Thursday, May 16, 2013

PRU13 - Satu Analisa


Pengenalan
Keputusan PRU13 sudah dimaklumi dengan terperinci. BN masih kekal berkuasa sebagai kerajaan persekutuan sementara PR berjaya menguasai tiga negeri – Selangor, Kelantan dan P. Pinang.
Dari segi undi popular, PR melebihi BN sedikit. Namun oleh kerana ciri sistem pilihanraya di Malaysia ialah `First past the post’ dari segi jumlah kerusi yang dimenangi, BN telah menang dengan mendapat 133 kerusi berbanding PR yang hanya mendapat 89 kerusi.
Namun kerusi BN berkurang sebanyak 7 berbanding 140 yang dimenangi pada tahun 2008. BN juga tidak berjaya mendapat majoriti 2/3 di parlimen.  
Satu aspek penting yang jarang disebut ialah  PRU13 telah dijalankan dalam keadaan yang aman. Ini berbeza dengan negara Islam lain seperti Pakistan dan Mesir.  Di Malaysia hanya seorang sahaja yang meninggal dunia dalam insiden yang berkait dengan PRU apabila individu tersebut meninggal akibat dari sakit jantung semasa beratur untuk membuang undi. Sebaliknya di Pakistan kematian yang berkait dengan pilihanraya berjumlah lebih 130 orang, sementara di Mesir angkanya ialah puluhan orang.

Beberapa fakta penting

Dari segi keputusan, parti UMNO telah meningkat prestasinya berbanding PRU lepas. Pada tahun 2008 ia hanya memenangi  79 kerusi.  Pada kali ini ia memenangi 88 kerusi iaitu 66 peratus dari jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN. Dari jumlah 275 DUN yang dimenangi BN,  240 adalah dimenangi oleh UMNO dan kebanyakannya adalah kerusi di luar bandar. Ini bermakna sokongan kepada UMNO di kalangan orang Melayu Islam meningkat sedikit berbanding Pas sementara sokongan kepada UMNO di kalangan orang Cina dan bukan Islam menurun dengan banyak.

Prestasi Pas sedikit menurun dimana ia telah memenangi hanya 21 kerusi parlimen berbanding 23 pada PRU lepas. Walupun PAS mendapat tambahan kerusi DUN di Selangor, Trengganu, Johor dan Melaka,  namun di negeri lain ia telah menunjukkan prestasi yang merosot. Di Kelantan sebanyak 6 kerusi DUN telah terlepas ke tangan BN. Di Kedah, PAS telah tewas kepada BN di mana ian hanya mampu memenangi hanya 8 kerusi DUN dan dan satu kerusi parlimen iaitu Pokok Sena. Di Perlis, PAS mempertahankan kerusi Sanglang tapi terlepas kerusi Simpang Empat.  Dalam erti kata yang lain, dikalangan pengundi Melayu, sokongan bertambah kepada UMNO berbanding PAS.

Namun kebanyakan dari sokongan ini adalah dari orang Melayu yang tinggal di luar bandar. Sebaliknya orang Melayu yang menyokong Pas adalah dari kalangan yang tinggal di bandar. Bahkan ada beberapa kerusi yang dimenangi Pas dari kawasan bandar adalah di kawasan majoriti Cina.

Oleh kerana PAS adalah sebuah parti yang menekankan pelaksanaan ajaran Islam dalam jangka panjang, sokongan kepada PAS di kalangan orang Cina menunjukkn bahawa mereka tidak lagi mempunyai persepsi yang negatif terhadap Islam. Yang mereka tidak suka  adalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah, iaitu aspek-aspek yang mereka kaitkan dengan BN.  

