Sunday, September 30, 2012

Bajet 2013


Pelbagai pandangan telah diberikan terhadap Bajet 2013 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri. Ramai pihak mempunyai pandangan yang positif kerana banyak bantuan akan diberikan kepada pelbagai pihak terutama sekali yang berpendapatan rendah, serta golongan petani dan nelayan, warga tua, pelajar dan masyarakat luar bandar. Golongan muda yang berpendapatan rendah juga turut mendapat manfaat dalam bentuk rebat pembelian telefon bimbit berjumlah RM200, iaitu satu langkah yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Dalam erti kata yang lain, boleh dikatakan hampir kesemua golongan rakyat mendapat manfaat dari bajet tersebut.

Bagi kita orang Islam, apa yang menjadi perkiraan utama dalam menilai bajet tersebut sepatutnya bukanlah manfaat keduniaan kepada diri sendiri semata-mata. Yang lebih penting ialah adakah bajet tersebut sehaluan dengan prinsip dan ajaran Islam atau tidak. Ini kerana sebagai orang Islam, kita semua telah dididik dengan ajaran Al-Quraan bahawa sumber kesejahteraan negara dan masyarakat adalah di tangan Allah SWT. Negara tidak akan aman damai dan sejahtera tanpa keizinan Allah yang Maha Berkuasa. Apa pun perkara yang kita lakukan, termasuk dalam merangka bajet negara mestilah dilakukan dengan pertimbangan mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Oleh itu, isu utama yang perlu dikaji ialah sama ada Bajet 2013 bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam.

Jawapan kepada persoalan sama ada Bajet 2013 bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam adalah agak jelas. Ini kerana ciri utama kepada bajet tersebut ialah ia memerlukan kerajaan menambahkan hutangnya lagi untuk tahun yang ke-16 berturut-turut semenjak dari tahun 1997.  Akibat dari belanjawan yang sentiasa berbentuk defisit dalam tempoh yang lama itu, hutang terkumpul kerajaan sekarang sudah mencapai RM503 billion. Jumlah berkenaan adalah satu jumlah yang sangat besar terutama sekali jika kita mengambil maklum bahawa hutang kerajaan hanya berjumlah tidak sampai RM5 billion pada tahun 1970.  

Dari perspektif Islam, adalah tidak salah untuk kerajaan berhutang untuk memberikan manfaat kepada rakyat. Tetapi langkah berhutang tersebut mesti memenuhi dua syarat utama iaitu hutang tersebut bebas dari unsur Riba serta hutang tersebut boleh dibayar balik oleh kerajaan. Malangnya kedua-dua syarat utama tersebut jelas tidak dapat dipenuhi. Sumber utama kepada hutang negara adalah dengan menggunakan instrumen `Sekuriti Kerajaan Malaysia’ (Malaysian Government Securities atau MGS) yang menggunakan kaedah Riba yang jelas haram dari perspektif Syariah. Tambahan pula, hutang kerajaan yang terkumpul sekarang telah meningkat ke angka lebih dari separuh trillion Ringgit dengan penjelasan hutang tahunan (Debt Service) yang meningkat setiap tahun. Untuk makluman, pada tahun 1998 penjelasan hutang tahunan oleh kerajaan hanya berjumlah RM7 billion, namun sekarang ini ianya akan melebihi RM20 billion setahun pada tahun 2013. Tren ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak berupaya mengambil langkah mengurangkan jumlah hutangnya, bahkan juga tidak berupaya atau tidak bercadang untuk mengambil langkah untuk mengelak dari menambahkan beban hutangnya.  

Sebenarnya kaedah pembiayaan kewangan negara sudah jauh tersimpang dari pendekatan Islam. Di dalam Islam sepatutnya kerajaan hanya berbelanja untuk rakyat berdasarkan pendapatan yang diperolehi sahaja. Di samping itu, pendapatan utama kerajaan sepatutnya adalah dari sumber yang terhad sahaja seperti hasil galian seperti minyak atau bijih, atau sewaan harta kerajaan (Kharaj) atau zakat di mana zakat hanya boleh dibelanjakan menurut syarat yang ketat sahaja. Ramai ulamak berpendapat bahawa kerajaan mesti mengelak dari memperolehi pendapatan melalui percukaian yang dikenakan ke atas rakyat atau melalui sumber hutang. Menurut mereka, percukaian sebagai sumber pendapatan atau melalui hutang sepatutnya hanya dilakukan sebagai langkah terakhir dan untuk keperluan mendesak sahaja seperti untuk membantu memberi makan kepada golongan miskin dan melarat atau untuk tujuan pertahanan negara. Jika kerajaan mempunyai sumber pendapatan dari sumber galian atau dari pemilikan harta seperti tanah dan sebagainya, maka sepatutnya kerajaan tidak lagi perlu untuk mengenakan cukai kepada rakyat atau berhutang.

