Thursday, April 21, 2011

KE MANA HALA TUJU DASAR PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA?

KE MANA HALA TUJU DASAR PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA?







PROF. MOHD NAZARI ISMAIL
FAKULTI PERNIAGAAN DAN PERAKAUNAN
UNIVERSITI MALAYA











Kertas pembentangan di Persidangan Meja Bulat “Jawapan Ummat Islam Kepada Keruntuhan Sistem Ekonomi Kapitalisme” pada 26 April 2011 di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur.
Pengenalan
Semenjak sebelum merdeka lagi, kerajaan telah merangka rancangan-rancangan pembangunan ekonomi untuk pembangunan negara.Perancangan terawal telah dilakukan oleh kerajaan penjajah British.Objektif utama usaha rancangan pembangunan ekonomi negara pada masa itu adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam rangka membentuk satu sistem ekonomi pasaran bebas di negara kita.Tambahan pula sistem ekonomi pasaran bebas yang diperkenalkan kepada masyarakat negara kita oleh penjajah adalah diimportterus dari Britain. Sistem tersebut adalah berdasarkan falsafah liberalisma, iaitu satu falsafah yang membenarkan ahli masyarakat menganut agama tetapi pada masa yang sama menghadkan amalan agama tersebut kepada beberapa perkara ritual sahaja. Oleh yang demikian, sistem ekonomi yang diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia adalah langsung tidak berdasarkan prinsip-prinsip ‘Maqasid Syariah’.Di samping itu, peraturan-peraturan Islam dalam aspek muamalah seperti pengharaman amalan riba, gharar dan lain-lain langsung diketepikan di dalam sistem ekonomi negara.
Dasar dan objektif pembangunan ekonomi negara yang membelakangkan prinsip dan peraturan Syariah Islam ini diteruskan dalam dekad-dekad berikutnya walaupun kemerdekaan negara telah dicapai.Walaupun pemimpin kerajaan silih berganti, namun dasar dan objektif pembangunan ekonomi negara ini terus dikekalkan. Kalaupun wujud beberapa perbezaan dalam rancangan-rancangan pembangunan ekonomi negara dari masa ke semasa, namun perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah dalam aspek dasar tetapi hanyalah dalam bentuk cara pelaksanaan sahaja.
Dalam kertas ini saya akan berusaha untuk menerangkan secara ringkas, dari perspektif Islam, sejarah dasar dan rancangan pembangunan ekonomi negara dari awal sejarah Malaysia sehingga kini serta implikasinya. Saya juga akan membentangkan beberapa kes berkenaan keadaan ekonomi dan sosial negara-negara maju dan berpendapatan tinggi untuk dijadikan pengajaran bagi kita. Saya akan seterusnya berhujah bahawa dasar pembangunan ekonomi negara perlu dikaji semula kerana selagi hala tujunya membelakangkan prinsip dan ajaran Syariah, maka sebenarnya perancangan pembangunan ekonomi negara tidak akan berjaya menghasilkan suasana yang sejahtera untuk rakyat Malaysia dalam jangka panjang.

