Monday, August 9, 2010

PENGHAPUSAN RIBA: SYARAT PENTING EKONOMI BERKEADILAN

Kertas ini telah dibentangkan di Seminar Maqasid Syariah: `Menggagas Model Ekonomi Berkeadilan' sempena Ijtima’ Harakiy Pertama anjuran ABIM, WADAH dan PKPIM
Tarikh: 7 Ogos 2010 M
Bersamaan: 26 Sya’ban 1431 H
Hari: Sabtu
Masa: 8:00 pagi hingga 4:30 petang
Tempat: Dewan Gemilang Mercu Idaman, German-Malaysian Institute, Kajang, Selangor


Pengenalan

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan Model Ekonomi Baru sebagai langkah untuk memastikan Malaysia akan mencapai objektif-objektif yang telah disasarkan sebelum tahun 2020. Beberapa langkah telah dikenalpasti di samping beberapa sektor yang akan diberi perhatian yang serius. Namun, satu aspek penting yang telah gagal diberi perhatian ialah penghapusan amalan riba di dalam sistem ekonomi negara. Sebenarnya sebagai seorang Islam yang percaya bahawa Allah adalah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, kita patut yakin, sedar dan insaf bahawa mana-mana model ekonomi yang beramalkan dengan riba tidak akan berjaya menghasilkan suasana ekonomi yang sejahtera dan berkeadilan. Bahkan sistem ekonomi tersebut akan lambat laun menghadapi suasana krisis yang akan mewujudkan kesengsaraan kepada semua ahli masyarakat.
Di dalam kertas ini, saya akan mengimbas kembali sejarah krisis ekonomi dan kewangan di dalam sistem ekonomi di beberapa tempat di dunia termasuk Eropah dan Amerika Syarikat untuk menghuraikan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Kegagalan Pakar Ekonomi
Paul Krugman, seorang profesor di dalam bidang ekonomi dari Amerika Syarikat yang juga pemenang Hadiah Nobel 2008 dalam bidang ekonomi telah mengaku bahawa beliau telah gagal meramalkan betapa seriusnya krisis ekonomi sub prima Amerika Syarikat yang bermula pada tahun 2008. Begitu juga Alan Greenspan, bekas pengerusi Federal Reserve Board di Amerika Syarikat yang pernah dikatakan sebagai pakar di atas segala pakar dalam bidang ekonomi, juga telah mengaku bahawa beliau gagal meramalkan krisis ekonomi sub prima tersebut. Termasuk juga dalam senarai adalah Prof Jeffrey Sachs dari Columbia University yang pernah memuji kehebatan ekonomi di Asia Tenggara pada tahun 1996 sejurus sebelum semua ekonomi negara-negara di Asia Tenggara jatuh menjunam pada tahun 1997. Jelaslah bahawa pendapat ramai `pakar-pakar’ bidang ekonomi dari barat tidak semuanya boleh dipercayai dan diterima bulat-bulat oleh kita.
Satu lagi perkara yang harus disedari ialah krisis ekonomi yang sekarang melanda Amerika Syarikat dan Eropah sedang berlaku di negara yang dikatakan `maju’. Tambahan pula negara-negara tersebut dikatakan mempunyai sektor kewangan yang paling hebat dan canggih, sistem kawalan dan peraturan yang paling rapi, institusi pengajian tinggi yang paling terkemuka dalam bidang ekonomi dan kewangan, serta jumlah pakar ekonomi dan pemenang hadiah Nobel dalam bidang ekonomi yang paling ramai. Tidakkah ini satu keganjilan yang harus difikirkan dengan mendalam?
Satu perkara yang harus kita memperingatkan diri kita ialah pakar-pakar ekonomi barat langsung tidak merasakan bahawa amalan riba adalah amalan yang buruk. Walhal Allah s.w.t. telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu jika benar kamu orang yang beriman. Oleh itu kalau kamu tidak juga melakukan (perintah meengenai larangan riba itu) maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan Allah dan Rasulnya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.(Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Al-Baqarah: 278-279)

Sebenarnya, manusia yang sanggup menolak amaran Allah yang sangat jelas itu bagi kita orang tersebut adalah orang yang bodoh dan sesat walau berapa banyak anugerah Nobel yang diterimanya sekalipun.

Ekonomi Berkeadilan
Apakah yang dimaksudkan sebagai ekonomi berkeadilan? Ada yang merasakan bahawa ekonomi berkeadilan adalah di mana semua orang akan mempunyai pendapatan yang sama. Bagi mereka keadilan ekonomi ialah keadaan di mana tidak wujudnya dua golongan dalam masyarakat – iaitu satu golongan pemodal yang kaya dan satu lagi golongan pekerja yang miskin. Oleh itu bagi mereka, keadilan ekonomi yang hakiki adalah di mana semua orang akan mempunyai pendapatan yang sama dan ini hanya boleh dicapai apabila modal tidak dimiliki oleh individu secara peribadi tetapi dimiliki secara kolektif. Mereka merasakan apabila terhapusnya kumpulan pemodal maka terhapuslah juga penindasan ke atas kumpulan pekerja. Ini adalah pendapat kumpulan sosialis dan komunis yang diasaskan oleh Karl Marx.