Sebaliknya sekarang kita menghadapi senario di mana kerajaan bukan sahaja mengenakan cukai kepada rakyat dalam berbagai bentuk termasuk cukai impot kereta dan sebagainya bahkan kerajaan juga sedang menambahkan jumlah hutang terkumpul ke tahap lebih dari lima ratus billion Ringgit.  Negara kita adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan bukannya sebuah negara yang kering kontang. Di samping itu rakyatnya juga adalah berpendidikan, mahir serta rajin. Ramai yang sanggup kerja siang dan malam untuk mencari rezeki. Oleh itu, jika pengurusan kewangan kerajaan dilakukan dengan baik dari dulu lagi dan jika langkah yang serius diambil untuk mengelak dari berlakunya pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan, maka sebenarnya tidak ada sebab kenapa kerajaan harus berhutang untuk membiayai perbelanjaannya.

Pada hakikatnya hutang kerajaan ini mesti dibayar pada satu hari nanti dan sudah tentu yang bertanggungjawab membayar hutang-hutang tersebut adalah generasi akan datang, iaitu generasi anak-anak dan cucu-cucu kita. Untuk menangani masalah hutang kerajaan ini di masa hadapan  perbelanjaan kerajaan sudah tentu akan terpaksa dikurangkan sementara pendapatan kerajaan pula sudah tentu juga perlu ditambahkan. Ini bermakna satu hari nanti polisi-polisi berikut akan terpaksa dilaksanakan:
1)         Cukai akan dinaikkan. Ini termasuk cukai pendapatan, cukai impot, cukai perkhidmatan, cukai jualan dan lain-lain
2)         Pelbagai bentuk subsidi terpaksa dikurangkan atau dihapuskan, termasuk subsidi minyak petrol dan disel, subsidi makanan, subsidi padi, subsidi pendidikan dan lain-lain
3)         Yuran bagi perkhidmatan kerajaan akan terpaksa dinaikkan seperti yuran persekolahan, yuran perkhidmatan kesihatan dan lain-lain
4)         Gaji penjawat awam akan terpaksa dipotong
5)         Pencen juga akan terpaksa dipotong
6)         Usia persaraan akan dilanjutkan
7)         Saiz sektor awam terpaksa dikecilkan dengan memberhentikan pekerja sektor awam secara paksa
8)         Dan lain-lain langkah yang difikirkan perlu untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan
Saya sangat yakin tentang keperluan langkah di atas dilaksanakan satu hari nanti kerana sebenarnya kesemuanya telah dan sedang dilaksanakan di beberapa buah negara di Eropah seperti Britain, Greece dan Sepanyol. Ini adalah kerana di tahun-tahun sebelumnya, semua kerajaan-kerajaan di negara-negara tersebut,  seperti juga di negara kita,  telah melaksanakan bajet yang defisit setiap tahun serta menambahkan hutang terkumpul kerajaan. Faktor utama adalah kerana kerajaan-kerajaan tersebut sentiasa bersaing untuk menjadi popular di mata rakyat dan oleh itu telah berbelanja dengan tidak berhemah untuk memberikan kesenangan kepada rakyat dengan harapan rakyat akan memberi undi kepada mereka setiap kali pilihanraya umum dijalankan. Akibatnya jumlah hutang terkumpul kerajaan telah menjadi terlampau tinggi. Oleh itu, sekarang ini mereka tidak dapat lagi mengelak dari mengambil langkah berjimat cermat yang drastik dengan cara memotong pelbagai jenis perbelanjaan dan menarik balik pelbagai bentuk subsidi untuk memastikan saluran hutang dari pihak-pihak pemiutang masih terbuka.

Sudah tentu langkah berjimat cermat ini tidak dipersetujui oleh rakyat. Mereka merasakan bahawa keadaan adalah tidak adil kerana mereka yang tidak bersalah terpaksa menanggung penderitaan akibat dari kesilapan pemimpin politik dalam menguruskan kewangan negara. Akibatnya telah berlaku protes dan tunjuk perasaan yang bersiri oleh rakyat yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dari langkah penjimatan tersebut. Seringkali protes menjadi ganas yang mengakibatkan ramai tercedera dan banyak harta benda rosak atau musnah. Bahkan ramai dari  warga negara mereka yang telah membunuh diri akibat tekanan kehidupan yang tidak dapat ditanggung serta perasaan kecewa dan putus harapan dengan masa depan yang dilihat semakin sempit, gelap dan menakutkan.

