada tahun 2025 akibat dari perjanjian ini. Jika beberapa negara Asia seperti Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand turut menyertai perjanjian ini nanti (dan menjadikan keahlian berjumlah 17 negara), peratusan ini akan meningkat menjadi lebih dari 10 peratus. Ini sudah tentu adalah satu angka yang sangat memberangsangkan.

Sebaliknya, jika perjanjian ini tidak wujud, kesemua pemimpin politik dari kesemua dua belas negara terlibat merasakan sukar untuk berlakunya pertumbuhan ekonomi di negara mereka. Tambahan pula suasana ekonomi yang terbantut bermakna pendapatan kerajaan juga akan terjejas. Di samping itu hampir kesemua kerajaan ini mempunyai beban hutang yang tinggi dan oleh itu suasana ekonomi yang terbantut akan bermakna kerajaan akan terpaksa melaksanakan langkah berjimat cermat atau meningkatkan kadar cukai untuk menampung perbelanjaan negara. Sudah tentu langkah tersebut adalah tidak popular. Di samping membuat rakyat semakin kecewa terhadap kerajaan, langkah tersebut juga akan tentu sekali menjejaskan sokongan politik rakyat terhadap mereka.

Jelas sekali bahawa isu pertumbuhan ekonomi lah menjadi faktor utama kenapa kerajaan di kesemua dua belas negara yang terlibat dalam TPPA begitu berusaha untuk menjayakan perjanjian ini. Isu ekonomi juga akan memastikan bahawa beberapa negara lain yang belum menjadi ahli termasuk negara China, akan lambat laun memohon untuk turut serta dalam perjanjian TPPA ini. Pemimpin politik di kesemua negara ini semua sedar bahawa pada masa ini garis ukur yang digunakan oleh rakyat untuk menyokong sesebuah kerajaan adalah prestasi ekonomi semata-mata. Walapun kedaulatan negara akan lebih  utuh jika sesebuah negara memilih untuk tidak menyertai perjanjian ini, namun sebenarnya mereka juga sedar bahawa jika rakyat merasakan suasana ekonomi adalah tidak baik dan pendapatan mereka tidak bertambah, rakyat akan masih tidak berpuas hati atau marah kepada kerajaan dan akan berusaha untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan kerajaan baru yang dirasakan akan boleh menjamin keadaan ekonomi mereka adalah lebih baik.  

Sebenarnya pertumbuhan ekonomi yang akan dialami oleh negara yang terbabit akan menguntungkan sebahagian kecil sahaja dari masyarakat, yang terdiri dari golongan yang sudah  kaya, yang sedang mengawal sumber kewangan negara. Di samping itu, seperti yang telah terbukti berlaku di negara maju, pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan akan juga bermakna kenaikan kos kehidupan akibat dari inflasi dan pertumbuhan tahap hutang dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, tahap kebajikan rakyat akan masih terjejas dalam jangka panjang walau pun berlakunya pertumbuhan ekonomi. Namun, ramai yang tidak menyedari hakikat ini dan oleh itu mereka akan tetap menjadikan pertumbuhan  ekonomi dan kenaikan pendapatan sebagai isu paling utama. Dan oleh sebab itulah kerajaan di kesemua dua belas negara ahli TPPA, termasuk Malaysia akan berusaha untuk mengesahkan keahlian mereka, sementara yang lain akan berusaha untuk menyertainya di masa akan datang.


Jawaban kepada soalan kenapa kerajaan begitu beriya-iya kepada TPPA ialah kerana, sama ada secara sedar atau tidak sedar, itulah sebenarnya kemahuan sebahagian besar rakyat. Selagi fokus mereka tidak berubah dari isu pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan semata-mata, kerajaan tidak akan berganjak dari berusaha untuk menyertai TPPA.