Pada pandangan Islam pendapat di atas tidak boleh diterima kerana adalah salah untuk menghalang seseorang individu dari memiliki modal dan seterusnya menggunakannya untuk berniaga dan mendapat keuntungan darinya. Semenjak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi di dalam masyarakat Islam, individu dibenarkan memiliki modal dan berniaga dan seterusnya mengaut keuntungan. Golongan pemodal ini seterusnya ada yang mengupah pekerja untuk membantu dalam perniagaan mereka. Namun suasana penindasan ke atas pekerja yang ditakuti akan berlaku oleh kumpulan sosialis telah tidak wujud di dalam masyarakat Islam. Oleh itu isu keadilan sosial atau keadilan ekonomi tidak langsung menjadi topik perbincangan. Cuma apabila masyarakat Islam meninggalkan ajaran Islam sebenar, yakni apabila mereka mula mencedok ilmu dari masyarakat barat dan seterusnya menjalankan kehidupan mereka berlandaskan sistem barat barulah timbul isu keadilan sosial dan ekonomi. Di Malaysia, episod ketidakadilan sosial dan ekonomi ini pernah menghasilkan suasana keganasan yang berdarah yaitu pada 13 Mei 1969. Akibatnya kerajaan Malaysia telah memperkenalkan DEB dalam usaha untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku lagi. Malangnya selepas berpuluh tahun pelaksanaannya, suasana ketidakadilan ekonomi masih dapat dirasakan. Malah mungkin dalam beberapa aspek ia bertambah teruk. Sekarang kita sering mendengar cerita di mana majikan gagal membayar gaji ratusan pekerja yang malang kerana syarikat sudah muflis dengan hutang berjuta ringgit. Kita juga sering mendengar kisah ratusan, malah ribuan pekerja yang dibuang oleh syarikat walaupun mereka telah berpuluh tahun memberi sumbangan yang setia kepada syarikat. Kemiskinan dan kemelaratan di dalam masyarakat masih berleluasa tanpa mengira bangsa. Akibatnya kadangkala ada yang terpaksa melakukan jenayah untuk memberi makan kepada ahli keluarga. Ada yang menjadi pencuri, ada yang menjadi peragut beg tangan, ada yang menjadi pengedar dadah dan ada yang menjadi pelacur.
Kerajaan menyedari akan keadaan kebajikan yang menyedihkan di kalangan setengah golongan masyarakat. Oleh itu kerajaan telah memperkenalkan dasar baru untuk menangani masalah yang dihadapi. Tetapi malangnya dari segi dasar tidak ada perubahan yang mendadak berbanding dengan dasar-dasar yang dilaksanakan sebelum ini. Kesemuanya masih lagi berasaskan pemikiran dan sistem barat di mana amalan riba tidak dilihat sebagai satu masalah yang serius. Ini mungkin kerana mereka yang bertanggungjawab merangka polisi ekonomi negara ini tidak menyedari kepentingan kepatuhan kita kepada ajaran Allah sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan kita termasuk di dalam bidang ekonomi. Mungkin juga mereka tidak menyedari akan bagaimana amalan riba adalah salah satu dari punca utama kepada berlakunya ketidakadilan ekonomi.

Oleh yang demikian ada baiknya bagi kita mengkaji hubungan amalan riba dan fenomina `ketidakadilan ekonomi’ dengan lebih mendalam. Untuk tujuan itu, kes yang paling baik untuk dikaji ialah apa yang telah berlaku di Eropah bermula pada kurun ke 18 dan 19. Ini adalah kerana keadaan ketidakadilan yang berlaku di Eropah pada masa itu adalah di antara yang paling serius sehinggakan ia telah memberi implikasi yang luas dan mendalam kepada perkembangan sejarah sosio-politik di seluruh dunia, termasuk di negara kita sendiri .


Penindasan Dan Ketidakadilan Ekonomi Di Eropah
Kisah penindasan dan ketidakadilan ekonomi kepada golongan bawahan dan pekerja di Eropah pada kurun ke-18 dan kurun ke-19 adalah sangat masyhur dan diketahui umum. Pada masa itu, Eropah juga sedang mengalami satu perubahan yang mendadak dari segi sosio-politik yang dikenali sebagai proses `Revolusi Industri’. Di bawah adalah laporan berkenaan keadaan ekploitasi pekerja dan kanak-kanak di Britain pada masa itu:
“In the factories, people had to work long hours under harsh conditions. Factory owners and managers paid the minimum amount necessary for a work force, often recruiting women and children to tend the machines because they could be hired for a much lower wage. Soon, critics attacked this exploitation, particularly the use of child labor.”

“Workers also had to labor for many hours, often more than 12 hours a day, sometimes more than 14, and people worked six days a week. Factory workers faced strict rules and close supervision by managers and overseers.”

“…vast differences existed between the rich and the poor…”

“Although the overall health and material conditions of the population improved, critics continued to point to urban crowding and the harsh working conditions in the factories. The youngest children in the textile factories were usually employed as scavengers and piecers. Piecers had to lean over the spinning-machine to repair the broken threads. Scavengers had to pick up the loose cotton from under the machinery. This was extremely dangerous as the children were expected to carry out the task while the machine was still working”.

“Children were sometimes hit with a strap to make them work faster. In some factories children were dipped head first into the water cistern if they became drowsy. Children were also punished for arriving late for work and for talking to the other children. Apprentices who ran away from the factory were in danger of being sent to prison. Children who were considered potential runaways were placed in irons. They would also have weights tied to their necks if they weren't working quick or well enough.”

“One of the main concerns about the number of textile workers was the safety of the factories. Unguarded machinery was a major problem for children working in factories. There were reports that every year there was nearly a thousand people treated for wounds and mutilations caused by machines in factories. Workers were often abandoned from the moment the accident occurred.”


Akibat dari keadaan ekploitasi di atas yang begitu dasyat yang berlaku pada masa itulah maka pemikir terkenal Karl Marx telah mencadangkan satu pendekatan atau falsafah politik baru untuk manusia yang terkenal sebagai fahaman Komunisma.