Kita kena sedar bahawa maqasid atau tujuan Syariat Islam adalah untuk mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Senario kegawatan ekonomi, huru-hara dan kesengsaraan yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan yang juga akan berlaku di negara kita jika kaedah pengurusan kewangan negara ini tidak diubah kepada cara Islam jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi tanggungawab semua ahli masyarakat, terutama sekali dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah berusaha dengan segala daya mereka untuk memastikan bahawa ajaran Islam diamalkan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan termasuk di dalam aspek penyediaan bajet negara.

Akhir sekali, isu yang perlu difikirkan ialah tentang isu keadilan kepada generasi akan datang. Sekarang ini kerajaan jelas sedang mengejar populariti di mata rakyat dan telah memberikan rakyat banyak manfaat menerusi Bajet 2013 supaya semua merasa senang dan berpuas hati. Persoalannya, adakah kerajaan juga telah berlaku adil kepada generasi akan datang yang akan menderita di hari muka akibat dari terpaksa menghadapi berbagai masalah hasil dari langkah yang terpaksa diambil untuk membayar balik semua hutang yang kelak nanti sudah sampai ke tahap yang tidak dapat ditanggung lagi?

Tuesday, April 10, 2012

Penghapusan PTPTN: Penyelesaian yang Yang Realisitk?

Salah satu isu yang hangat sangat diperbahaskan di negara kita ialah janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN jika pembangkang berjaya memenangi pilihanraya akan datang. Ini bermakna jika kerajaan BN tewas, maka di masa akan datang semua pelajar Malaysia yang akan menuntut di IPTA dan IPTS akan memperolehi pendidikan secara percuma sementara semua pelajar dan bekas pelajar yang berhutang dengan PTPTN akan dikecualikan dari membayar hutang-hutang mereka. Menurut ketua pembangkang langkah ini boleh dilaksanakan kerana pendapatan Petronas adalah mencukupi untuk membiayai kos pendidikan di negara kita. Sebaliknya reaksi kerajaan dalam hal ini ialah bahawa langkah tersebut akan memufliskan negara. Ini kerana kerajaan akan terpaksa menambahkan lagi jumlah hutangnya. Persoalan yang mungkin berlegar di kepala kita ialah siapakah yang bercakap benar dan boleh dipercayai.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah pada masa ini keadaan kewangan negara adalah di dalam keadaan yang tenat. Itulah sebabnya hutang kerajaan sudah pun mencapai tahap yang begitu tinggi iaitu melebihi RM455 billion atau 53% dari KDNK negara. Ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa pada tahun 1970 hutang kerajaan pada masa itu adalah sangat rendah iaitu kurang dari RM5 billion. Tetapi ianya telah meningkat dengan mendadak terutama sekali dalam masa 10 tahun yang lepas.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kenaikkan jumlah hutang tersebut. Sudah tentu faktor utama ialah kerana kerajaan telah tidak berbelanja dengan berhemah iaitu dengan berbelanja pada jumlah yang lebih dari pendapatan yamg diperolehinya. Jika kerajaan melaksanakan polisi berbelanja dengan jumlah yang sama dengan jumlah pendapatannya (iaitu dasar Balanced Budget) maka sudah tentu kerajaan tidak akan mempunyai sebarang hutang. Tetapi kerajaan juga sedar bahawa ini bermakna projek-projek pembangunan yang baru tidak akan dapat dilaksanakan. Kadar pertumbuhan ekonomi juga akan menjadi lembab.Semua ini akan menjejaskan pengaruh politik kerajaan. Satu cara untuk memastikan perbelanjaan yang besar masih dapat dilakukan tanpa berhutang ialah dengan meningkatkan pendapatan melalui kenaikan kadar cukai dan juga dengan menghapuskan subsidi. Tetapi langkah-langkah tersebut sudah tentu juga akan membuat kerajaan tidak popular dengan pengundi. Di samping itu, langkah menambahkan cukai dan mengurangkan subsidi akan membuka ruang politik kepada pihak pembangkang. Maka dengan itu kerajaan terpaksa mengambil jalan yang mudah pada jangka pendek iaitu dengan menampung perbelanjaan yang meningkat dengan berhutang. Sebenarnya ini adalah juga situasi yang berlaku di kebanyakan negara lain dan oleh sebab itulah di kebanyakan negara di dunia, hutang kerajaan adalah semakin meningkat.

Faktor kedua yang menyumbang kepada hutang negara yang meningkat ialah ketirisan dan pemborosan di dalam pengurusan kewangan negara. Ini juga berlaku di banyak negara lain, terutama sekali di negara-negara di mana sistem politik adalah tidak demokratik serta tidak wujudnya ketelusan dalam sistem kewangan kerajaan. Akibat dari ketirisan dan pemborosan tersebut, perbelanjaan kerajaan akan meningkat ke tahap yang tidak sepatutnya. Sudah tentu ini juga berlaku di negara kita. Namun jumlah ketirisan dan pemborosan adalah agak sukar untuk dianggarkan dengan tepat kerana banyak maklumat tidak dapat diperolehi akibat dari sistem pengurusan kewangan yang tidak telus.