Sejarah Pelaksanaan Dasar Pembangunan Ekonomi Negara
Sejarah pelaksanaan rancangan pembangunan negara pada umumnya boleh dibahagikan kepada 3 fasa seperti berikut;
1. Zaman sebelum merdeka
2. Zaman selepas merdeka sehingga 1970
3. Zaman selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru bermula 1971
Zaman sebelum merdeka sebenarnya adalah zaman perletakan ‘batu asas’ kepada pelaksanaan program perancangan pembangunan negara.Ianya bermula dengan satu perwakilan dari Bank Dunia membuat beberapa perakuan kepada kerajaan tentang rancangan pembangunan ekonomi negara. Perakuan-perakuan ini telah digunakan oleh kerajaan untuk menghasilkan ‘Rancangan Malaya Pertama (RM1: 1956-1960)’. Matlamat utama rancangan pembangunan tersebut ialah untuk membangunkan ekonomi dengan memberikan penekanan yang lebih kepada sektor luar bandar .
Rancangan Malaya Pertama (RM1) ini disusuli dengan Rancangan Malaya Kedua (RM2:1961-1965).Walaupun negara kita sudah pun merdeka semasa rancangan ini digubal dan dilaksanakan, namun pemikiran dan pendekatan yang digunakan oleh pihak penjajah untuk menentukan dasar pembangunan RM1 terus dikekalkan di dalam Rancangan Malaya Kedua (RM2).Apa yang membezakan antara RM1 dan RM2 hanyalah jumlah peruntukan yang diberikan serta wujudnya proses kajian yang lebih menyeluruh dalam proses perancangan. Namun dari segi dasar dan matlamat, RM1 dan RM2 adalah tidak banyak berbeza.Prinsip-prinsip dan peraturan Syariah masih juga diketepikan.
Sebenarnya sikap membelakangkan prinsip Syariah dalam proses perancangan pembangunan ekonomi negara tidaklah menghairankan. Ini kerana hampir kesemua kakitangan tertinggi kerajaan yang terlibat di dalam aspek perancangan ekonomi negara pada masa itu adalah mereka-mereka yang tidak terdedah kepada pendidikan Syariah.Sebaliknya hampir kesemua mereka telah dididik di dalam institusi pendidikan yang dibangunkan oleh pihak penjajah sama ada di peringkat awal, menengah dan juga tinggi. Ramai juga pemimpin dan kakitangan kerajaan kita telah meneruskan pendidikan tinggi mereka di universiti-universiti di Britain dalam bidang undang-undang dan ekonomi. Mungkin kerana itulah, persoalan sama ada sistem kewangan dan ekonomi negara selari atau tidak dengan Syariah Islam langsung tidak menjadi isu kepada perancang-perancang tersebut. Sebagai contoh, tidak langsung wujud perdebatan sama ada sistem perbankan berasaskan amalan riba yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan di negara kita semasa era penjajahan patut dikekalkan atau tidak di dalam sistem ekonomi kita walaupun amalan riba adalah jelas haram dan dianggap sebagai satu dosa yang besar dari perspektif Islam.
Rancangan Malaya Kedua (RM2: 1961-1965) disusuli pula oleh Rancangan Malaysia Pertama (RMP: 1966-1970).RMP ini sebenarnya juga tidaklah berbeza dari rancangan-rancangan sebelumnya dari segi dasar.Sekali lagi, perbezaan yang wujud hanyalah berkenaan jumlah peruntukan yang lebih besar di bawah RMP.Di samping itu terdapat juga penekanan aspek integrasi di kalangan rakyat Malaysia dari berbagai kawasan geografi seperti integrasi rakyat Semenanjung dan rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Pada Mei 1969, rusuhan perkauman telah berlaku yang melibatkan ramai jiwa terkorban.Akibatnya, kerajaan telah menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi asas kepada Rancangan Malaysia Kedua (RMD: 1971 -1975). Aspek terpenting yang ditekankan oleh DEB ialah usaha perpaduan negara melalui strategi serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan menyusun semula masyarakat supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.Walau bagaimana pun, pada dasarnya, dari kacamata Syariah, DEB tidak berbeza dari dasar-dasar di dalam rancangan-rancangan sebelum ini iaitu menjadikan pembangunan ekonomi sebagai objektif utama usaha pembangunan negara. Dasar ini diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (RMT: 1976-1980), Rancangan Malaysia Keempat (RME:1981 -1985) dan Rancangan Malaysia Kelima (RMK:1986-1990).
Terdapat sedikit keunikan Rancangan Malaysia Kelima (RMK) berbanding dengan rancangan-rancangan sebelumnya kerana pada tahun 1985, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan satu dasar baru yang dinamakan `Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran’.Dasar ini telah dilaksanakan kerana kerajaan pada masa itu merasakan terdapat kesedaran baru di kalangan masyarakat tentang `kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi’. Ini telah mendorong kerajaan persekutuan untuk mengambil usaha-usaha baru mengenai hal ehwal Islam termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Namun dasar ini langsung tidak merubah dasar dan pendekatan negara dalam aspek pembangunan ekonomi.Sistem perbankan berasaskan amalan riba terus dikekalkan dan pembangunan ekonomi masih menjadi matlamat utama usaha-usaha pembangunan.
Tempoh DEB telah berakhir pada tahun 1990 dan telah digantikan dengan beberapa initiatif pembangunan lainseperti berikut:
i) Wawasan 2020
ii) RRJP2 dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan
iii) Rancangan Malaysia Keenam (RM6: 1991-1995).
Di dalam kesemua inisiatif di atas, pertumbuhan ekonomi sebagai objektif utama usaha pembangunan negara masih lagi dikekalkan.Cuma ianya diperincikan lagi menurut sektor. Disamping itu juga, terdapat penekanan kepada sektor pembuatan dimana sumbangan sektor ini kepada KDNK diunjurkan meningkat dari 27% menjadi 37% pada tahun 2000 dan juga penekanan kepada usaha penswastaan dan pengurangan sektor awam. Seterusnya Rancangan MalaysiaKetujuh, Rancangan Malaysia Kelapan dan Rancangan Malaysia Kesembilan juga meneruskan perkara-perkara di atas.
Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, dasar pembangunan ekonomi negara diterjemahkan melalui dua bentuk inisiatif iaitu Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Transformasi Kerajaan (Government Transformation Program – GTP). MEB dikatakan berbeza dengan rancangan-rancangan yang lepas kerana memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut:
a) Memfokuskan kepada kualiti pelaburan dan modal insan
b) Memberi penekanan kepada inisiatif dari sektor swasta
c) Proses yang lebih ‘decentralised’
d) Membenarkan pertumbuhan yang tidak seimbang dari segi geografi
e) Menawarkan insentif hanya kepada sektor yang boleh menambah nilai
f) Memperkukuhkan hubungan dengan negara rantau Asia dan Timur Tengah
g) Menarik minat pekerja asing yang berkemahiran
GTP pula adalah suatu usaha untuk membuatkan kerajaan lebih efektif dengan mengenal pasti beberapa National Key Result Areas (NKRAs). Dari aspek ekonomi, matlamat GTP adalah jelas iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara kaya atau berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita sebanyak USD15,000 atau RM48,000 pada tahun 2020.
Jelas kepada kita bahawa walaupun terdapat beberapa perbezaan kecil dari segi penekanan diantara rancangan-rancangan pembangunan ekonomi kerajaan semenjak sebelum merdeka sehingga sekarang, namun matlamat serta dasar dan pendekatan pembangunan ekonomi negara adalahtidak berubah.Objektifnya ialah untuk mempertingkatkan jumlah pendapatan negara secepat mungkin supaya negara boleh dikategorikan sebagai sebuah negara membangun dan berpendapatan tinggi.Dasar dan pendekatan yang digunakan ialah melalui pasaran bebas dan berpandukan amalan liberalisma.