Karl Marx dan Komunisma
Di dalam sebuah makalah bertajuk Ökonomisch-philosophische Manuskripte aus dem Jahre 1844 (Economic and Political Manuscripts of 1844), Karl Marx menceritakan bagaimana proses kapitalisma membawa kesengsaraan kepada kehidupan manusia. Menurut beliau, sistem kapitalis menjadikan golongan pekerja menjadi `objek’ atau alat pengeluaran seperti sumber-sumber yang lain juga. Ini menghasilkan keadaan `alienation’ (pemisahan) di mana sumbangan kerja seseorang buruh menjadi terpisah dari individu buruh itu sendiri sebagai seorang manusia. Seseorang buruh dihargai semata-mata berdasarkan sumbangan tenaganya dan tidak lagi berdasarkan dirinya sebagai manusia. Dalam erti kata yang lain, nilai atau harga diri buruh adalah semata-mata berdasarkan keupayaannya menyumbang kepada proses pengeluaran. Akibatnya, pekerja menjadi komoditi seperti komoditi-komoditi pengeluaran yang lain yang wujud hanya untuk kegunaan proses pengeluaran supaya golongan pemodal dapat meraih keuntungan. Akibatnya buruh akan semakin tertindas dan terdesak. Pada pendapat Karl Marx, sejarah sosial dunia di masa lampau dan akan datang adalah semata-mata berkenaan konflik antara golongan atau kelas yang menindas dan golongan atau kelas yang ditindas. Di dalam konteks suasana perindustrian di Eropah, ia adalah di dalam bentuk kumpulan `bourgeoisie’ (atau mereka yang memiliki tanah, sumber, kilang dan lain2 sumber pengeluaran) menentang kumpulan `proletariat’ (mereka yang bekerja untuk mendapat upah). Kumpulan `bourgeoisie’, dalam usaha mereka untuk menjadi lebih kaya akan sentiasa mencari-cari sumber-sumber pengeluaran. Kejayaannya melakukan perkara demikian akan menghasilkan pertambahan modal. Dia juga akan sentiasa berusaha untuk membina kilang-kilang dan bandar-bandar yang lebih besar, mengeluarkan produk-produk yang baru serta memperolehi komoditi pengeluaran (termasuk buruh) dengan harga yang lebih murah. Sementara itu, nilai sumbangan kerja kumpulan `proletariat’ akan semakin kurang nilainya di mata pihak `bourgeoisie’. Oleh kerana itu pengaruh politik mereka di dalam masyarakat akan semakin lemah.
Namun, ada jalan keluar bagi mereka. Menurut Marx, oleh kerana mereka adalah ramai dan menjadi majoriti dalam masyarakat, sebenarnya mereka mempunyai potensi untuk melakukan perubahan kepada nasib mereka. Caranya ialah dengan mencabar dan menjatuhkan kumpulan `bourgeoisie’ dari tapak kuasa dan mewujudkan sistem baru berbentuk `Komunisma’ yang akan menjamin keadilan kepada semua ahli masyarakat. Di dalam suasana baru itu, semua individu termasuk golongan pekerja tidak akan lagi ditindas.

Tetapi malangnya Karl Marx telah tersilap di dalam analisis beliau. Sebenarnya, seperti yang kita sebut di atas, bentuk penindasan yang berlaku di hadapan mata beliau dan yang telah memberi kesan yang begitu mendalam kepada beliau hanya berlaku di Eropah. Di tempat lain, penindasan adalah dalam bentuk yang lain manakala di setengah tempat, khususnya di dalam masyarakat Islam ianya tidak berlakunya langsung walau pun terdapat golongan pemodal dan golongan buruh. Hakikat ini sangat penting disedari kerana masyarakat Islam sejak zaman Rasululllah s.a.w. lagi telah membenarkan aktiviti ekonomi dijalankan di bawah suasana di mana terdapat golongan pemodal dan juga golongan pekerja yang diupah. Tambahan pula, masyarakat Islam telah berjaya menjana aktiviti-aktiviti keilmuan dan inovasi yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada perkembangan peradaban Eropah. Sumbangan tersebutlah yang akhirnya membantu Eropah meninggalkan zaman kegelapan Eropah ( European dark ages) dan seterusnya mewujudkan proses `Revolusi Perindustrian’.

Suasana di Dalam Masyarakat Islam
Semasa Eropah melalui era Renaissance dan Revolusi Perindustrian, pada masa yang sama di dalam masyarakat Islam juga berlaku aktiviti ekonomi yang pesat. Walaupun kadar pertumbuhan aktiviti-ekonomi ekonomi tersebut tidak setinggi kadar yang berlaku di Eropah semasa era Revolusi Perindustrian (kerana satu faktor penting yang akan diterangkan nanti di dalam kertas ini), namun satu perbezaan yang ketara di antara masyarakat Islam dan masyarakat perindustrian Eropah ialah tidak wujudnya permasalahan jurang perbezaan pendapatan di antara golongan miskin dan yang kaya. Memang betul ada perbezaan pendapatan di antara golongan yang kaya dan golongan yang miskin yang mendapat bantuan zakat dan sebagainya. Namun ianya tidak berlaku pada tahap yang menimbulkan masalah dan konflik antara mereka. Di samping itu, di dalam masyarakat Islam juga tidak wujud suasana penindasan dan penganiayaan terhadap golongan pekerja. Oleh itu penggunaan istilah `bourgeoisie’ dan `proletariat’ bagi dua kumpulan penting yang berkonflik di dalam masyarakat seperti yang digunakan oleh Karl Marx tidak langsung digunakan oleh pemikir Islam kerana ianya tidak relevan langsung. Sebaliknya di dalam masyarakat Islam, konflik yang ditekankan adalah di antara kumpulan `Hak’ dan kumpulan `Batil’, di antara Hisb-Allah dan Hisb-AsySyaitan, di antara kumpulan Mukmin terhadap Thagut dan penyokongnya. Dalam erti kata yang lain perjuangan yang ditekankan bukannya perjuangan untuk menggulingkan kumpulan pemodal di dalam masyarakat tetapi adalah pejuangan untuk memastikan kebenaran risalah Islam terserlah dan syariah disebarkan dan dilaksanakan di seluruh pelusuk bumi. Untuk tujuan itu, golongan yang kaya berkerjasama dengan golongan yang miskin, bersatu dengan erat di bawah semangat iman dan jihad.
Kenapakah suasana begitu berbeza di antara masyarakat Islam dan Eropah pada masa itu? Sudah tentu terdapat berbagai faktor yang bertanggungjawab. Ini termasuk perbezaan dari sikap ahli masayarakat terhadap kehidupan dunia, terhadap harta dan kekayaan dan terhadap sesama sendiri. Faktor-faktor tersebut adalah penting tetapi memerlukan kupasan di dalam makalah yang lain. Di dalam kertas ini, faktor pembeza yang akan dikaji ialah faktor `amalan riba’. Semasa amalan riba sedang mengalami perkembangan yang pesat di Eropah, di dalam masyarakat Islam industri riba langsung tidak wujud kerana ajaran Islam adalah sangat jelas tentangnya iaitu satu dosa yang besar yang sama beratnya dengan dosa besar yang lain seperti zina. Umat Islam diajar oleh ulamak mereka bahawa tiada dosa yang disebut di dalam ayat Al-Quraan yang juga diiringi dengan amaran bahawa sesiapa yang beramal dengan dosa tersebut adalah layak diperangi oleh Allah dan Rasulnya. Oleh kerana itulah industri riba tidak wujud langsung di dalam masyarakat Islam selama lebih dari seribu tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w..
Sebenarnya suasana yang serupa juga wujud di tempat-tampet yang lain kerana agama-agama lain termasuk Yahudi, Kristian, Hindu, dan Buddha juga mengutuk keras amalan riba ini. Di kalangan orang Yahudi, ia dibenarkan hanya jika peminjam adalah bukan orang Yahudi, terutamanya orang Kristian kerana Rabbi mereka mengatakan bahawa dengan cara mengenakan bunga kepada peminjam Kristian, maka mereka akan dapat melemahkan musuh mereka. Kita kena sedar pada masa itu, orang Yahudi ditekan dengan hebat oleh orang Kristian. Begitu juga ramai ahli falsafah seperti Aristotle dan Thomas Aquinas sangat menentang amalan riba ini. Namun, pada kurun ke-16 orang Kristian Eropah telah mengubah ajaran asal agama Kristian yang tidak membenarkan bunga dikenakan ke atas pinjaman. Ia bermula dengan usaha seorang paderi bernama John Eck yang pada tahun 1515 berhujah selama 5 jam di Universiti Bologna mengatakan pendapat Aristotel dan Thomas Aquinas yang menentang amalan riba adalah salah. John Eck, ditaja oleh sebuah keluarga kaya `The Fuggers of Augsburg’. Beliau disusuli pada tahun 1536 oleh seorang lagi paderi Protestan bernama John Calvin. Pendapat dan pandangan mereka telah berjaya mempengaruhi ramai paderi Kristian yang lain dan amalan riba mula berleluasa di dalam masyarakat.
Lama kelamaan ia berkembang dan menjadi industri apabila golongan kaya Kristian merasakan bahawa cara itu adalah lebih senang dan kurang risiko berbanding dengan cara berdagang. Dengan wujudnya secara sah sekumpulan ahli perniagaan yang menjadikan aktiviti memberi hutang sebagai industri mereka, maka ahli perniagaan mula meminjam wang untuk menambahkan modal perniagaan mereka. Akibat dari wujudnya peluang untuk memperolehi wang dari pinjaman ini, maka aktiviti perniagaan dan perindustrian di Eropah mula berkembang dengan lebih cepat berbanding dengan tempat yang lain di mana aktiviti memberi hutang sebagai satu industri tidak dibenarkan. Tambahan pula apabila orang yang berhutang ini kebanyakkannya terdiri dari golongan ahli perniagaan, persepsi amalan riba sebagai sesuatu yang negatif dan satu bentuk `eksploitasi’ semakin berkurangan. Oleh itu, bukan sahaja ekonomi dan perindustrian berjalan cepat, malahan industri riba juga berkembang pesat.