Monday, September 21, 2015

PROTES KUNING - MERAH : PUNCA DAN IMPLIKASI
Prof. Mohd Nazari Ismail, Phd.
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

Baru-baru ini kita telah menyaksikan dua perhimpunan besar di bandaraya Kuala Lumpur. Perhimpunan pertama terdiri dari mereka yang berbaju kuning yang menuntut supaya wujudnya pilihanraya yang adil dan bebas, kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, menguatkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara. Perhimpunan yang kedua oleh yang berbaju merah pula agak sukar difahami objektifnya kerana tidak dinyatakan secara jelas. Namun ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah kombinasi reaksi membantah perhimpunan pertama serta memberi amaran kepada kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina supaya menghormati status ketuanan Melayu di Malaysia.
Walaupun objektif kedua-dua perhimpunan adalah sangat berbeza, namun pada pengamatan saya pula, satu faktor utama yang mencetuskan perhimpunan di atas, yang mungkin disedari hanya oleh sebahagian kecil dari mereka yang berhimpun, adalah masalah ekonomi yang dihadapi oleh mereka sendiri. Ini kerana kebiasaanya, apabila rakyat merasa selesa dengan kehidupan mereka, mereka menjadi tidak sensitif terhadap aspek penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin. Begitu juga perasaan negatif terhadap bangsa lain tidak akan menjadi kuat jika masyarakat dalam keadaan selesa dan mewah. Namun demikian, keadaan akan berubah jika rakyat merasa tertekan dengan kesempitan hidup akibat beban kewangan yang tinggi dalam menjalani kehidupan harian.
Terdapat beberapa bukti kepada analisis ini. Di Amerika Syarikat, pada dekad-dekad sebelum ini, amat jarang sekali kita melihat perhimpunan berbentuk protes secara besar-besaran kecuali perhimpunan gerakan hak sivil untuk memberikan hak yang lebih kepada golongan kulit hitam yang tertindas dan juga protes terhadap penglibatan Amerika Syarikat di dalam perang Vietnam. Namun dalam dua dekad terakhir ini, telah berlaku beberapa perhimpunan protes terutama sekali di sekitar lokasi mesyuarat institusi kewangan IMF atau WTO. Contoh yang terbaik adalah protes yang agak ganas terhadap WTO di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun 1999.
Satu lagi adalah perhimpunan `Gerakan Occupy’ (Occupy Movement) di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat yang bermula di Zuccotti Park di bandaraya New York pada 17 September 2011 dengan gelaran gerakan `Occupy Wall Street’. Perhimpunan ini telah disusuli dengan perhimpunan yang sama di beberapa bandaraya lain di seluruh dunia. Isu pokok yang ditekankan ialah kewujudan ketidakadilan keadaan sosio-ekonomi (social and economic inequality) di dalam masyarakat. Ungkapan yang digunakan oleh pendemonstrasi ialah `We are the 99%’ yang merujuk kepada keadaan di mana dirasakan 99 peratus rakyat hidup dalam kesusahan dan hanya 1 peratus yang hidup dalam kesenangan. Beberapa perhimpunan berbentuk `Occupy’ ini juga berlaku di Eropah seperti `Occupy London’ pada tahun 2012 yang berpusat di luar St Paul’s Cathedral.
Di Timur Tengah, fenomena protes ini juga telah berlaku dengan gelaran `Arab Spring’. Ianya tercetus pada tahun 2010 di Tunisia apabila seorang pemuda yang berasa begitu kecewa dengan kesempitan hidupnya telah dizalimi oleh pihak polis telah membakar dirinya sehingga mati. Protes besar-besaran yang menyusul berjaya menggulingkan pemerintah negara tersebut. Sementara di Mesir pula kemuncaknya ialah kejatuhan Presiden Mubarak pada tahun 2013. Faktor utama kenapa begitu ramai pendemonstrasi di Mesir sanggup bersabung nyawa menentang pemerintah yang zalim ialah kerana keperitan hidup terutama sekali pengangguran di kalangan pemuda dan pemudi. Punca yang sama jugalah telah berjaya menggulingkan Muammar Gaddafi di Libya kerana di negara tersebut, bukan sahaja wujud seorang pemerintah yang zalim bahkan juga kadar pengangguran yang tinggi di kalangan pemuda iaitu sekitar 50%. Di Mesir pemimpin yang dilahirkan oleh revolusi iaitu Presiden Morsi telah dirampas kuasanya secara haram oleh Presiden As Sisi. Namun demikian, ramai yang meramalkan As Sisi akan menghadapi revolusi yang kedua kerana keadaan ekonomi Mesir yang begitu tenat dan kadar pengangguran yang tinggi terutamanya di kalangan pemuda.