Adakah Berpendapatan Tinggi Menjamin Kesejahteraan Negara?
Satu persoalan yang mungkin ditanya oleh mereka yang mengkaji sejarah negara ini ialah kenapakah perancang dan pemimpin negara Malaysiabegitu gigih sekali berusaha untuk memastikan negara kita mencapai taraf ‘negara membangun dan berpendapatan tinggi’?Jawapan kepada soalan tersebut agak mudah iaitu kerana mereka berkeyakinan penuh bahawa kesejahteraan negara dan rakyatnya hanya akan terjamin apabila negara kita mencapai taraf ‘negara membangun dan berpendapatan tinggi’. Oleh kerana itulah maka dasar pembangunan ekonomi negara kita dari dulu hingga sekarang langsung tidak berubah.Namun sebenarnya dasar dan strategi pembangunan ekonomi negara kita bukanlah unik.Sebenarnya hampir kesemua negara di dunia mempunyai dasar dan matlamat yang sama.Cuma ada yang telah berjaya mencapai taraf ‘membangun dan berpendapatan tinggi’ dan ada, termasuk negara kita, yang masih belum walaupun sudah berusaha selama lebih dari separuh abad setelah merdeka.
Negara-negara yang telah mencapai taraf tersebut adalah kebanyakannya dari benua Eropah Barat, benua Amerika Utara (kecuali Mexico) dan beberapa negara di Asia iaitu Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Persoalan yang harus ditanya ialah adakah kesemua negara-negara tersebut sedang menikmati keadaan politik, sosial dan ekonomi yang sejahtera? Di bawah ini saya akan bincangkan beberapa negara yang termasuk di dalam kategori ‘membangun dan berpendapatan tinggi’ tetapi pada masa yang sama telah melalui krisis dan masalah ekonomi. Adalah diharapkan agar kita mendapat beberapa pengajaran dari pengalaman mereka.
Jepun
Jepun adalah negara pertama di Asia yang mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi dan juga negara Asia pertama yang menjadi ahli kelab OECD (Organization of Economic Cooperation and Development iaitu kelab negara-negara kaya) dan juga G7.Mungkin ramai yang menyangka bahawa Jepun adalah negara yang ‘berjaya’ dan layak dicontohi. Namun sebenarnya Jepun telah mengalami masalah kemelesetan ekonomi yang sangat teruk semenjak tahun 1989 lagi.Masalah tersebut masih lagi berterusan sehingga sekarang.
Keadaan kemerosotan ekonomi yang dialami oleh Jepun ini sering disebut sebagai ‘The Lost Decades’ (Dekad-dekad yang hilang). Ianya bermula apabila pasaran aset terutama sekali dalam sektor hartanah dan pasaran saham jatuh menjunam pada tahun 1989.Apa yang paling penting untuk diberi perhatian ialah bahawa salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah Jepun ialah ‘kejayaan’ ekonominya sendiri selama dua dekad sebelum itu. Pada tahun 1970an Jepun mula mencabar negara-negara Eropah dan Amerika dalam bidang pembuatan. Pada tahun 1980an Jepun adalah negara pengeskpot yang paling berjaya di dunia dan dengan itu, sistem kewangan negara tersebut telah menerima dana dalam jumlah yang sangat besar dari luar.
Dana yang masuk ke negaraberkenaan terus mengalir masuk ke dalam sistem perbankan kewangan Jepun dan ini menggalakkan sektor perbankannya memberi pinjaman yang sangat besar kepada individu dan syarikat-syarikat di Jepun.Akibatnya, Jepun mengalami pertambahan mendadak di dalam aktiviti-aktiviti spekulasi terutamanya dalam pasaran hartanah dan saham.Harga aset melambung tinggi dan jumlah hutang dikalangan individu dan organisasi perniagaan juga turut meningkat berkali ganda. Ini kerana bank-bank Jepun teleh memberi pinjaman sebanyak 353 trillion yen kepada syarikat-syarikatJepun dalam sektor-sektor pembinaan, peruncitan, hartanah, dan perkhidmatan kewangan.Keadaan ini seterusnya telah menghasilkan satu ‘bubble’ atau belon kewangan yang besar.
