Saturday, July 23, 2011

Keadilan yang menyeluruh prasyarat keamanan negara

Baru-baru ini bandar raya KL telah menyaksikan satu suasana yang jarang-jarang dilihat. Puluhan ribu rakyat turun membanjiri jalan dan lorong untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka tentang proses pilihan raya di negara kita dengan menyokong perhimpunan aman yang dianjurkan oleh BERSIH 2.0. Gas pemedih mata diletupkan dan air yang mengandungi kimia disembur oleh pihak polis untuk memaksa penunjuk perasaan bersurai.

Namun ramai yang tetap degil dan enggan meninggalkan lokasi. Lebih daripada seribu orang ditangkap. Insiden ini berlaku walaupun pihak berkuasa beberapa hari sebelum itu telah cuba sedaya upaya untuk menakutkan penunjuk perasaan supaya tidak hadir dengan cara mengeluarkan notis amaran kepada pekerja kerajaan dan pelajar serta orang awam dengan menguar-uarkan perhimpunan tersebut sebagai haram.

Jelaslah bahawa jika sebahagian besar rakyat merasakan bahawa keadaan yang tidak adil wujud dalam masyarakat, maka sukar bagi pemerintah untuk mengawal mereka. Jika pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan tindakan untuk memenuhi lapan permintaan BERSIH 2.0 itu, maka persepsi negatif terhadap proses pilihan raya akan terus kekal dan sudah pasti kita akan menyaksikan BERSIH 3.0 pula.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa adalah amat penting untuk memastikan rakyat keseluruhannya merasakan bahawa mereka telah mendapat keadilan dalam kehidupan mereka. Perasaan marah yang muncul apabila merasakan bahawa diri telah dizalimi adalah naluri tabiat manusia. Cuma ada yang berjaya mengawal dengan baik supaya tindak balas mereka tidak melampau batasan agama dan undang-undang sementara ada yang lain tidak berjaya. Jika golongan yang tidak berjaya ini besar, maka kemungkinan keganasan dan tindak-tanduk liar berlaku adalah sangat tinggi dan ini akan merugikan semua pihak.

Sebenarnya perkara ini bukannya susah untuk disedari. Keadaan sebegini sudah acap kali berlaku di negara-negara lain termasuk di Iran pada tahun 2010 yang mengorbankan lebih kurang 150 nyawa (berdasarkan laporan CNN). Mereka yang merusuh adalah penyokong Mir Hossein Mousavi yang merasakan bahawa kekalahan calon yang mereka sokong adalah hasil daripada penipuan parti pemerintah di bawah pimpinan Mahmud Ahmadinejad.

Di Kenya keadaan yang sama turut berlaku pada tahun 2008 yang melibatkan kematian berjumlah lebih kurang 800 orang. Apa yang menarik perhatian ialah jumlah kematian yang begitu tinggi di Kenya. Faktor utamanya ialah sentimen perkauman yang sangat kuat khususnya kebencian yang meluap-luap terhadap kaum Kikuyu yang dianggap mempunyai pengaruh yang berlebihan.

Namun bukan semua rusuhan berlaku kerana tanggapan keadilan dalam proses pilihan raya sahaja. Sebagai contoh, di Rwanda, insiden keganasan yang berlaku pada tahun 1994 tidak langsung berkait dengan proses pilihan raya, tetapi akibat dariada beberapa faktor lain. Akhirnya telah berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide) yang mengorbankan hampir 1 juta nyawa atau lebih kurang 20% daripada jumlah penduduk negara Rwanda.

Punca utama tragedi itu ialah tanggapan wujudnya ketidakadilan dari segi pengaruh politik dan ekonomi kaum minoriti Tutsi berbanding kaum majoriti Hutu. Sudah tentu mangsa yang terkorban adalah kebanyakannya dari kaum Tutsi. Namun ramai dari bangsa Hutu sendiri yang tidak bersetuju dengan keganasan yang dilakukan terhadap kaum Tutsi turut menjadi mangsa pembunuhan kerana dilihat sebagai pembelot kepada bangsa.

Kita mungkin merasakan bahawa rusuhan yang berkaitan dengan suasana ketidakadilan ini hanya berlaku di negara mundur atau kurang maju di Afrika, Amerika Selatan, Timur Tengah dan Asia. Namun ia sebenarnya tidak benar.