Di samping itu, telah timbul juga beberapa pemikir liberal kapitalis seperti Jeremy Bentham dan Adam Smith yang menyokong kuat amalan riba ini. Jeremy Bentham telah menulis buku `In Defense of Usury’ di mana beliau mengatakan bahawa riba atau (`usury’ dalam bahasa Inggeris) merujuk kepada keadaan : "The taking of a greater interest than the law allows... (or) the taking of greater interest than is usual”.
Dalam erti kata yang lain, pengenaan bunga kepada pinjaman semata adalah bukannya riba. Yakni, jika kadar bunga yang dikenakan adalah `tidak terlampau tinggi’ dan peminjam bukannya seorang miskin yang melarat, maka pada pandangan beliau pinjaman dalam bentuk ini bukanlah riba.
Begitu juga Adam Smith, di dalam bukunya yang masyhur bertajuk ‘Wealth Of Nations’ yang diterbitkan pada tahun 1776, mengatakan bahawa:
"The interest or the use of money…is the compensation which the borrower pays to the lender, for the profit which he has an opportunity of making by the use of the money. Part of that profit naturally belongs to the borrower who runs the risk and takes the trouble of employing it; and part to the lender, who affords him the opportunity of making this profit."
Hujah di atas oleh Adam Smith menjadi dasar kepada kaedah atau konsep `kos melepas’ atau `opportunity costs’ dan `kos modal’ atau `cost of capital’ yang biasa diajar dalam mata pelajaran ekonomi dan kewangan sehingga ke hari ini, termasuk di Malaysia tanpa dimaklumkan kepada mereka bahawa dari pandangan Islam semuanya adalah salah. Ini kerana pada pandangan Islam, lebihan yang dikenakan ke atas jumlah asal hutang, walau sekecil mana pun asalkan ia adalah lebihan atau tambahan kepada jumlah pinjaman asal adalah haram dan ianya adalah riba.

Oleh kerana masyarakat Eropah sudah tidak lagi menyanjung tinggi pendapat golongan paderi berbanding dengan pendapat pemikir sekular seperti Adam Smith dan Jeremy Bentham, maka Eropah telah menerima amalan riba dengan penuh kerelaan hati tanpa sedikit pun merasakan ianya satu amalan yang keji dan salah. Yang anehnya ialah kegagalan di kalangan masyarakat Eropah untuk menyedari bahawa konsep yang dikupas oleh Adam Smith di atas mengandungi elemen `kepentingan diri sendiri’ yang sangat jelas. Adam Smith mengandaikan bahawa segala usaha perniagaan pasti akan menghasilkan keuntungan kepada pengusaha yang meminjam wang dan oleh sebab itulah peminjam mesti membayar balik hutangnya beserta dengan bunga tanpa mengira sama ada pengusaha sebenarnya mungkin telah mengalami kerugian akibat dari usahanya. Risiko kerugian adalah mesti ditanggung oleh pengusaha sepenuhnya. Pemiutang langsung tidak mahu tahu apakah sebab pengusaha mengalami kerugian. Pemiutang juga enggan langsung berkongsi beban kerugian tersebut. Pemiutang langsung tidak berminat untuk mengetahui kisah-kisah kesengsaraan si penghutang. Keutamaanya hanya satu iaitu pembayaran balik jumlah prinsipal beserta bunga.

Satu kisah benar yang berlaku pada tahun 2004 menjadi contoh yang terbaik untuk menerangkan aspek di atas. Ia berlaku apabila seorang pegawai tinggi Asian Development Bank ditanya sama ada bank beliau akan memaafkan hutang nelayan miskin Indonesia yang telah hilang sumber pendapatan apabila bot mereka dimusnahkan oleh ombak tsunami yang telah mengorbankan ribuan nyawa. Jawaban beliau ringkas dan jelas : “ Pemaafan hutang adalah istilah yang tidak wujud dalam daftar istilah (vocabulary) kami. Tetapi kami sanggup membantu mereka dengan memberikan hutang tambahan”.