Keadaan sebegini tidak dapat dikekalkan dan apabila pasaran menyedari bahawa harga yang tinggi itu sebenarnya hanya cerminan aktiviti spekulasi dan bukannya permintaan sebenar maka harga hartanah dan saham telah jatuh menjunam. Inimenyebabkan ramai penghutang tidak dapat membayar hutang mereka sehingga banyak syarikat dan individu-individu diisytiharkan menjadi muflis. Keadaan ini akhirnya telah menyebabkan ekonomi Jepun mengalami proses pengecutan sehingga sekarang.
Amerika Syarikat
Di dalam kes Amerika Syarikat pula, sebuah negara kaya yang berada di kedudukan ke-5 dan GNP per kapita lebih dari USD33,000 (lebih kurang 10 kali ganda Malaysia) telah menghadapi beberapa kali krisis ekonomi dalam sejarahnya semenjak kurun ke-18 lagi. Krisis ekonomi yang paling masyhur ialah pada tahun 1930an dan juga yang berlaku baru-baru iniiaitu pada tahun 2008. Kisah krisis pada tahun 2008 sama sahaja, iaitu negara tersebut telah mengalami prestasi ekonomi yang baik pada awal dan pertengahan tahun 2000an. Hakikat sebenar yang berlaku pada masa itu ialah kewujudan spekulasi yang besar dalam sektor hartanah di negara berkenaan.Namun yang anehnya ialah walaupun semua mengetahui bahawa spekulasi itu sedang berlaku tetapi oleh kerana harga hartanah sedang meningkat naik, kebanyakan syarikat dan individu telah tidak dapat menahan diri dari terjebak sama di dalam aktiviti spekulasi tersebut. Sikap tamak ini didorong oleh kemudahan dana yang senang diperolehi dari sektor perbankan. Penggunaan instrumen kewangan yang canggih telah membantu membuat keadaan ini bertambah teruk dan apabila ianya berakhir, lebih dari USD16 trillion telah hilang dari pasaran saham dalam tempoh di antara 1 September 2008 hingga 25 Oktober 2008.Jumlah hutang dikalangan masyarakatnya juga begitu tinggi. Ekonomi Amerika jatuh merudum dalam tahun 2008 dan kes muflis di negara tersebut pada tahun 2008 melepasi jumlah 1 juta kes.
Iceland
Bagaimana pula dengan Iceland, yang mempunyai GNI per kapita sebanyak USD27,473 atau lebih dari 9 kali ganda GNI per kapita Malaysia?
Menurut satu laporan, ekoran dari krisis kewangan yang melanda negara itu pada tahun 2008, sistem perbankan Iceland sudah ranap dan GNP negara itu merosot sebanyak 65%. Banyak syarikat dinegara tersebut muflis dan ramai ahli perniagaannya yang bercadang untuk memindahkan operasi mereka ke negara lain. Hampir satu pertiga rakyat juga bercadang untuk berhijrah ke negara lain. Pada masa ini kerajaan Iceland sedang menghadapi tekanan kuat dari kerajaan Britain dan Belanda untuk membayar pampasan kepada rakyat mereka yang telah meletakkan duit mereka di dalam bank-bank Iceland yang telah muflis.
Greece
Bagaimana pula dengan Greece yang mempunyai pendapatan GNI per kapita hampir 4 kali ganda Malaysia?Pada 23 April 2010 kerajaan Greece terpaksa meminta bantuan kewangan dari EU dan IMF. Bantuan itu berjumlah USD61 billion.Pada bulan Mei 2010 pula, kerajaan Greece mengumumkan langkah berjimat cermat supaya dapat meyakinkan kerajaan German agar dapat memberi pinjaman kepada Greece.Langkah jimat cermat ini telah dikutuk oleh rakyat Greece dan pada 5 Mei 2010 satu mogok awam di seluruh negara telah diadakan.Mogok itu dilaporkan menjadi ganas dan menyebabkan 3 nyawa terkorban.


