SABTU, 15 OKTOBER 2011 16:02 PROF DR NAZARI ISMAIL
Dalam sejarah awal Islam, isu belanjawan negara bukan isu yang penting. Bahkan agak sukar untuk mencari kisah dalam sejarah Nabi sallallahu alaihi wasallam yang mana umat Islam menunggu dengan penuh antisipasi ucapan Rasul sallallahu alaihi wasallam berkenaan perancangan kewangan negara Islam pertama Madinah. Salah satu faktor utama kenapa keadaan tersebut tidak pernah berlaku ialah kerana kerajaan Islam dahulu berbentuk 'small government'.
Dalam bentuk tersebut, kerajaan tidak campur tangan secara aktif dalam aspek kewangan awam (public finance) berbanding sekarang. Sebagai contoh, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan tidak dibekalkan oleh kerajaan tetapi oleh institusi waqaf atau oleh individu persendirian. Oleh sebab itu kerajaan pada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tidak memerlukan perbelanjaan yang besar dan dengan itu juga tidak perlu mengutip cukai daripada rakyat. Negara Islam hanya mewajibkan rakyat membayar zakat kepada golongan yang layak menerima zakat.
Tambahan pula, disebabkan rakyat sangat gemarkan pahala, rakyat sering mengifaqkan harta mereka kepada kerajaan dan semasa pemerintahan Khalifah Umar, harta negara di Baitulmal melebihi perbelanjaan.
Tetapi sekarang di Malaysia keadaan adalah sangat berbeza. Bukan sahaja acara pembentangan bajet adalah acara yang penting, harta kerajaan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan. Kedua-dua aspek ini akan saya huraikan dengan lebih terperinci.
Pembentangan bajet adalah antara acara-acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat. Ia disebabkan semua pihak menyedari kemungkinan kehidupan mereka akan terkesan dengan hebat akibat daripada keputusan-keputusan yang terkandung dalam belanjawan yang bakal dibentangkan. Kerajaan sekarang sudah menjadi 'Big Government'. Kalau dahulu perbelanjaan kerajaan Islam tersangat kecil dan tidak memberi kesan kepada rakyat jelata, sekarang ia berjumlah berbilion ringgit dan memang telah memberi impak kepada banyak pihak.
Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berjumlah RM232.8 bilion. Disebabkan KNK negara pada tahun 2011 dianggarkan berjumlah RM827.7 billion pada tahun 2011, maka perbelanjaan kerajaan dianggarkan 28.1% peratus dari KNK negara pada tahun ini, satu jumlah yang sangat besar.
Hampir kesemua golongan rakyat Malaysia tersenyum mendengar ucapan beliau. Hal ini tidak menghairankan kerana pelbagai bantuan diberikan kepada berbagai-bagai kumpulan, dari peruntukan membaik pulih rumah nelayan berjumlah RM300 juta kepada peruntukan berjumlah berbilion ringgit untuk membekalkan perkhidmatan jalan raya dan air bersih kepada penduduk luar bandar, daripada peruntukan pembinaan hospital kanak-kanak dan wanita berjumlah RM700 juta kepada pengecualian caj hospital kerajaan kepada warga emas berumur 60 ke atas.
Tetapi sepatutnya bagi seseorang yang menghayati Islam sepenuhnya, semua penilaian berkenaan apa-apa sekalipun mestilah berdasarkan kaca mata Islam atau Syariah. Oleh itu persoalan yang mesti didalami oleh kita semua ialah adakah Bajet 2012 baik atau buruk dari pandangan Syariah?
Malangnya jawapannya ialah tidak dan ia tidak susah untuk diterangkan. Bajet ini ialah bajet yang memerlukan kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatan yang diperoleh pada kadar 4.7 peratus dari KNK. Ia bermakna kerajaan akan terpaksa berhutang sebanyak RM45.9 billion. Sementara itu hutang kerjaan terkumpul setakat ini adalah RM437 billion dan menurut Laporan Bank Negara yang terkini, jumlah hutang negara diramalkan meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM455.75 billion pada akhir tahun 2011.
Dalam erti kata yang lain, Bajet 2012 ini akan membuat keadaan kewangan kerajaan lebih tenat kerana beban hutang kerajaan yang semakin meningkat.
Peratus hutang awam terkumpul berbanding KNK (atau public debt as % of GDP) Malaysia sekarang tidak berganjak pada 52.2% walaupun jumlah KNK diramalkan meningkat pada kadar 4.4%. Ini bermakna pertambahan ekonomi negara tidak membantu dalam usaha mengurangkan beban hutang kerajaan.
Jelaslah bahawa jika kerajaan tidak melakukan sesuatu terhadap masalah ini dengan segera, Malaysia tidak mustahil akan berhadapan dengan masalah ekonomi yang rumit dalam masa terdekat, seperti yang sedang dialami oleh negara-negara di Eropah seperti Greece, Sepanyol, Ireland dan Itali.
Di samping itu, apa yang sangat-sangat menyedihkan kita ialah hampir kesemua hutang kerajaan melibatkan amalan riba dan oleh itu ia adalah HARAM dari kaca mata Islam. Adakah pemimpin dan rakyat negara kita langsung tidak peka dengan implikasi apabila beramal dengan amalan yang dibenci oleh Allah? Adakah kita semua sudah lupa dengan firman Allah di dalam surah al-A’raf, ayat 96 yang bermaksud:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri it, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Oleh yang demikian, amatlah penting bagi kita semua menyeru kerajaan supaya mengambil langkah segera dari sekarang untuk memastikan bahawa segala perbelanjaan yang dirancang adalah dari sumber yang tidak memerlukan kerajaan berhutang.
Kita juga perlu menyeru kepada parti pembangkang supaya bertindak dengan cara yang bertanggungjawab, supaya tekanan dan kritikan yang diberikan bukan bermatlamatkan kepentingan politik kepartian jangka pendek sahaja, tetapi hendaklah memfokuskan kepada isu `Maqasid Syariah’ serta `Kepatuhan Syariah’. Dengan cara ini tekanan dan kritikan yang diberikan tidak akan memaksa kerajaan untuk menambahkan hutangnya untuk mendapat keuntungan politik dan sokongan rakyat tetapi sebaliknya akan membawa kerajaan balik kepada landasan Syariah.
Akhir sekali, kita semua mesti giat berdoa kepada Allah semoga diberi hidayah oleh-Nya terhadap semua pemimpin kita. Mudah-mudahan Allah akan memelihara masyarakat dan negara kita yang tercinta ini supaya kita semua dapat hidup dalam keadaan aman, bahagia dan sejahtera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.