Sikap ini mungkin memeranjatkan sesetengah orang tetapi bagi mereka yang bekerja di dalam bidang kewangan ini langsung tidak memeranjatkan.
Satu lagi aspek yang gagal difahami oleh ramai orang ialah bahawa konsep bunga dan riba adalah sebenarnya tidak praktikal dari segi jangka panjang. Perkara ini dijelaskan oleh seroang peguam Amerika bernama John Whipple di dalam bukunya “The Importance of Usury Laws – An Answer to Jeremy Bentham’ yang ditulis pada tahun 1836. Di dalam buku tersebut John Whipple menerangkan bagaimana amalan riba jika menjadi sebahagian dari sistem kewangan wang logam adalah tidak munasabah. Menurut beliau:
"If 5 English pennies ... had been ... at 5 per cent compound interest from the beginning of the Christian era until the present time, it would amount in gold of standard fineness to 32,366,648,157 spheres of gold each eight thousand miles in diameter, or as large as the earth."
Di samping itu John Whipple juga menerangkan hujah Aristotle yang pada pandangan beliau tidak difahami oleh Adam Smith dan Jeremy Bentham. Menurut John Whipple:
"…the purpose of money is to facilitate exchange. It was never intended as an article of trade, as an article possessing an inherent value in itself, (but) as a representative or test of the value of all other articles. It undoubtedly admits of private ownership but of an ownership that is not absolute, like the product of individual industry, but qualified and limited by the special use for which it was designed...."

Namun pendapat John Whipple tidak diendahkan oleh masyarakat Eropah. Amalan riba menjadi berleluasa dan akhirnya berkembang menjadi sebuah industri yang dinamakan industri perbankan. Sebahagian dari ahli masyarakat yang kaya yang sebelum itu mencari sumber hidup melalui aktiviti perdagangan mengambil keputusan untuk menjadi pemberi hutang atau money lenders, kerana bukan sahaja pulangannya yang lumayan bahkan risikonya juga jauh lebih rendah. Risiko dan usaha ditanggung oleh usahawan yang menjadi peminjam kepada bank yang mereka. Maka bermulalah era perbankan di Eropah pada kurun ke-16

Inovasi Yang Menyumbang Kepada Perkembangan Industri Riba
Terdapat beberapa inovasi yang berlaku di Eropah yang menyumbang kepada perkembangan yang pesat di dalam sektor perbankan dan kewangan ini.

Pertama ialah penggunaan wang kertas untuk menggantikan wang komoditi atau logam (emas atau perak). Penggunaan wang kertas ini di bawah sistem Fractional Reserve System membolehkan pihak bank memberi pinjaman pada jumlah yang berganda dari jumlah wang logam yang dipegang oleh mereka. Dengan cara ini pihak bank akan dapat memaksimakan keuntungan bunga yang diperolehi. Apabila jumlah wang kertas menjadi begitu besar dan sektor kewangan gigih untuk memperkembangkan industri mereka, wang komoditi emas dan perak hanya digunakan sebagai `piawaian’ sahaja dan sistem ini dikenali sebagai sistem `Gold Standard’ atau `Piawaian Emas’. Tetapi apabila industri perbankan terus berkembang, emas juga tidak berupaya menjadi piawaian dan akhirnya juga telah digugurkan dari sistem kewangan Eropah.
Oleh itu tidak hairanlah kenapa sektor ini tidak stabil kerana pemilik bank yang tamak dan ingin cepat kaya akan memberikan jumlah hutang yang berganda lebih besar dari jumlah deposit di dalam banknya. Dan ketidakstabilannya jelas kelihatan dari awal lagi kerana krisis perbankan dan kewangan sentiasa berlaku di Eropah semenjak kurun ke-17 lagi. Sebabnya ialah apabila memberi hutang menjadi satu industri yang dibenarkan, dua kumpulan akan wujud iaitu kumpulan yang rakuskan pendapatan bunga melalu aktiviti memberi pinjaman dan kumplan yang rakus untuk membesarkan perniagaan mereka dan tidak takut untuk berhutang dengan jumlah yang besar.

Dalam suasana yang sedemikian, sudah tentu keadaan terlebih hutang dan terlebih memberi hutang senang berlaku. Apabila ianya berlaku, maka berlakulah krisis perbankan atau kewangan. Apabila industri ini semakin besar, maka krisis semakin kerap berlaku dan semakin serius. Mangsanya juga semakin ramai dan mula melibatkan orang ramai yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan amalan riba ini, terutama sekali di kalangan pekerja bawahan dan di kalangan yang miskin dan lemah. Ini kerana apabila sesebuah syarikat menghadapi keadaan yang tenat akibat krisis kewangan di dalam sistem ekonomi, mereka akan membuang pekerja dan biasanya yang dibuang adalah pekerja yang kurang mahir. Jika perniagaan itu bersaiz besar, maka pekerja yang dibuang mungkin berjumlah ribuan.

Inovasi kedua ialah konsep syarikat. Pada mulanya aktiviti perniagaan di Eropah dan di mana-mana tempat adalah dilakukan oleh individu. `Cottage Industry’ atau industri kampung berleluasa di dunia termasuk di Eropah. Kadangkala beberapa individu akan berpakat dan menubuhkan satu `perkongsian’ atau `partnership’ untuk melakukan aktiviti perniagaan. Cara berniaga adalah satu kebiasaan di dalam banyak masyarakat selama ribuan tahun dan tidak langsung menimbulkan apa-apa masaalah. Ini termasuk masyarakat Melayu kampung di Tanah Melayu. Namun demikian, di dalam suasana di mana aktiviti memberi hutang menjadi satu aktiviti yang lumrah dan penting, cara ini boleh menimbulkan beberapa masalah. Masalah utama ialah individu yang meminjam wang dari bank mungkin meninggal dunia dan di bawah akta undang-undang, jika seseorang individu (atau seorang rakan kongsi) yang terlibat dalam sesuatu kontrak perniagaan (termasuk kontrak pinjaman) meninggal dunia, maka maka kontrak tersebut akan secara automatik menjadi batal. Ini menimbulkan masalah jika kontrak tersebut adalah di dalam bentuk `pinjaman wang’ kerana peminjam akan mengalami kerugian. Oleh itu firma kewangan lama-kelamaan akan merasa keberatan untuk memberi pinjaman yang berjumlah besar kepada individu atau kepada perkongsian. Maka jika industri kewangan ingin berkembang maka satu inovasi perlu dilakukan untuk menyelesaikan masaalah ini. Inovasi tersebut adalah dengan mewujudkan satu `entiti’ yang akan terus wujud walaupun individu yang terlibat telah meninggal dunia. Entiti tersebut ialah joint stock corporation atau `syarikat’. Yang meminjam wang dari bank bukan lagi seorang individu tetapi sebuah entiti guaman yang tidak mati walaupun pemilik entiti tersebut sudah meninggal dunia. Dengan berlakunya inovasi ini maka aktiviti ekonomi di Eropah berubah dari dijalankan oleh individu dalam skala yang kecil yang disebut sebagai cottage industries tadi kepada yang dijalankan oleh `syarikat’ dalam skala yang semakin besar. Syarikat boleh meminjam dalam jumlah yang banyak untuk tempoh masa berpuluhan tahun. Dan untuk memperolehi penjimatan kos, maka motivasi untuk mewujudkan skala pengeluaran yang besar adalah sangat tinggi. Dengan berkembangnya jumlah syarikat di dalam sistem ekonomi Eropah, maka berkembanglah revolusi industri di Eropah. Itulah sebabnya kenapa Eropah berjaya meninggalkan negara Islam dari segi pertumbuhan ekonomi dan perindustrian.