Ireland
Bagaimana pula dengan Ireland, yang mempunyai GNI per kapita lebih dari 7 kali ganda Malaysia?Pada awal dan pertengahan dekad pertama abad baru ini, Ireland telah menunjukkan prestasi yang begitu membanggakan.Ireland dikatakan ekonomi yang paling berjaya di Eropah.Malangnya kejayaan ini tidak kekal.Pada tahun 2008, Ireland telah mula mengalami krisis ekonomi yang teruk yang memaksa kerajaannya mengumumkan secara rasmi pada bulan September 2008 bahawa negara itu sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Kadar pengangguran naik mendadak pada bulan-bulan berikutnya.Ramai pekerja hilang pekerjaan dan perasaan marah terhadap kerajaan Ireland meluap-luap.
Namun demikian, kerajaan Ireland terpaksa mengumumkan langkah penjimatan kerana keadaan kewangan kerajaan terlampau lemah. Jabatan kewangannya melaporkan bahawa defisitnegara berjumlah €4.5 billioniaitu 6.6% dari belanjawan kerajaan. Bank pusat negara berkenaan juga melaporkan bahawa negara itu sedang mengalami penguncupan keluaran yang tidak pernah dialami dalam sejarah negara itu dengankadar kejatuhan GDP sebanyak 6% serta kadar pengangguran sebanyak 11%. Pada 21 Februari 2009, sejumlah 100,000 orang telah mengadakan tunjuk perasaan di ibukota Dublin dan pada 22 Januari 2011 Perdana Menterinya telah terpaksa meletakan jawatan.
Bagaimana pula dengan negara-negara berpendapatan tinggi lain di rantau Asia seperti Korea Selatan dan Singapura? Korea Selatan mempunyai GNI per kapita berjumlah USD19,231sementara Singapura mempunyai jumlah GNI per kapita sebanyak USD20,000.Adakah mereka negara-negara contoh untuk kita?
Korea Selatan
Dalam kes Korea Selatan, pada tahun 1960an negara tersebut adalah jauh di belakang Malaysia dari aspek prestasi ekonomi dan pendapatan per kapita.Pada tahun 1962, GNI per kapitanya hanya USD87 sementera GNI per kapita Malaysia adalah USD304.Namun demikian di bawah pentadbiran Presiden Park Chung Hee, negara tersebut telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang sungguh pesat. Purata kadar pertumbuhan GNI negara itu dari tahun 1962 hingga ke 1989 ialah lebih dari 8%. Pada tahun 1989, GNI per kapita Korea mencecah USD4,830 berbanding USD2,071 dalam kes Malaysia.Sektor pembuatan negara tersebut juga berkembang pesat dari 14.3%GNP pada tahun 1962 menjadi 30.3% pada tahun 1987. Akibat dari pertumbuhan ekonomi yang pesat itu, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah berusaha untuk mencontohi KoreaSelatan dan telah merangka ‘Industrial Master Plan’nya pada tahun 1986 dengan dibantu oleh seorang perunding dari Korea Selatan.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1997 Korea Selatan telah mengalami krisis ekonomi yang teruk yang mengakibatkan negara berkenaan terpaksa memohon pinjaman dari IMF yang akhirnya berjanji membekalkan USD60 billion untuk membantu negara tersebut mengatasi masalah yang dihadapi. Apa yang telah berlaku ialah di dalam proses membangunkan ekonominya, Korea Selatan telah meminjam dana dari luar negara dengan banyak. Apabila matawang Korea Selatan iaitu won jatuh pada tahun 1997 semasa krisis ekonomi melanda Asia Tenggara dan Korea Selatan, hutang tersebut telah meningkat dan ini menyebabkan syarikat-syarikat Korea Selatan yang berhutang telah tidak dapat membayar hutang tersebut. Jika syarikat-syarikat tersebut tidak mendapat bantuan kewangan, sudah tentu mereka akan jatuh muflis dan ini akan menyebabkan jutaan pekerja akan kehilangan kerja dan seterusnya besar kemungkinana akan mengakibatkan masalahsosial. Bagi mengelakkan dari berlakunya keadaan ini, Korea Selatan telah terpaksa memohon pinjaman dari IMF sebanyak USD60 billion dan menerima syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh institusi tersebut termasuk membenarkan pemilikan ekuiti lebih dari 55% dan beberapa syarat-syarat lain. Walaupun mendapat pinjaman dari IMF, namun jumlah pengangguran di Korea Selatan tidak dapat dielakkan dan pada tahun 1998, kadarnya meningkat dari 2.5% sebelum krisis ke 6.5 % selepas krisis .Satu lagi aspek yang membimbangkan tentang Korea Selatan ialah peningkatan jumlah hutang dikalangan rumahtangga (household debt).Pada tahun ini, hutang rumahtangga berbanding dengan pendapatan tolak cukai (disposable income) ialah 150%, iaitu yang tertinggi di dunia selepas Britain. Pada tahun 2008, kadar hutang rumahtangga berbanding GDP di Korea Selatan ialah 300% (berbanding 76% pada tahun 2009 di Malaysia). Tekanan sosial akibat dari krisis ekonomi serta peningkatan kadar hutang di dalam negara dapat dilihat daripada kenaikan dalam kadar bunuh diri dikalangan rakyat Korea Selatan. Diantara tahun 1990 sehingga 2006, jumlah bunuh diri dikalangan lelaki Korea Selatan dilaporkan bertambah tiga kali ganda dan sekarang ini Korea Selatan adalah negara yang mempunyai kadar bunuh diri tertinggi bukan sahaja di Asia bahkan juga di kalangan negara-negara kaya OECD.
Singapura
Satu lagi negara yang tinggi dari aspek kadar bunuh diri di kalangan negara-negara Asia ialah Singapura. Pada tahun 2006, adalah dilaporkan bahawa kadar bunuh diri di Singapura adalah 10.3 per 100,000, iaitu kadar yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Perlu diambil perhatian juga bahawa Singapura adalah negara pertama di kalangan negara-negara Asia Tenggara yang mencapai taraf negara membangun.GNI per kapita negara tersebut adalah lebih dari USD20 ribu.Satu lagi fakta yang menarik berkenaan Singapura ialah terdapat agak ramai dikalangan rakyatnya yang hendak meninggalkan negara tersebut. Sebagai contoh, satu kajian yang dilakukan pada tahun 2002 menunjukkan sebanyak 20% rakyatnya, kebanyakannya dari kumpulan professional dan berkelayakan dan berpendapatan tinggi, mahu meninggalkan negara tersebut. Peratus ini telah meningkat secara mendadak berbanding hanya 14% berdasarkan kajian yang sama yang dilakukan hanya sembilan bulan sebelum itu. Hasil kajian berkenaan, yang tidak berbeza dengan kajian-kajian lain yang dilakukan sebelum itu, menunjukkan bahawa faktor utama ialah kos kehidupan yang tinggi serta sistem pendidikan yang terlampau ‘menekan’ (stressful) yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2010 pula menunjukkan bahawa 1 dari 2 orang dikalangan golongan muda di Singapura berniat untuk meninggalkan negara tersebut di masa hadapan. Di antara alasan-alasan yang diberikan termasuklah kos kehidupan yang tinggi, cara hidup yang terlampau cepat (hectic) dan tidak wujud keseimbangan dalam aspek kehidupan dan kerja (work-life balance).

