Thursday, July 28, 2011

Masalah `Siling Hutang’ di Amerika: Apakah iktibarnya?

Satu istilah yang sedang hangat diperbincangkan sekarang di serata dunia ialah Debt Ceiling atau ‘Siling Hutang’. Istilah ini merujuk kepada jumlah hutang maksimum yang dibenarkan oleh Kongres Amerika yang boleh dipinjam oleh badan eksekutif kerajaan Amerika yang sekarang dipimpin oleh Presiden Obama.

Untuk memahami masalah yang dihadapi oleh Presiden Obama sekarang berkaitan isu ini, adalah perlu bagi kita terlebih dahulu memahami satu ciri penting sistem politik Amerika yang tidak terdapat di kebanyakan negara lain seperti Britain dan Malaysia. Ciri penting ini dikenali sebagai konsep Separation of Powers atau ‘Pemisahan Kuasa’. Menurut konsep ini, terdapat pemisahan yang jelas antara tiga institusi pemerintahan negara iaitu badan Eksekutif (Executive), Legislatif (Legistlative yang berbentuk parlimen di Malaysia) dan Kehakiman (Judiciary). Ia berbeza dengan sistem politik yang diamalkan di Britain dan Malaysia di mana TIDAK terdapat pemisahan kuasa antara badan-badan legislatif dan badan eksekutif. Hal ini kerana di Malaysia, parti yang memenangi pilihan raya akan menjadi majoriti dalam parlimen dan pada masa yang sama akan membentuk badan eksekutif yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri. Oleh yang demikian, segala perancangan oleh badan eksekutif tidak akan menghadapi masalah untuk mendapat kelulusan daripada parlimen.

Keadaan seperti ini tidak berlaku di Amerika kerana pilihan raya pesiden (ketua badan eksekutif di Amerika) adalah terasing daripada pilihan raya bagi keahlian Kongresnya. Oleh yang demikian, wujud kemungkinan bahawa presiden yang dipilih adalah dari parti yang berbeza daripada parti yang menjadi majoriti dalam Kongres. Sebenarnya inilah yang sedang berlaku di Amerika di mana presidennya iaitu Barack Obama adalah dari parti Demokrat sedangkan Kongres, khususnya House of Representative adalah di bawah kawalan parti Republikan.

Apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin parti Republikan di Kongres sedang menyekat usaha Obama untuk memperoleh sumber dana dengan cara menambahkan jumlah hutang kerajaan. Sebenarnya tindakan meminjam oleh kerajaan Amerika bukanlah perkara yang ganjil atau tidak pernah berlaku. Bahkan disebabkan sumber pendapatan Amerika daripada pencukaian sentiasa tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan kerajaan (yakni belanjawan defisit), maka kerajaan Amerika telah lama terpaksa bergantung kepada pinjaman. Namun apa yang telah berlaku ialah pinjaman kerajaan Amerika sudah mencapai tahap yang terlalu tinggi. Dalam masa 12 bulan dari Jun 2010 sehingga Jun 2011, kerajaan Amerika telah meminjam sebanyak USD1.3 trilion sementara jumlah hutang terkumpul sudah meningkat menjadi USD14.3 trilion. Jumlah ini merupakan ‘siling hutang’ yang telah ditetapkan oleh Kongres Amerika sebelum ini dan oleh itu kelulusannya untuk meningkatkan siling hutang ini adalah perlu jika kerajaan Amerika ingin melaksanakan rancangannya untuk menambahkan pinjaman.

Namun pemimpin parti Republikan di Kongres telah memaklumkan kepada Obama bahawa syarat utama yang mesti dipatuhi sebelum kebenaran diberikan untuk siling ini ditingkatkan ialah tiada penambahan kepada cukai yang dikenakan kepada rakyat serta pengurangan perbelanjaan kerajaan secara radikal. Sudah tentu ia adalah syarat yang sukar diterima oleh pentadbiran Obama kerana salah satu daripada perjuangan parti Demokrat adaah untuk memastikan terdapat pengagihan kekayaan daripada golongan kaya kepada golongan miskin melalui proses percukaian.

Jika Kongress Amerika masih tidak membenarkan siling hutang dinaikkan dan dengan itu menyekat kerajaan Amerika daripada memperoleh sumber dana, maka menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika, pada 2 Ogos nanti, kerajaan Amerika akan kehabisan dana untuk membayar bil yang berjumlah USD134 bilion (atau 44% daripada jumlah semua bil) pada masa yang telah dijanjikan. Menurut penganalisis kewangan, jika perkara ini berlaku akan terdapat kesan yang besar kepada ekonomi Amerika. Ini disebabkan kerajaan Amerika akan mengalami kes ‘Debt Default’ yang akan mengurangkan keyakinan pasaran kewangan kepada keupayaan kerajaan Amerika untuk membayar hutangnya pada masa hadapan. Kos pinjaman (atau bunga) kepada hutang akan meningkat dan dengan itu rakyat Amerika akan terpaksa berkerja lebih kuat untuk membantu kerajaannya menjelaskan hutang-hutang akan datang. Ekonomi Amerika juga besar kemungkinan akan meleset dan oleh yang demikian lebih banyak firma akan menghadapi masaalah kewangan dan lebih ramai lagi rakyatnya akan dibuang kerja.