Namun kita juga perlu menyedari bahawa salah satu dari punca utama kenapa pemborosan berlaku dalam perbelanjaan kerajaan adalah kerana budaya 'politik wang' sudah menular hingga ke akar umbi masyarakat. Akibatnya pada hari ini adalah sangat sukar untuk kita mendapati ahli politik yang tidak beramal dengan amalan politik wang. Ini kerana ramai dikalangan pengundi menjadikan pemimpin politik mereka sebagai salah satu dari 'sumber kewangan' mereka yang penting. Sebagai contoh, apabila seorang ahli politik dilantik menjadi wakil rakyat, ramai di kalangan rakyat akan meminta sumbangan kewangan dari beliau untuk berbagai tujuan termasuk bantuan kesihatan, untuk mengadakan kenduri perkahwinan anak, untuk membaiki rumah yang sudah rosak, untuk membantu pembiayaan pendidikan anak dan berbagai-bagai tujuan lain. Sudah tentu gaji seorang wakil rakyat tidak akan mencukupi untuk membiayai semua permintaan tersebut dan oleh itu sering kali ahli politk terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain untuk menampung kos aktiviti politiknya demi menjaga popularitinya di mata rakyat. Di antara sumber yang terpenting adalah `sumbangan' dari ahli perniagaan. Tetapi sudah tentu ahli perniagaan akan hanya sanggup menyumbang kepada tabung kewangan ahli politik jika ahli politik juga sanggup membantu mereka mendapat projek yang menguntungkan, khususnya projek-projek pembangunan kerajaan. Ahli perniagaan akan juga memastikan bahawa kos operasi mereka akan mengambil kira 'sumbangan' yang terpaksa diberikan kepada ahli politik yang membantu mereka. Inilah di antara sebab utama kenapa terdapat projek-projek kerajaan yang dilaksanakan walaupun tidak nampak keperluan kepada projek tersebut. Inilah juga antara sebab utama kenapa kos projek kerajaan melambung tinggi.

Sebenarnya jika pembangkang memenangi pilihanraya akan datang, sikap rakyat yang suka meminta-minta bantuan kewangan dari pemimpin politik mereka besar kemungkinan tidak akan berubah dengan mendadak. Oleh itu besar kemungkinan juga keadaan kewangan negara yang tenat tidak akan dapat dipulihkan dengan drastik dalam masa terdekat. Cuma besar kemungkinan suasana persekitaran politik akan menjadi lebih telus dan lebih demokratik. Ini sudah semestinya akan dapat membantu untuk mengurangkan kes-kes penyalahgunaan kuasa, pemborosan dan amalan politk kewangan yang sekarang ini sudah mencapai tahap yang menakutkan.

Satu lagi punca kepada kenaikan kos kehidupan serta juga kenaikan perbelanjaan negara ialah sistem kewangan yang diamalkan di negara kita adalah berdasarkan sistem riba. Sebenarnya mana-mana negara yang beramal dengan sistem riba akan mendapati bahawa tahap hutang sektor awam dan sektor swasta akan meningkat dengan cepat walaupun negara tersebut beramal dengan sistem demokrasi dan walau pun terdapat ketelusan dalam persekitaran politik negara tersebut. Bukti yang jelas ialah negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kesemua negara tersebut mempunyai sistem politik yang demokratik serta sistem pengurusan kewangan kerajaan yang telus. Namun hutang kerajaan di negara tersebut masih berada pada tahap yang tinggi dan oleh itu pembiayaan pendidikan masih tidak dapat diberikan secara percuma kepada rakyat. Di Amerika Syarikat sebagai contoh, hampir semua pelajar akan mempunyai hutang pendidkan yang tinggi sebaik sahaja mereka menghabiskan pelajaran mereka, kecuali jika mereka datang dari keluarga yang kaya atau di mana ibu-bapa sanggup mengorbankan kesenangan mereka untuk membiayai pendidikan anak mereka sendiri.