Sebagai contoh, semenjak tahun lepas hingga sekarang, berlaku rusuhan yang ganas di Greece walaupun proses pilihan rayanya dianggap sebagai telus dan adil. Rusuhan yang berlaku itu pula tiada kaitan langsung dengan semangat perkauman kerana di Greece tidak wujud suasana konflik antara kaum yang ketara.

Punca utama rusuhan ialah tanggapan wujudnya suasana ketidakadilan terhadap rakyat umum oleh golongan yang berkuasa atau berpengaruh. Hal ini timbul kerana keadaan kegawatan ekonomi yang teruk sedang melanda Greece akibat hutang kerajaan yang sangat tinggi, yang sekarang ini berjumlah lebih daripada US485 bilion.

Ketidakupayaan kerajaan Greece menanggung beban hutang ini memaksanya mengambil langkah penjimatan yang drastik, yang antara lain melibatkan peningkatan berbagai jenis cukai, pemotongan pelbagai jenis perbelanjaan sektor awam termasuk pemotongan gaji pekerja sektor awam, pemotongan subsidi kesihatan, pemotongan peruntukan untuk sekolah-sekolah dan pemotongan bantuan kewangan kepada golongan miskin.

Kerajaan Greece juga telah membuang pekerja kontrak sementara secara serta-merta serta menjual aset-aset negara. Sudah tentu langkah-langkah ini menyebabkan ramai yang hilang perkerjaan di samping mengalami kesengsaraan yang dahsyat. Inilah yang membuatkan mereka marah kepada kerajaan dan kepada golongan yang pernah berkuasa di Greece sebelum ini. Pada tanggapan mereka, rakyat biasa yang tidak berdosa telah menjadi mangsa kepada kerakusan golongan tersebut.

Suasana di Greece juga sedang berlaku di Sepanyol, di Ireland dan mungkin juga di Portugal dalam masa yang terdekat kerana semua kerajaan negara tersebut sedang menghadapi beban hutang yang tinggi.

Sebagai rumusan, adalah tersangat penting bagi kerajaan memastikan bahawa rakyat mempunyai persepsi bahawa proses pilihan raya di Malaysia adalah adil dan telus. Namun ini sahaja tidak mencukupi. Kesejahteraan masyarakat bukan sahaja bergantung kepada proses pilihan raya yang adil semata-mata tetapi juga kepada sistem politik yang adil, sistem perundangan yang adil, sistem sosial yang adil, sistem ekonomi yang adil, sistem kekeluargaan yang adil, sistem pendidikan yang adil dan berbagai-bagai lagi sistem lain yang adil.

Oleh itu amat jelaslah kepada kita bahawa penyelesaian jangka panjang tidak lain dan tidak bukan adalah melaksanaan syariah Islam secara menyeluruh kerana hanya dengan cara itulah sahaja kita dapat menjamin semua perkara yang disebutkan di atas akan berlaku. Tambahan pula langkah permulaan proses perubahan yang panjang ini adalah mewujudan individu-individu Muslim yang ramai, yang telah dididik (ditarbiah) supaya mereka bukan sahaja mempunyai keinginan yang kuat untuk melihat pelaksanaan syariah dalam masyarakat, tetapi juga mempunyai jiwa yang ikhlas, yang sentiasa memeriksa diri supaya tidak menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa, serta sentiasa beramal secara adil kepada ibu bapa, ahli keluarga, jiran, kawan dan kepada masyarakat umum, hatta termasuk juga kepada pemerintah yang tidak berlaku adil kepada mereka.

Add comment

1 comment:

  1. Ayam dalam reban. Bersyukurnya ayam bila tuannya beri makan dalam reban, beri perlindungan supaya tak dimamam oleh musang dsbg. Tapi tangan yg sama yg membelai dan menjaganya itu juga yg akan mengelar 3 urat tengkuknya. Ayam yg cuba melepaskan diri akan dilabel oleh ayam lain sebagai pengkhianat yg tidak mengenang budi, pengganas, radikal, menyusahkan majoriti ayam lain. Jawab ayam pengkhianat - duduklah kamu dalam reban itu, aku tak rela minda aku dilacurkan ... ayam lain ternganga tak faham, barangkali sememangnya ayam tak punya akal.
    Jangan lupa persepsi tuan empunya ayam pula - alamak kuranglah duit raya aku tahun ni. Pedulikah dia pasal persepsi ayam pengganas dan ayam penghuni kekal reban tadi? Tidak, yg penting perutnya dong. Tepat sekali Abraham Maslow lebih tepat Kitab Suci Al-Quran (At-Tin ayat 4-5)
    Ayam dah mahal sekor RM15...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.