Sebenarnya masalah ekonomi dan masalah kos kehidupan serta masalah pengangguran adalah masalah global, ianya berlaku di hampir kesemua negara di dunia. Bahkan ianya lebih meruncing di negara-negara berpendapatan tinggi seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun. Begitu juga negara jiran kita iaitu Singapura yang dilihat sebagai negara termaju di Asia Tenggara. Sebagai contoh, kos perumahan di Singapura adalah sangat tinggi dengan sewaan HDB flat (iaitu jenis kediaman paling murah di Singapura) boleh meningkat kepada lebih dari RM7,000 sebulan. Pendapatan di Singapura bukanlah tinggi sangat berbanding kos kehidupan rakyatnya. Sebagai contoh, pendapatan guru adalah hanya lebih kurang RM8 ribu sebulan. Ini bermakna hampir keseluruhan pendapatan guru akan dihabiskan dengan pembayaran sewa. Di Tokyo pula, kadar sewaan apartmen satu bilik adalah lebih dari RM10 ribu sebulan. Jelaslah kepada kita bahawa masalah kesempitan hidup ini adalah masalah global dan dihadapi oleh hampir kesemua negara. Ironinya negara yang berpendapatan tinggi adalah yang paling tertekan, terutama sekali apabila kadar penganggurannya adalah tinggi.
Apa yang dapat dirumuskan ialah punca masalah kesempitan hidup rakyat bukannya kerana pendapatan per kapita yang rendah atau kezaliman pemimpin semata-mata. Sebenarnya punca masalah tersebut adalah sistem kewangan negara yang berkembang dengan cepat akibat penciptaan matawang dengan banyak melalui penciptaan kredit. Apabila sektor kewangan berkembang, sektor ini akan memberikan hutang kepada kerajaan, sektor swasta dan isi rumah dengan banyak. Ekonomi negara akan berkembang pesat pada mulanya. Namun demikian, lambat laun masalah akan timbul kerana kos kehidupan akan bertambah dan dalam masa yang sama tahap hutang juga meningkat. Kesannya ialah inflasi yang sentiasa meningkat sementara tahap hutang semakin tinggi. Sebagai contoh, di Malaysia jumlah hutang isi rumah berbanding KNK adalah hanya 57% pada tahun 2002. Pada tahun 2013 peratusannya meningkat menjadi 87%. Pada akhir tahun 2008, jumlah hutang isi rumah di negara ini ialah RM465 billion dan pada akhir tahun 2014 ianya telah meningkat menjadi RM940 billion. Tahap gaji pula tidak akan meningkat pada kadar yang sama dengan inflasi kerana kebanyakan firma mempunyai bebanan hutang yang tinggi di samping menghadapi tekanan persaingan yang sengit dari firma pesaing yang lain yang juga menghadapi tekanan hutang yang tinggi.
Persoalannya mengapakah di negara kita ramai yang berasa marah kepada kerajaan sementara di negara-negara barat kemarahan telah ditujukan kepada sektor kewangan? Jawapannya ialah rakyat negara ini yang tertekan akan mencari tempat untuk melepaskan kemarahan mereka. Oleh kerana wujud masalah ketidakadilan, penindasan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin maka rakyat merasakan itulah punca utamanya. Kebanyakan mereka tidak faham akan peranan sistem kewangan dalam mengakibatkan mereka mengalami kesempitan hidup. Sebaliknya di negara barat, masalah salah guna kuasa dan rasuah adalah tidak begitu serius. Tahap ketelusan dalam pentadbiran negara adalah sangat tinggi. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat semua rakyat tahu apakah pendapatan Presiden Obama setahun serta harta pemilikan beliau. Mereka juga diberi hak untuk mengetahui kenapa sesebuah syarikat mendapat kontrak kerajaan. Oleh sebab itulah protes yang berlaku di barat ditujukan kepada institusi kewangan dan tidak kepada pemerintah. Sebaliknya di negara kita, tahap ketelusan adalah rendah. Ditambah pula dengan pendedahan kisah penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang sangat meluas, terutama di alam maya dan kerajaan pula telah gagal meyakinkan rakyat bahawa kisah tersebut adalah palsu atau tidak benar.