Jelaslah bahawa dalam masa terdekat, janji ketua pembangkang untuk menghapuskan PTPTN adalah satu janji yang akan sangat sukar untuk kotakan. Namun kita mendapati rakyat masih merasai bahawa ada kemungkinan janji tersebut boleh dilaksanakan walaupun kerajaan BN bermati-matian mengatakan bahwa janji tersebut mustahil dapat dilaksanakan. Kerajaan BN juga bermati-matian mengatakan bahawa jika janji tersebut dilaksanakan, hutang kerajaan akan dinaikkan kepada tahap yang membahayakan keadaan kewangan negara dan besar kemungkinan negara akan menjadi muflis. Namun hujah kerajaan BN sekarang semakin tidak dipercayai oleh rakyat. Punca utama ialah kerana sebahagian besar rakyat mempunyai persepsi yang kuat bahawa kerajaan BN sudah banyak kali menipu rakyat dan ramai di kalangan pemimpin BN juga terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan duit rakyat untuk memperkayakan diri sendiri. Ketua pembangkang menyedari hakikat itu dan jelas sekali sedang mengeksploitasikan nya untuk tujuan kejayaan politik beliau untuk jangka pendek.

Dalam jangka panjang negara kita sebenarnya memerlukan kepada perubahan yang besar dalam banyak perkara. Ini termasuk perubahan kepada sistem politik supaya ianya menjadi bertambah demokratik, perubahan kepada sistem pengurusan kewangan kerajaan supaya ianya menjadi semakin telus, perubahan kepada struktur kepimpinan masyarakat supaya pemimpin yang dilantik adalah dari kalangan yang bertaqwa dan berakhlak tinggi, serta perubahan kepada nilai serta tahap pemikiran masyarakat supaya mereka mereka akan menjadi lebih bijak dalam memilih pemimpin dan tidak mudah ditipu dengan 'gula-gula murahan' dan janji-janji kosong. Dalam erti kata yang lain kita memerlukan kepada proses pentarbiahan yang intensif yang melibatkan semua lapisan masyarakat demi untuk melahirkan generasi baru yang mempunyai tahap kefahaman dan penghayatan agama yang tinggi serta bersifat kritis dalam menilai isu-isu yang dihadapi. Pada masa itu kelak, kita harapkan PTPTN akan menjadi `non-issue'.

Akhir sekali izinkan saya menyatakan satu perkara yang menghairankan diri saya apabila memerhatikan beberapa kes-kes di kalangan ibu bapa yang mengatakan mereka tidak mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka sendiri dan menyuruh anak mereka berhutang dengan PTPTN. Ini kerana sering kali saya perhatikan bahawa ibu bapa ini juga sanggup membiayai pembelian kereta baru dan mewah untuk diri mereka sendiri yang berjumlah ratusan ribu Ringgit. Kenapa kah mereka tidak sanggup mengorbankan impian mereka untuk memperolehi kereta mewah demi memastikan anak-anak mereka tidak terperangkap dengan hutang pendidikan? Bagi saya ini adalah bukti bahawa sebenarnya salah satu punca utama masalah adalah sikap di kalangan rakyat sendiri. Selagi sikap ini tidak berubah suasana kewangan negara tidak akan berubah walaupun kerajaan yang memerintah sudah pun berubah.

Friday, March 2, 2012

Pencapaian Negara Pasca-Merdeka dalam Bidang Sosio-ekonomi

Pendahuluan

Negara kita telah merdeka selama 55 tahun. Kemerdekaan sepatutunya akan menghasilkan satu suasana yang lebih baik. Oleh kerana negara ini mengklasifikasikan dirinya sebagai sebuah negara Islam, persoalannya ialah setakat manakah pencapaian yang telah diperolehi dari aspek sosioekonomi jikalau dinilai dari sudut Islam.
Dalam usaha melakukan penilaian ini penulis akan menggunakan satu set kriteria yang berdasarkan satu artikel berkenaan ekonomi dari sudut Islam bertajuk “Matlamat-matlamat Ekonomi Berdasarkan Aturcara Islam” (Objectives of Islamic Economic Order).

Menurut Umer Chapra, matlamat-matlamat ekonomi tersebut adalah seperti berikut:
• Kesejahteraan Ekonomi (Economic Well-being)
• Ikatan ukhuwwah masyarakat serta keadilan (Universal brotherhood and justice)
• Agihan pendapatan yang adil (Equiable Distribution of Income)
• Kebebasan individu dalam konteks kebajikan sosial (Freedom of individual within the context of social welfare)
Sekarang marilah kita kaji pencapaian negara kita berdasarkan setiap satu objektif-objektif tersebut.