Implikasi Negatif
Jelas bahawa faktor penyumbang utama kepada perkembangan perindustrian ekonomi Eropah yang pesat adalah sistem kewangan berteraskan riba. Terdapat dua implikasi negatif utama dari sistem ekonomi di atas: Pertama adalah penindasan kepada golongan pekerja dan yang kedua adalah berlakunya episod krisis kewangan.
Berkenaan aspek penindasan dan eksploitasi, kita telah melihat beberapa gambaran di awal kertas ini yang memovitasikan pemikir seperti Karl Marx untuk mencadangkan penghapusan pihak pemodal. Entiti perundangan baru yang dicipta yang seolah-olah mempunyai `nyawanya sendiri’ iaitu `syarikat’ mula bersaing sesama sendiri untuk menjana keuntungan dengan beberapa cara yang menghasilkan keadaan ekploitasi dan penindasan. Seperti yang disebut sebelum ini, salah satu cara yang penting ialah operasi pada skala yang besar (large scale operation) untuk memperolehi penjimatan kos dari aspek `ekonomi skala’. Kilang akan dibuat pada saiz yang sebesar mungkin. Dengan itu, untuk menambahkan daya saing masing-masing, syarikat-syarikat mula menjadi semakin besar dengan jumlah hutang yang semakin besar. Pada masa yang sama adalah penting bagi mereka menurunkan kos mereka untuk memaksimakan jumlah untung. Faktor tersebutlah yang memaksa syarikat meminimakan kos upah yang diberikan kepada pihak pekerja.
Keadaan ini berterusan sehingga hari ini dengan keadaan persaingan yang semakin sengit. Apa yang kita hadapi sekarang ialah keadaan persaingan melampau atau `hyper-competition’ di antara syarikat gergasi antarabangsa. Syarikat gergasi ini pula kesemuanya mempunyai hutang yang juga gergasi besarnya. Sebagai contoh, hutang syarikat General Motors dari Amerika Syarikat pada tahun 2008 sejurus sebelum syarikat itu menghadapi situasi `insolvency’ ialah US$172.81 billion sementara di dalam dalam sektor kewangan hutang Lehman Brothers, syarikat kewangan gergasi dari Amerika Syarikat ialah USD613 billion. Kedua-dua syarikat tersebut terpaksa ditolong oleh kerajaan Amerika. Ini adalah kerana jika kedua-dua syarikat itu menggolong tikar, maka seluruh ekonomi negara Amerika akan menghadapi masalah yang lebih teruk yang mengakibatkan berjuta orang akan kehilangan kerja. Tetapi adakah masalah di Ameirka selesai dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Amerika itu? Tentu sekali tidak! Ini kerana kerajaan Amerika sendiri sekarang telah menanggung hutang sebanyak lebih dari USD13 trillion.
Di dalam keadaan hutang sektor korporat dan awam begitu tinggi, maka terpaksalah badan yang terlibat memastikan bahawa kos operasi dapat dikurangkan. Oleh kerana itu di Amerika Syarikat sekarang, jutaan orang telah dibuang kerja dan dalam keadaan yang merana. Mereka tiada lagi sumber pendapatan dan tidak ada organisasi yang mahu mengambil mereka sebagai pekerja. Jika mereka membeli rumah dengan berhutang dan tidak lagi mampu membayar hutang tersebut, maka rumah mereka akan dirampas dan mereka akan dihalau keluar. Mereka akan menjadi `orang yang tiada tempat tinggal’ atau `homeless people’. Sekarang ini dianggarkan kumpulan homeless people ini adalah dianggarkan berjumlah antara 2.3 hingga 3.5 juta . Adalah dianggarkan sekurang-kurangnya seramai 37,000 individu tanpa tempat tinggal (termasuk 16,000 kanak2) tinggal di kediaman sementara di bandaraya New York setiap malam.
Kenapakah keadaan ini boleh terjadi di sebuah negara yang dikatakan negara termaju dan berdaya saing tinggi? Tidak lain dan tidak bukan kerana negara tersebut telah beramal dengan riba dan menjadikannya sebagai salah satu dari industri yang terpenting di dalam sistem ekonominya.
Tetapi bukan Amerika Syarikat sahaja yang beramal dengan riba. Sekarang ini riba telah diamalkan dengan meluas dan menjadi industri penting di seluruh dunia. Akibatnya ialah kesengsaraan, kacau bilau dan penganiayaan golongan lemah dan miskin di serata tempat di dunia.
Sebagai contoh, baru-baru ini kita melihat bagaimana negara Greece tersungkur. Kerajaannya berhutang dengan banyak daripada institusi riba dari Eropah, terutama sekali dari German. Kerajaan Greece berhutang sebanyak USD442 billion dan telah tidak mampu membayar hutang tersebut. Tetapi salah satu sebab utama hutang kerajaan Greece itu adalah begitu tinggi ialah kerana kerajaannya menjalankan projek-projek mahal yang kadangkala tidak perlu untuk menyalurkan duit itu kepada kumpulan elit `oligarchy’ dalam masyarakat Greece. Akhirnya kerajaan Greece menanggung beban hutang yang tinggi sementara golongan elit menjadi bertambah kaya. Beban hutang masih tetap perlu dibayar dan perbelanjaan kerajaan perlu dikurangkan. Akhirnya yang menanggung keperitan dan kepayahan hidup akibat dari perkara ini adalah golongan bawahan.
Inilah yang berlaku di merata-rata tempat termasuk di negara-negara Islam. Sepatutnya masalah ini tidak berlaku di dalam negara Islam. Malangnya kebanyakan negara Islam adalah Islam dari segi nama sahaja tetapi tidak beramal sepenuhnya dengan ajaran Islam. Oleh yang demikian, kita sekarang mendapati bahawa negara Islam hampir kesemuanya beramal dengan sistem riba dan terdapat industri riba di dalam masyarakat.
Walhal masyarakat Islam mengakui bahawa ajaran Islam adalah ajaran yang sempurna kerana datang dari Yang Maha Mengetahui yang juga telah mengajar kita di dalam kitabnya yang suci:
Surah al Baqarah 275.
Tetapi malangnya walaupun terdapat ancaman yang keras ditujukan kepada mereka yang beramal dengan riba namun, amaran ini diketepikan oleh masyarakat Islam. Untuk mengetahui bagaimana ini boleh terjadi kita perlu menyingkap kembali sejarah bagaimana industri riba menjadi industri yang penting di dalam masyarakat Islam.