Akibatnya di Malaysia sebahagian besar dari rakyat merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah semata-mata akibat dari penyalahgunaan kuasa pemimpin Barisan Nasional. Malangnya reaksi pemimpin Barisan Nasional juga tidak membantu. Mereka sepatutnya memberikan maklumat dengan lebih terperinci untuk membuktikan bahawa mereka tidak menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, mereka dilihat menggunakan kuasa untuk menutup kisah-kisah yang telah dibongkarkan. Contohnya dalam kes 1MDB, pegawai penyiasat telah disekat atau dipindahkan sementara Peguam Negara telah dipecat dari jawatannya. Isu perkauman pula telah digunakan untuk menarik perhatian rakyat daripada isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih penting untuk dibincangkan. Sudah tentu ramai yang tidak yakin bahawa bangsa Cina adalah punca kepada semua permasalahan negara. Namun akan wujud juga segelintir yang senang terpedaya dan merasakan bahawa kesempitan hidup mereka adalah akibat dari tindak tanduk kaum Cina yang dilihat semakin berani mencabar hak istimewa orang Melayu.
Taktik menggunakan sentimen perkauman ini adalah taktik biasa pemimpin yang sudah kehabisan modal untuk berhujah secara rasional. Malangnya sentimen kaum adalah sesuatu yang menyentuh emosi dan oleh itu mudah mendapat sambutan segelintir rakyat, terutama sekali dari kalangan yang tidak berfikiran kritikal, atau kurang terdedah kepada maklumat di alam maya atau siber. Adalah diharapkan taktik pemerintah untuk memanipulasi pemikiran mereka ini tidak akan berjaya kerana sekiranya ia berjaya, ia bakal menimbulkan suasana kekecohan yang sangat merbahaya kepada kestabilan politik negara di masa akan datang.
Berdasarkan perkembangan tersebut, adalah jelas negara ini berpotensi menghadapi keadaan yang getir dan merbahaya di masa akan datang jika isu perkauman ini terus dimainkan. Di Rwanda pada tahun 1994, rakyat telah dimanipulasikan oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan konflik perkauman yang dahsyat yang mengakibatkan hampir satu juta penduduknya terkorban. Adalah tidak mustahil konflik seperti ini boleh berlaku di negara kita, jika suasana ekonomi menjadi bertambah tenat sementara pemimpin semakin ghairah meniup api perkauman. Untuk mengelakkan senario yang dahsyat ini dari berlaku, masyarakat Malaysia perlu memastikan beberapa perkara penting seperti berikut diwujudkan di negara kita:
1. Sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus. Ini kerana dalam keadaan tersebut, perbincangan boleh dilakukan dengan bebas untuk memastikan pendapat yang baik dan bernas dapat dikeluarkan dan menjadi input kepada polisi negara yang akan menjamin kesejahteraan rakyat. Di samping itu, rakyat juga akan berasa tidak dizalimi dan manipulasi sentimen kaum akan dapat dibenteras daripada awal lagi. Sudah tentu sistem politik yang lebih bebas, adil, saksama dan telus akan memastikan negara akan mendapat pemimpin yang amanah dan ikhlas dan bukannya pemimpin yang khianat dan mementingkan diri sendiri.
2. Sistem ekonomi yang bebas dari amalan riba. Dengan cara itu kadar inflasi akan menurun, kos kehidupan akan terkawal, beban hutang dalam masyarakat akan menurun, tahap persaingan antara firma juga akan menurun, syarikat sederhana dan kecil akan bertambah dan peluang pekerjaan juga akan bertambah.
3. Sistem nilai masyarakat yang berasaskan kepada ajaran agama dan tidak menekankan aspek material semata-mata. Dengan cara itu, kadar kepenggunaan (consumption) akan terkawal, dan masyarakat tidak akan mempunyai gaya hidup yang suka berhutang dan oleh yang demikian sistem Riba tidak akan dapat berkembang.
Perlaksanaan kesemua perkara di atas memerlukan banyak usaha dan pengorbanan, terutama sekali dari mereka yang menggelar diri mereka sebagai pendakwah yang sedang berusaha mewujudkan sebuah negara rahmah. InshaAllah usaha ini akan berjaya dan generasi akan datang akan hidup dalam keadaan yang makmur dan selamat di dunia dan juga akhirat.