Kesejahteraan Ekonomi

Apa yang menarik berkenaan objektif ini ialah penekanan kepada konsep `kesejahteraan ekonomi’ dan bukannya `pertumbuhan ekonomi’ semata-mata. Ini berbeza dengan matlamat transformasi ekonomi kerajaan Malaysia sekarang yang ingin memastikan bahawa Malaysia menjadi negara maju dengan kenaikan kadar pendapatan melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat. Jelaslah bahawa pada pandangan Umer Chapra, negara yang mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat atau mempunyia kadar pendapatan yang tinggi tidak semestinya boleh mencapai `kesejahteraan ekonomi’.
Namun Umer Chapra menekankan bahawa Islam menekankan kepentingan mewujudkan sebuah masyarakat di mana tidak berlaku keadaan kesengsaraan atau kemiskinan yang melarat. Rasulullah saw sendiri menekanakan kepentingan membasmi kefakiran dengan sabda beliau yang masyhur yang bermaksud: “Hampir-hampir kefaqiran itu membawa kepada kekufuran.”(1)

Maka tidak hairanlah Umer Chapra telah menekankan menghilangkan sesengsaraan atau keperitan ekonomi menjadi salah satu objektif sistem ekonomi Islam.
Persoalannya adakah masyarakat Malaysia dalam keadaan kesengsaraan ekonomi atau tidak?
Satu cara untuk menilai keadaan ialah dengan melihat kepada tahap pendapatan masyarakat. Pendapatan rakyat Malaysia per kapita sekarang ini adalah USD14,110 pada tahun 2010.(2) Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding negara2 miskin di Afrika tetapi juga jauh lebih rendah berbanding negara maju seperti Amerika dan Greece. Tetapi sebenarnya kita sekarang tahu, berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan di Amerika dan Greece bahawa data berkenaan pendapatan tidak semestinya dapat mengukur tahap kesejahteraan ekonomi yang tepat. Ini kerana ia tidak memberi gambaran tentang beberapa perkara seperti:
a. Kestabilan pendapatan
b. Keselamatan pekerjaan (Job security)
c. Kadar hutang kerajaan dan isi rumah
Berkenaan aspek kestabilan pendapatan dan keselamatan pekerjaan, keadaan di Malaysia adalah sangat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia. Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang banyak terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Ini bermakna jika ekonomi antarabangsa meleset, terutama jika ia melibatkan negara yang mengimpot keluaran dari Malaysia, maka ekonomi Malaysia juga akan turut merudum. Ini telah berlaku beberapa kali, termasuk pada tahun 1997 dan juga pada tahun 2008.
Berkenaan aspek hutang kerajaan dan isi rumah, apa yang telah berlaku di beberapa negara seperti Greece membuktikan bahawa walaupun tahap pendapatan adalah tinggi, jika tahap hutang kerajaan dan isi rumah tinggi, maka kemungkinan berlaku krisis ekonomi juga adalah tinggi. Pada masa sekarang tahap hutang kerajaan persekutuan adalah 53% dari GDP dan melebihi RM450 billion. (Sila lihat Rajah 1)


Begitu juga hutang isu rumah adalah semakin meningkat. Pada tahun 2010, jumlah hutang isi rumah adalah RM581 billion iaitu bersamaan dengan RM21,691 per kapita. Disamping itu, nisbah hutang isi rumah berbanding dengan pendapatan boleh guna (disposable income) adalah yang dikalangan yang paling tinggi di dunia. (sila lihat rajah 2)

Ini adalah satu keadaan yang tidak baik kerana akan memberi implikasi negatif kepada kesejahteraan masyarakat. Tekanan kewangan akibat hutang yang tinggi atau akibat dari ancaman kemuflisan akan meningkatkan jenayah rompakan, kecurian, rasuah, penipuan dan lain-lain. Di samping itu, masalah sosial yang lain juga akan timbul seperti penyakit kemurungan, sakit mental, bunuh diri, perceraian, penderaan ahli keluarga dan lain-lain.

Rajah 1: Hutang Kerajaan Malaysia





Rajah 2: Perbandingan Nisbah Hutang Isi Rumah/Pendapatan Bolehguna Antara Beberapa Negara Terpilih





Hubungan persaudaraan (ukhuwwh) antara ahli Masyarakat dan Keadilan

Oleh keranan umat manusia kesemuanya adalah berasal dari Adam yang dicipta oleh Pencipta yang Maha Esa, maka Islam sangat menekankan aspek persaudaraan antara ahli masyarakat. Oleh itu sistem ekonomi berteraskan Islam mengutuk sikap perkauman dan berpuak-puak di mana puak sesuatu bangsa atau puak mereka dirasakan lebih baik dari puak yang lain atau lebih layak untuk mengecapi rezeki Allah di dalam sesebuah negara. Di samping itu, sepatutnya juga wujud sikap kerjasama yang tinggi dan wujud suasana keadilan di mana golongan termiskin tidak merasakan bahawa diri mereka teraniaya atau tertindas.
Malangnya di negara kita Malaysia jelas keadaan tidak seperti itu. Semangat perkauman sangat tinggi. Selepas berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, empat puluh tiga tahun yang lepas, suasana tidak banyak berubah. Bahkan konflik ganas antara Melayu dan India di Kampung Medan, KL pada tahun 2001 adalah bukti bahawa potensi untuk peristiwa 13 Mei berulang kembali adalah sangat tinggi.
Yang menyedihkan lagi ialah hubungan persaudaraan sesama orang Islam juga tidak kuat. Ini dapat disaksikan dan dirasai sendiri oleh kita semua. Sepatutnya masyarakat Islam di Malaysia ini adalah contoh kepada masyarakat bukan Islam tentang kemampuan ajaran agama Islam untuk menyatukan masyarakat. Sebaliknya, berdasarkan suasana yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia, apa yang mungkin menjadi tanggapan oleh orang bukan Islam ialah sebenarnya Islam tidak mampu menyatukan manusia.