Riba Datang Ke Negara Islam
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, negara Eropah mula beramal dengan amalan riba pada kurun ke-15. Sejurus selepas itu ekonomi mereka berkembang dengan pesat. Namun demikian, ekonomi yang berkembang dengan pesat memerlukan kepada resources atau sumber termasuk sumber bahan mentah. Sumber sebenarnya boleh diperolehi dengan membelinya, tetapi ini memerlukan pembayaran. Namun, kerajaan Eropah keberatan untuk membeli sumber-sumber tersebut kerana ini akan bermakna stok duit di dalam bentuk gold coins akan bertambah kurang. Pada masa itu, pemikiran atau pendekatan yang dominan dalam aspek perdaganganan antarabangsa ialah merchantilism. Oleh itu, negara Eropah tidak suka menggunakan stok duit syiling emasnya untuk tujuan memperolehi sumber. Mereka lebih suka memperolehi sumber dengan cara percuma dan ini hanya boleh berlaku jika negara di mana sumber boleh diperolehi dapat dijajah dan ditakluki. Maka oleh kerana itulah satu proses penjajahan secara besar-besaran telah berlaku di dalam sejarah manusia di mana kuasa-kuasa barat seperti Sepanyol, Britain, Holland, German, Belgium, Portugis dan lain-lain telah datang jauh dari benua Eropah ke benua Afrika, Amerika Selatan dan Asia untuk menjajah dan mengambil sumber-sumber negara yang dijajah dengan percuma. Bukan sahaja bahan mentah yang diambil, di Eropah manusia juga diambil dan dijadikan hamba abdi.
Di samping itu, untuk memperkukuhkan kedudukan penjajahan mereka untuk jangka panjang, mereka juga telah memastikan bahawa minda rakyat di negara yang dijajah juga ditukar agar menyokong usaha mereka. Bagi merealisasikan rancangan mereka, maka institusi pendidikan seperti Malay College of Kuala Kangsar, Victoria Institution dan Universiti Malaya telah dibina untuk mendidik anak-anak tempatan dengan ilmu yang dibekalkan oleh penjajah. Golongan elit di kalangan mereka telah dihantar ke negara asal penjajah untuk melanjutkan pelajaran. Di Malaysia, ramai dari lepasan sekolah elit penjajah dihantar ke United Kingdom untuk mempelajari cara hidup dan pandangan British. Mereka termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Yang tidak dihantar ke sana juga mendapat pendidikan dari universiti tempatan yang juga mengajar ilmu dari sudut pandangan penjajah. Dr. Mahathir sebagai contoh belajar di Universiti Malaya di Singapura. Di dalam bidang ekonomi, mereka diajar pemikiran Adam Smith, Jeremy Bentham dan lain-lain. Besar kemungkinan mereka langsung tidak tahu akan ayat-ayat Al-Quraan berkenaan riba. Sebaliknya mereka diajar konsep cost of capital, interest rates, net present value, internal rates of return dan lain-lain yang kesemuanya adalah konsep riba. Sistem kewangan juga diasaskan berdasarkan kepada sistem riba dan oleh itu Bank Negara ditubuhkan dan berperanan sama seperti Bank of England yang menjadi badan supervision kepada bank komersial dalam satu sistem riba yang terperinci dan rumit. Maka tidak hairanlah kenapa akhirnya sistem eknomi dan kewangan kita adalah mirip sistem mereka.
Malangnya ini juga bermakna bahawa segala masalah yang dihadapi oleh mereka juga akan berlaku di sini. Oleh sebab itulah kita juga menghadapi suasana penindasan pekerja, masalah jurang perbezaan pendapatan yang besar antara yang kaya dan miskin serta masalah beban hutang yang tinggi di semua lapisan masyarakat – individu, organisasi dan juga kerajaan. Kerajaan Malaysia sekarang ini telah berhutang sebanyak hampir RM400 billion dan masalah muflis di kalangn individu semakin bertambah serius. Syarikat-syarikat juga dalam keadaan tertekan untuk mengurangkan kos dan oleh itu cuba membayar gaji yang murah kepada pekerja untuk memaksimakan keuntungan. Apabila keadaan ekonomi merudum, pekerja bawahan akan dibuang. Ramai dari mereka membeli rumah dan kereta dengan berhutang dan apabila mereka dibuang kerja, mereka akan menghadapi suasana yang genting. Ada yang terpaksa meminjam dengan Ah Long dan akhirnya menjadi mangsa kekejaman Ah Long pula. Ada yang terpaksa menjual anak perempuan atau memaksa mereka menjadi pelacur demi untuk membayar hutang keluarga. Tidakkah ini semua bukti tentang ketidakadilan dan penganiayaan di kalangan masyarakat?