Pengajaran dari Pengalaman Negara Kaya
Apakah yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah ekonomi di negara-negara di atas yang hampir kesemuanya telah melalui krisis ekonomi yang teruk, bahkan lebih teruk dari negara kita?
1. Kekayaan sesebuah negara tidak menjamin kesejahteraan.
Apa yang telah kita lihat dengan jelas dari pengalaman negara-negara tersebut di atas ialah walaupun mereka kesemuanya mempunyai kadar GNI per kapita yang lebih tinggi dari negara kita, namun mereka telah tidak dapat mengelak dari mengalami krisis ekonomi yang teruk yang melibatkan jutaan rakyat mengalami kesengsaraan. Masalah kemiskinan dikalangan golongan bawahan di dalam masyarakat akan bertambah dan ini bermakna jutaan kanak-kanak kecil, wanita dan orang-orang tua yang berada dalam keluarga miskin tersebut akan hidup di dalam keadaan yang tertekan dan perit. Jurang perbezaan antara miskin dan kaya akan bertambah dan ini akan menghasilkan berbagai masalah sosial seperti perceraian dan jenayah.
2. Negara yang beramal dengan sistem kewangan berasaskan riba akan menghadapi kemelut kewangan
Hampir kesemua negara yang disebutkan sebelum ini menghadapi krisis ekonomi yang teruk kerana mengamalkan sistem ekonomi riba. Bahkan jika dikaji, kita akan mendapati bahawa amalan riba yang berleluasa di dalam masyarakat merekalah yang menjadi faktor penyumbang utama kepada krisis yang berlaku. Dalam erti kata yang lain, jika sesebuah negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat serta berjaya meningkatkan pendapatan berkali ganda sekali pun, tetapi jika ekonomi negara tersebut adalah berdasarkan amalan riba, maka lambat laun negara tersebut akan tetap mengalami krisis.
3. Kadar pertumbuhan yang memberansangkan adalah petanda akan berlakunya krisis
Di dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem riba, prestasi ekonomi yang bagus langsung tidak bermakna bahawa krisis ekonomi tidak akan melanda negara tersebut pada masa hadapan. Bahkan seperti kita lihat di dalam kes negara-negara di atas, khususnya Iceland dan Ireland, prestasi ekonomi yang memberangsangkan adalah faktor utama kepada krisis ekonomi mereka. Dalam erti kata yang lain, prestasi ekonomi yang memberangsangkan adalah seolah-oleh petanda kepada suasana krisis yang akan menyusul.
4. Suasana kesejahteraan sesebuah negara besar kemungkinan diganti dengan suasana kacau bilau dan kesengsaraan dinegara-negara yang mencapai GNI per kapita yang tinggi melalui polisi ekonomi yang bertunjangkan kepada amalan riba
Pengalaman negara-negara tersebut di atas jelas menunjukkan bahawa kesejahteraan yang dialami adalah sementara dan lambat laun akan diganti dengan suasana kesengsaraan yang dasyat apabila suasana pertumbuhan ekonomi diganti dengan suasana kemelesetan ekonomi yang mendadak. Apa yang membuat keadaan lebih teruk lagi ialah apabila kemelesetan ekonomi itu berkait rapat dengan fenomena tahap hutang yang tinggi di kalangan organisasi dan individu. Ini semua adalah perkara yang pasti akan berlaku jika polisi pembangunan negara dilaksanakan dalam sistem sistem ekonomi yang bertunjangkan kepada amalan riba.