Pengagihan pendapatan yang saksama

Kesaksamaan ekonomi dalam masayarakat adalah satu aspek yang ditekankan oleh Islam. Salah satu ayat yang masyhur tentang perkara ini ialah di dalam surah Al-Hasyr:
“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)” (Al-Hasyr:7).
Keadaan di mana harta mahsul masyarakat dimonopoli atau dikawal oleh sekumpulan kecil dalam masyarakat adalah satu suasana yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Berdasarkan statistik, keadaan agihan pendapatan di negara kita adalah tidak seteruk di beberapa negara lain. Sebagai contoh berdasarkan data Bank Dunia, Indeks Gini bagi Malaysia ialah 46 peratus . Ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara yang paling teruk iaitu Namibia (74%), Afrika Selatan (67%) dan Seychelles (66%). Tetapi kedudukan kita langsung tidak membanggakan jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Norway (26%), Japan (25%) dan Sweden (25%). Denmark (25%), dan Finland (25%).
Dari segi R/P 10%, Malaysia adalah 22.1% berbanding Norway iaitu hanya 6.1% atau Jerman (6.9%).
Jelaslah bahawa terdapat jurang pendapatan yang tinggi di Malaysia berbanding di negara-negara bukan Islam di barat.

Kebebasan individu untuk mencari rezeki dan berniaga.

Akhir sekali, matlamat ekonomi Islam ialah memastikan ahli masyarakat bebas untuk mencari rezeki dengan melakukan aktiviti-aktiviti produktif untuk menyara kehdiupan mereka dan ahli keluarga mereka. Kita harus ingat bahawa pada satu ketika, akibat kekecewaan masyarakat kepada sistem kapitalis barat, terdapat negara-negara yang memilih untuk menyusun sistem ekonomi mereka berdasarkan fahaman sosialisma. Pemilikan sumber-sumber pengeluaran ditarik dari individu-individu dan diserahkan kepada negara (state). Begitu juga keputusan dalam aspek ekonomi telah diserahkan kepada kerajaan dan tidak lagi dibuat oleh individu-individu. Negara-negara yang beramal dengan cara tersebut termasuk Russia, Cuba, Korea Utara dan beberapa negara Afrika. Sekarang ini hanya Cuba dan Korea Utara yang masih beramal dengan sistem tersebut. Ini kerana ia telah jelas gagal kerana melanggar tabii manusia yang inginkan kebebasan untuk mencari rezeki serta kebebasan untuk mendapat keuntungan dari titik peluh mereka sendiri.
Alhamdulillh, negara kita tidak pernah terjebak dengan sistem sosialis. Salah satu faktor utama ialah pengaruh fahama liberal-kapitalis yang dibawa oleh penjajah British ke negara kita semenjak ratusan tahun dahulu. Kesan atau pengaruh penjajah boleh dilihat sehingga sekarang.
Malangnya pengaruh penjajah barat inilah juga yang telah menanam nilai-nilai yang bertentangan dengan Islam di dalam masyarakat kita. Nilai liberal sekular ini telah berjaya menjadikan Islam sebagai agama yang terhad dalam amalannya iaitu hanya dalam aspek ritual dan di dalam aspek undang-undang keluarga sahaja. Di dalam bidang lain, masyarakat telah diajar bahawa mereka bebas untuk menentukan apa yang baik dan apakah yang buruk tanpa perlu merujuk kepada peraturan Syariah. Di samping itu nilai kebendaan dan budaya hidup hedonistik juga telah diterapkan di dalam masyarakat kita.
Akibat dari pengaruh tersebut, sekarang ini kita dapat saksikan bagaimana orang-orang Islam bebas beramal dengan amalan-amalan yang bertentangan dengan Syariah. Sebagai contoh, di dalam sektor kewangan, pemilik modal bebas untuk mengenakan bunga ke atas pinjaman yang diberikan semenjak kurun ke-17 lagi. Pada tahun 1951, Akta Moneylenders telah diluluskan yang membenarkan amalan riba berleluasa di negara kita sehingga sekarang. Sehingga hari ini, orang Islam bebas beramal dengan amalan riba tanpa diganggu oleh Mahkamah Syariah walaupun amalan tersebut dikategorikan sebagai dosa besar di dalam Islam.
Amalan lain yang bertentangn dengan ajaran islam juga bebas dilakukan di Malaysia, seperti pengeluaran dan penjualan arak secara terbuka, memiliki dan mengoperasi kedai judi, memiliki dan mengoperasi tempat-tempat hiburan seperti kelab-kelab malam di mana wujud unsur-unsur maksiat yang dilakukan secara terang-terangan dan lain-lain.