Tetapi adakah masalah ini semua akan dapat dielakkan jika ‘siling hutang’ dibenarkan oleh Kongres untuk ditingkatkan? Sudah tentu tidak. Hakikatnya ialah hutang kerajaan Amerika sekarang adalah tersangat tinggi dan peningkatan ’siling hutang’ hanya bermakna bahawa jumlah hutang kerajaan Amerika akan dapat dipertingkatkan dengan mudah. Ia juga bermakna beban hutang kerajaan (yang juga bermakna beban hutang rakyat) akan menjadi bertambah besar pada masa hadapan.

Jelaslah kepada kita bahawa perdebatan dan perbincangan berkenaan masalah ‘siling hutang’ hanya menarik perhatian masyarakat Amerika daripada masalah yang lebih besar iaitu beban hutang yang besar, yang sudah tentu tidak akan mampu dibayar oleh mereka. Di samping itu juga, perbincangan masalah ‘siling hutang’ lebih menarik perhatian daripada perbincangan berkenaan punca utama kepada masalah iaitu amalan riba dan industri hutang yang masih berleluasa. Sebenarnya selagi amalan riba tidak dihapuskan oleh masyarakat Amerika dan industri hutang dibiarkan hidup dan maju, masalah hutang negara tersebut tidak akan dapat diselesaikan.

Persoalannya, adakah masyarakat Malaysia peka tentang apa yang berlaku di Amerika dan mampu untuk memperoleh iktibar atau pengajaran yang betul? Sedarkah kita bahawa belanjawan kita tiap-tiap tahun, seperti di Amerika, juga sentiasa dalam keadaan defisit? Sedarkah kita bahawa hutang terkumpul kerajaan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun? Sedarkah kita bahawa hutang kerajaan yang pada tahun 1970 berjumlah hanya lebih kurang RM1 bilion telah bertambah dengan begitu cepat dan sekarang hampir mencecah RM500 bilion?

Akhir sekali kita juga harus sedar bahawa disebabkan badan legislatif Malaysia (yakni Parlimen) tidak akan menyekat badan eksekutif kerajaan Malaysia daripada menambah hutangnya, maka besar kemungkinan hutang kerajaan Malaysia akan terus meningkat dari tahun ke tahun tanpa kawalan. Tambahan pula kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang sedang diasak teruk oleh pihak pembangkang dan oleh yang demikian adalah sangat perlu bagi kerajaan BN meningkatkan pinjaman untuk memastikan ia mempunyai dana yang cukup untuk `menyelesakan’ kehidupan rakyat sekali gus menumpulkan hujah-hujah pembangkang. Dengan cara ‘menyelesakan kehidupan’ rakyatlah parti pemerintah akan terus popular dan akan terus menang dalam pilihan-pilihan raya yang akan datang. Cuma hutangnya sahaja akan terus bertambah-tambah.

Walaupun isu ‘siling hutang’ tidak akan timbul di negara kita, namun masalah atau krisis hutang yang besar ini juga akan dihadapi oleh kita dan sudah tentu juga akan menjadi terlampau rumit untuk diselesaikan. Sudah tentu satu hari nanti kita semua akan menyedari betapa seriusnya masalah yang kita hadapi. Yang menjadi kebimbangan ialah pada ketika itu keadaan sudah mencapai tahap ‘nasi sudah menjadi bubur’.

6 comments:

  1. apakah kesan2 yang akan dirasai oleh malaysia akibat kegagalan Amerika membayar hutang mereka itu? Pro n Con

    mr.carbonz@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Ekonomi Amerika akan menguncup/meleset. Eskport Malaysia akan menurun dan ekonomi Malaysia akan juga menurun. Tetapi apabila Amerika lemah, Amerika mungkin akan mengurangkan bantuan kepada Israel dan oleh itu Israel akan lemah dan rakyat Palestin akan bebas dari cengkaman dan kezaliman Israel. Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. apakah cadangan mengurangkan subsidi sedikit demi sedikit dapat membantu kerajaan dan seterusnya membantu ekonomi negara?

    ReplyDelete
  4. Perkara utama ialah pengurangan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan. Perbelanjaan perlu mengambil kira konsep 'Maqasid Shariah'. Kalau cukup duit utk menampung subsidi, subsidi boleh diteruskan. Tetapi malangnya banyak berlaku perbelanjaan yang tidak perlu dan juga ketirisan melalui amalan rasuah. Sebab tu sentiasa duit tak cukup. Kerajaan mengatasi masalah melalui berhutang. Ini adalah keadaan yang sangat tidak elok, malahan merbahaya.

    ReplyDelete
  5. pada pandangan dr berapa billionkah setahun wang negara dapat dijimatkan (saya merasakan adalah mustahil untuk dihapuskan 100%) jika masalah rasuah dapat dikurangkan..

    ReplyDelete
  6. maaf, susah nak kira secara tepat. Tapi perbelanjaan kerajaan adalah RM206 billion pada tahun 2011, Kalau penjimatan akibat penghapusan rasuah adalah 10%, maka jumlah penjimatan adalah lebih dari RM20 billion... banyak tu kan?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.