Rumusan
Pada masa ini kepimpinan negara kita sedanggiat melakukan usaha mentransformasikan masyarakat. Salah satu dari usaha yang dilakukan dan menjadi fokus utamanya ialah mentransformasikan ekonomi negara kita supaya ianya menjadi negara kaya atau negara berpendapatan tinggi dengan GNI per kapita mencapai USD15,000, iaitu 5 kali ganda GNI per kapita sekarang. Namun hakikatnya, seperti yang terbukti di dalam beberapa kes contoh negara kaya lain di atas, kesejahteraan jangka panjang masyarakat langsung tidak akan terjamin dengan usaha-usaha yang berbentuk itu. Bahkan apa yang mungkin berlaku ialah negara akan menghadapi krisis ekonomi yang teruk di masa hadapan.
Ini adalah kerana model pembangunan yang digunakan oleh negara kita adalah sama dengan yang telah digunakan oleh negara lain yang telah mengalami krisis ekonomi dan kewangan yang teruk. Salah satu faktor penyumbang kepada masalah mereka ialah wujudnya unsur riba yang kuat dalam sistem ekonomi mereka.Akibat dari itu timbullah masalah hutang yang teruk di pelbagai peringkat iaitu individu, organisasi perniagaan dan juga kerajaan. Negara-negara tersebut masih tidak sedar bahawa dasar dan matlamat pembangunan ekonomi mereka adalah di atas landasan yang salah dan oleh itu mereka tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Kalaupun ada ‘improvement’ di dalam ekonomi mereka, keadaan itu sebenarnya adalah bersifat sementara sahaja. Lambat laun negara-negara tersebut akan menghadapi masalah kembali dan mungkin dalam kadar yang lebih teruk.
Sebenarnya nasib yang sama akan melanda negara kita jika kita terus menggunakan dasar dan matlamat pembangunan ekonomi yang sama. Kemelesetan ekonomi yang telah kita alami dengan teruk pada tahun 1997 akan datang kembali. Satu perkara yang kita harus sedar ialah di dalam negara kita yang berbilang bangsa dan kaum, suasana politik adalah sangat berkait rapat dengan semangat perkauman.Oleh itu kemelesetan dan kesengsaraan ekonomi mempunyai potensi yang kuat untuk menjadi pencetus kepada konflik perkauman yang dasyat dan berdarah.Oleh itu, adalah sangat penting bagi kita mencari model pembangunan yang betul-betul boleh menjamin keharmonian dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Oleh kerana majoriti penduduk negara kita adalah beragama Islam yang yakin akan kebenaran Islam dan kebijaksanaan Allah s.w.t., sepatutnya tidaklah menjadi masalah untuk mencari model pembangunan tersebut. Sepatutnya semua dikalangan majoriti penduduk Islam dari berbagai lapisan sedar bahawa caraatau model atau pendekatan sebenar untuk mentransformasikan negara bagi mencapai kesejahteraan masyarakat jangka panjang ialah dengan cara yang telah diajarkan dan ditunjukkan kepada kita oleh Ar-Rasul s.a.w. Mungkin salah satu sebab kenapa ianya tidak berlaku ialah kerana ramai dikalangan penduduk Islam di negara kita tidak betul-betul sedar tentang perkara ini. Jika itulah punca masalahnya, maka tidak ada jalan lain yang mesti kita tempuhi melainkan meningkatkan kefahaman dan ilmu di kalangan umat Islam di negara ini tentang ajaran Islam yang sebenar. Semoga kertas ini dan kertas-kertas lain yang akan dibentangkan di dalam seminar ini akan menyumbang ke arah usaha-usaha berkenaan dan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t..
Akhir sekali, saya ingin mengingatkan kita semua kepada dua potong ayat di dalam Al-Quran yang merujuk kepada tajuk yang kita bincangkan iaitu:
لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فِى ٱلۡبِلَـٰدِ (١٩٦) مَتَـٰعٌ۬ قَلِيلٌ۬ ثُمَّ مَأۡوَٮٰهُمۡ جَهَنَّمُ‌ۚ وَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ (١٩٧) لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ رَبَّهُمۡ لَهُمۡ جَنَّـٰتٌ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَا نُزُلاً۬ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ لِّلۡأَبۡرَارِ (١٩٨)
Maksudnya :
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan. Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan). (Surah Al Imran 196-198)