Rumusan
Isu keadilan adalah isu yang penting kepada manusia sejak zaman berzaman. Di dalam aspek ekonomi kepentingannya tidak berkurang. Ia menjadi fokus kepada ramai ahli falsafah. Malangnya ramai ahli falsafah yang cuba untuk mencadangkan sistem ekonomi yang berkeadilan telah menggunakan akal mereka masing-masing tanpa merujuk kepada wahyu Allah. Ini disebabkan sikap sombong mereka sendiri yang tidak mahu menjadikan Allah s.w.t. sebagai yang berhak disembah dan dipatuhi dalam semua aspek kehidupan manusia. Akibatnya timbul lah sistem-sistem kapitalis riba serta sosialisma. Sistem sosialisma telah terbukti gagal dengan kejatuhan USSR dan blok Eropah Timur. Sistem kapistalisma barat yang menghalalkan riba sekarang dalam krisis yang kritikal. Kemelut ekonomi dasyat yang sedang dialami oleh Eropah dan Amerika yang masih tidak ada jalan penyelesaian sudah cukup menjadi bukti bahwa sistem kapitalisma yang menghalalkan riba juga akan berakhir dengan kegagalan dan kesengsaraan kepada semua. Oleh itu sudah sampai masanya kita balik ke pangkal jalan dan mewujudkan satu model ekonomi yang betul-betul menjadikan Al-Quraan sebagai dasarnya. Satu aspek dari sistem yang berdasarkan Al-Quraan ialah tiada tempat langsung untuk industri riba kerana ianya adalah dosa yang besar dan dikutuk oleh Allah. Persoalannya, kenapa setelah mengetahui bahawa ianya dikecam oleh Allah dan juga setelah mengetahui bahawa ia adalah punca kepada kegagalan sistem ekonomi barat kita masih degil dan enggan menghapuskannya? Mungkin ia kerana ramai dikalangan mereka yang bertanggungjawab merangka polisi ekonomi negara jahil tentang ajaran Islam sebenar dan tentang keji dan bahayanya amalan riba. Jika itulah sebabnya, maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan mereka keluar dari keadaan jahil yang menyelubungi mereka. Semoga Allah memaafkan kita dan mereka dan semoga Allah selamatkan kita semua dari kemurkaannya.

4 comments:

  1. salam. prof, bagus sekali pembentangan di atas dan saya jua bersetuju riba itu satu penyakit yang harus dihapuskn.
    saya punya beberapa soalan untuk prof:

    1. selain riba, adakah penggunaan wang fiat jua menyumbang kepada wujudnya jurang sosial?

    2. mata wang emas dan perak dapat mengatasi masalah inflasi, selain itu?

    tq.

    ReplyDelete
  2. Diandaikan sekiranya, perancang ekonomi negara mengambil keputusan untuk menrancang ekonomi yang tidak melibatkan RIBA...,

    1) di manakah kedudukan atau peranan BANK NEGARA MALAYSIA, dan bank-bank lain dalam perancangan ekonomi bebas riba?

    2) apa yang berlaku kepada hutang negara sejumlah RM400 billion tersebut?

    ReplyDelete
  3. Sdra/ri,
    Terima kasih atas soalan yang sangat bagus.
    Namun isu ini sebenarnya telah dikupas oleh pakar ekonomi islam dengan panjang lebar (seperi Monzer Kahf - Towards a Just Monetary System in Islam. Secara ringkas bank2 komersial yang memberi pinjaman utk tujuan untung akan diambil alih oleh kerajaan. Peranan institusi tersebut ialah mengeluarkan wang tidak dengan proses 'credit creation'. Ini berbeza dengan apa yang sedang dilakukan oleh bank komersial sekarang. Institusi ini juga mungkin akan melabur didalam projek2 ekonomi dan oleh itu firma2 yang memerlukan dana tidak akan ketandusan dana.
    Pakah yang akan berlaku kepada hutang RM400 billion. Kerajaan akan hanya membayar balik jumlah prinsipal dan tidak akan membayar bunga. Hutang tetap terpaksa dibayar dan oleh itu ekonomi mungkin menguncup. Pinjaman baru tidak akan dilakukan terutama sekali jika ia melibatkan Riba. Tapi jika rakyat sedar tentang kepetingan kita semua mematuhi syariat Islam sepenuhnya, mereka akan dapat bersabar dengan kesusahan sementara yang akan menimpa negara dalam proses perubahan dari suasana haram kepada suasana halal.
    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  4. Clerics declare Islamic banking hara'am: LAHORE: As many as 31 top Islamic clerics and scholars of the country have declared the present Islamic banking system 'Hara'am' and 'Ghair Sharai' and termed all the dealings with such Islamic banks un-Islamic as they are based on interest.The religious leaders who signed the 'fatwa' includes Maulana Salimullah Khan of Jamia Farooqia Karachi, Maulana Mufti Ghulam Qadir of Akora Khattak, NWFP, Mufti Hamidullah Jan of Jamia Ashrafia, Lahore, Maulana Mufti Ahtashamullah of Makran, Balochistan, Maulana Mufti Abdul Majeed Dinpuri of Jamia Banoria, Karachi, Maulana Mufti Saaduddin of Lakki Marwat, NWFP, Mufti Maulana Abdullah of Multan, Mufti Gul Hassan Bolani of Quetta, Maulana Zarwali Khan of Karachi, Maulana Saeed Ahmed Jalalpuri of Karachi, Maulana Mufti Hamid Hassan of Kabirwala, Punjab, Maulana Mufti Rozi Khan of Balochistan, Mufti Habibullah Sheikh of Karachi, Mufti Abdul Qayyum Dinpuri of Karachi, Mufti Nazir Ahmed Shah of Faisalabad, Mufti Saeedullah of Balochistan, Maulana Mufti Inamul Haq of Karachi, Maulana Mufti Ahmed Khan of Karachi, Maulana Mufti Imdadullah of Sindh, Mufti Amanullah of Karachi, Maulana Kalimullah of Sindh, Mufti Ahmed Khan of Sindh, Mufti Abdul Ghaffar of Sindh, Maulana Dr Manzoor Ahmed Mangal of Karachi, Mufti Asim Abdullah of Karachi, Mufti Samiullah of Karachi, Mufti Shoaib Aalam of Karachi, Mufti Rafiq Ahmed of Karachi, Mufti Ahmed Mukhtar of Karachi.

    http://www.allvoices.com/contributed-news/2370105-clerics-declare-islamic-banking-haraam

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.