Rumusan

Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Ia juga adalah sebuah negara yang menjadi ahli kepada Organisation of Islamic Conference (OIC). Bahkan ada juga di kalangan masyarakat Malaysia yang menekankan bahawa sebenarya Perkara 3(1) – yang menyatakan bahawa Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perlembagaan Malaysia adalah bukti bahawa Malaysia bukannya negara sekular tetapi adalah sebuah negara Islam tulen.
Malangnya secara hakikat ini tidak terbukti secara amalan. Semenjak sebelum merdeka lagi nilai dan ‘world-view’ barat telah berjaya di tanam di dalam akal dan sanubari ramai pemimpin masyarakat Islam. Akibatnya prinsip dan peraturan Islam mempunyai peranan yan sangat terhad di dalam sistem kehidupan di Malaysia secara praktis termasuk dalam sistem ekonomi. Situasi ini tidak berubah sehingga hari ini.
Oleh kerana itu tidak harian kenapa matlamat utama sistem ekonomi Islam tidak dapat dicapai walaupun negara ini telah mengecapi kemerdekaan selama puluhan tahun.
Apa yang lebih membimbangkan ialah bahawa sistem ekonomi yang diamalkan di negara kita tidak berbeza dengan sistem ekonomi yang diamalkan di negara liberal sekular barat seperti Greece, Italy, Spain dan Amerika Syarikat yang semuanya sedang mengalami krisis ekonomi yang teruk. Oleh kerana sistem yang diamalkan adalah sama, kemungkinan negara kita akan juga mengalami krisis yang sama tidak dapat dinafikan lagi.
Menyedari hakikat bahawa hanya sistem ekonomi yang berlandaskan kepada ajaran Islam sahaja yang mampu menyelamatkan masyarakat kita dari masalah ekonomi di masa hadapan, maka adalah menjadi tanggungjawab semua ahli masyarakat Islam memberi sumbangan mereka kepada sedmua usaha untuk memperkasakan Syariah di negara kita, di dalam semua bidang termasuk ekonomi.
Perdebatan berkenaan sama ada negara kita adalah sebenarnya negara Islam atau negara sekular adalah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan usaha untuk meyakinkan ahli masyarakat bahawa kesejahteraan di dunia dan akhirat hanya akan dapat dicapai apabila ajaran Islam dilaksanakan sepenuhnya.
Kita juga mesti memperingatkan kepada sesama kita bahawa kemurkaan Allah akan menimpa masyarakat yang berpaling dari Islam. Tiada nasib yang lebih malang dari nasib masyarakat yang dimurkai oleh Allah Azzawajalla.

Nota kaki:
1. Satu lagi dalil Islam tidak menggalakkan umatnya menjadi miskin semata-mata. Ini kerana Nabi berdoa:
“Ya Allah. Saya berlindung dengan Kamu daripada kekufuran dan kefaqiran dan saya berlindung dengan Kamu daripada azab kubur. Tiada Ilah melainkan Kamu.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Nasaie dan Ahmad)
Tetapi jangan juga kita lupa tentang pesanan Nabi SAW berkenaan bahaya kekayaan, kemewahan dan kesenangan. Sabda Nabi:
“Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemiian.” (Hadis Bukhari-Kitab al-Jizyah no 2924)
Dalam erti kata yang lain, ajaran Islam tidak berfokus kepada menjadikan umatnya menjadi kaya semata-mata. Yang ditekankan oleh Islam ialah orang kaya bersifat syukur dan orang miskin bersifat sabar. Namun tidak dinafikan bahawa ulama berpandangan bahawa orang kaya yang bersyukur lebih afdhal berbanding orang miskin yang sabar kerana manfaat yang banyak untuk masyarakat.
2. Data dari World Bank, World Development Indicators, dan diperolehi dari: http://www.google.com.my/publicdata/explore?ds=d5bncppjof8f9_&met_y=ny_gnp_pcap_pp_cd&idim=country:MYS&dl=en&hl=en&q=gross+national+income+per+capita+malaysia