وَيَـٰقَوۡمِ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ ثُمَّ تُوبُوٓاْ إِلَيۡهِ يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡڪُم مِّدۡرَارً۬ا وَيَزِدۡڪُمۡ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمۡ وَلَا تَتَوَلَّوۡاْ مُجۡرِمِينَ

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)

5 comments:

  1. Menarik tulisan Prof ini untuk di renungi dan diambil tahu oleh pehak2 yg berkuasa di dalam kerajaan Malaysia. Namun apakah mereka mau merobah status quo sekarang yg menguntungkan pemodal. Sedangkan kita tahu kebanyakan pemodal berhubung kait dgn poltician yg menentukan corak dan arah ekonomi negara. Saya teringat beberapa tahun dulu Prof Jomo KS Sundram yg juga salah seorang pakar ekonomi dari Universiti Malaya pernah berbicara tentang hala tuju ekonomi Malaysia. Namun segala idea dan gagasan beliau tidak mendapat respon yg baik dari pehak berkuasa, kerana hanya perbedaan pahaman politic. Akhirnya beliau meninggalkan Malaysia berkhidmat dengan PBB dan tinggal di Amerika Serikat. Kita sebagai rakyat hanya mampu melihat dan memerhati apa yg dibuat oleh para pakar ekonomi negara yang dipengaruhi sepenuhnya oleh para politician yang berhubung kait dengan penguasa yang akhirnya menentukan hala tuju negara sebagai mana yang mereka mau tanpa peduli masa depan masyarakat untuk dekad yang akan datang.

    ReplyDelete
  2. tulisan yang menarik dan bagus untuk direnungi dan diambil pengajaran yang berguna untuk negara kita

    ReplyDelete
  3. perkongsian yang menarik, teruskan menulis... :)

    ReplyDelete
  4. sangat jelas.. saya setuju dengan pandangan prof.
    sangat setuju.
    sistem pendidikan dan gudang ilmu adalah penting untuk merubah dunia islam. dan yang terutama adlh negara kita.

    ReplyDelete
  5. saya setuju dengan pandangan prof. kerna itulah Allah Taala mengharamkan riba ia mngakibatkan kerugian kedua belah pihak

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.