Faktor yang mempengaruhi keputusan

Apakah faktor pertambahan sokongan di kalangan orang Melayu kepada UMNO dan kemerosotan sokongan mereka kepada PAS? Ada tiga faktor utama:

  1. UMNO telah berjaya meyakinkan ramai orang Melayu bahawa mereka akan lebih selamat apabila UMNO memerintah negara ini. UMNO juga telah berjaya meyakinkan ramai orang Melayu bahawa kerjasama PAS dengan parti DAP serta sikap PAS membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di dalam bible ada bukti bahawa Pas tidak lagi boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Islam dan orang Islam. Akhir sekali UMNO mengingatkan pengundi bahawa Pas telah meninggalkan objektif lamanya untuk menegakkan Shariah dan Hudud jika berkuasa. Namun perlu diingatkan bahawa UMNO hanya berjaya dalam meyakinkan perkara2 di atas kepada kalangan orang Melayu yang tinggal di luar bandar. Di kawasan bandar di mana majoriti Melayunya tinggi, Pas masih dapat bertahan. Contoh terbaik ialah di kawasan-kawasan bandar di Trengganu, di Temerloh Pahang, di Bangi dan di Shah Alam, Selangor.
  2.  UMNO lebih banyak menggunakan taktik memancing undi dengan hadiah, sama ada dengan hadiah wang atau penjamuan dan lain-lain.  Ini sebenarnya juga taktik yang digunakan oleh parti PAS tetapi dalam kadar yang jauh lebih rendah berbanding UMNO. Ini kerana UMNO mempunyai sumber dana yang jauh lebih besar. Kemungkinan besar ramai orang Melayu yang terpengaruh dengan strategi hadiah ini, terutama sekali apabila disuruh bersumpah atau berjanji untuk mengundi UMNO sebelum diberikan jumlah wang antara RM150 hingga RM1000. Namun kesan strategi undi ini kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN sukar di ramalkan secara tepat.
  3. Faktor penghuni hantu tidak boleh diketepikan. Terlampau banyak kes yang menunjukkan kemungkinan pengundi hantu telah digunakan dalam PRU13. Sebagai contoh ialah kes dimana wujud tiga individu yang mempunyai nama dan tarikh lahir yang sama di Pahang. Terdapat juga kes 38 nama yang didaftarkan ke satu alamat di DUN Cempaka, Selangor. Pertambahan pengundi berdaftar sebanyak 27.4% lebih di Pekan serta lebih dari 32% di Kuala Selangor juga sangat mencurigakan.
Walau bagaimana pun, kemungkinan besar faktor inti tidak lah berpengaruh sangat dalam menentukan keputusan PRU13 berbanding faktor pertama dan kedua di atas. Dakwaan pihak PR bahawa lebih dari 25 kerusi parlimen sepatutnya dimenangi mereka hanya boleh dinailai apabila mereka menyerahkan bukti nanti ke mahkamah pilihanraya.

Beberapa ciri negatif PRU13
Ada beberapa perkara yang harus disebut berkaitan dengan PRU13 dan sesudahnya:

  1. Tahap kepercayaan sebahagian besar pengundi terhadap kerajaan dan SPR adalah terlalu lemah.  Akibatnya walaupun kemungkinan besar faktor pengundi hantu adalah tidak penting, namun oleh kerana ramai yang tidak percaya kepada kerajaan dan SPR, maka ramai yang merasakan bahawa tanpa penipuan, PR mungkin telah memenangi PRU13.  Ini telah menimbulkan keadaan tidak puas hati di kalangan sebahagian besar masyarakat dan menyulitkan usaha-usaha untuk menyatupadaukan masyarakat. Bahkan jika ianya tidak ditangani dengan baik, isu ini boleh diekploitasikan oleh pemimpin pembangkang untuk menimbulkan suasana huru hara.
  2. Sikap dan tindak tanduk pihak SPR adalah sumber kepada kurangnya keyakinan pengundi kepada mereka.  Di samping tidak mengambil serius tuntutan BERSIH, kegagalan langkah dakwat kekal juga nampak seolah SPR sengaja bersekongkol dalam penipuan. Adalah amat pelik bagaimana dakwat kekal boleh dilaksanakan di negara Mesir, sebuah negara Islam yang pertama kali melakukan PRU secara bebas, tetapi tidak di Malaysia yang telah lama dan berpengalaman mengendalikan PRU. Kegagalan SPR dalam isu dakwat ini amat serius dan sepatutnya ketua pengarah SPR meletak jawatan atau dilucutkan dari jawatan.
  3. Sikap kerajaan yang mengekang kebebasan media menyumbang kepada persepsi bahawa terdapat penyalah gunaan kuasa dan penipuan dalam PRU13. Media utama yang berat sebelah memberikan gambaran bahawa kerajaan tidak mahu atau enggan membenarkan rakyat memperolehi berita secara telus dan adil.  Akibatnya ramai yang langsung tidak menggunakan saluran media utama sebagai sumber berita dan sebaliknya memperolehi berita dari internet, facebook dan lain2 sumber alternatif. Namun berita  dari sumber alternatif ini adalah kadangkala palsu dan terlampau dalam memburukkan kerajaan. Walaubagaimanapun mereka telah berjaya mempengaruhi pembaca.  Sebaliknya jika media utama adalah telus dan bebas, rakyat tidak perlu bergantung kepada facebook dan blogs untuk mendapat maklumat.
  4. Satu lagi perkara ialah masalah rasuah dan politik wang. Masalah politik wang dalam UMNO bukan satu yang dapat dinafikan lagi. Pemimpin UMNO sendiri mengaku bahawa ia satu masalah yang serius dalam parti itu sendiri. Tetapi yang malangnya ianya sudah berleluasa di kalangan rakyat biasa dimana dalam usaha untuk memastikan sokongan, pemimpin UMNO telah memberikan wang kepada penyokong.  Dari atas hingga ke bawah, mereka meminta wang sebagai upah kepada sokongan yang diberikan.Yang paling malang ialah taktik ini digunakan oleh kerajaan sendiri di mana rakyat dijanjikan dengan BR1M yang akan diteruskan dan di tambahkan jumlah nya jika BN menang walaupun kerajaan Malaysia sedang berhutang sebanyak lebih dari RM500 billion. Secara langsung ini mendidik masyarakat dengan nilai politik wang. Sepatutnya rakyat dididik untuk menghargai pemimpin yang berpegang teguh dengan nilai atau prinsip Islam seperti amanah, adil, ketelusan, demokrasi, dan nilai-nilai luhur yang lain dan bukan menghargai pemimpin yang memberikan wang kepada mereka.
  5. Tetapi taktik memberikan janji manis kepada penyokong juga digunakan oleh pihak PR. Ini termasuk harga minyak yang akan diturunkan, penghapusan tol, pendidikan percuma dll. Sama ada kerajaan PR mampu melaksanakannya atau tidak ialah perkara yang lain. Tetapi taktik memberikan janji manis seperti di atas kepada rakyat adalah satu tren yang tidak baik kerana ia mendidik masyarakat dengan nilai-nilai yang tidak sihat.



Masa hadapan
Dalam tahun-tahun yang akan datang, negara kita akan menghadap suasana ekonomi yang akan menjadi lebih meruncing. Ekonomi dunia adalah berdasarkan amalan dan sistem riba dan oleh kerana itu akan timbul banyak lagi krisis di mada hadapan. Eropah dan Amerika akan menjadi lebih tenat. Akibatnya negara lain yang mempunyai hubungan dagang dengan Eropah dan Amerika akan turut mengalamai suasana yang teruk.
Tekanan ekonomi akan juga datang ke Malaysia sebab negara kita adalah sebahagian dari sistem perdagangan antarabangsa.  Oelh kerana sistem ekonomi kita juga sama dengan sistem di Amerika dan negara Eropah, kadar hutang jika tidak dijaga akan meningkat di sektor awam dan juga swasta. Apabila keadaan ekonomi terlampau tenat dan kadar pengangguran di kalangan golongan muda terlampau tinggi, biasanya akan berlaku krisis politik pula. Jika tidak ditangani dengan baik, boleh merebak menjadi krisi konflik antara kaum. Ini yang kita takuti kerana biasanya konflik antara kaum adalah ganas dan mengorbankan banyak nyawa. Di Rwanda, hampir 1 juta orang telah terkorban.

Langkah yang perlu diambil:

Oleh UMNO

Pemimpin UMNO perlu memastikan langkah berikut dilaksanakan:
1.       Berusaha untuk meningkatkan tahap ketelusan dan pentadbiran negara supaya masalah penyalahgunaak kuasa dan rasuah dapat diatasi
2.       Berusaha melaksanakan pemerintahan yang adil dan demokratik. Antara lain, bertindak secara adil kepada rakyat dari kalangan yang tidak menyokong UMNO dalam PRU; mewujudkan kebebasan media supaya rakyat mempunyai akses kepada maklumat yang betul dan tepat dan salahguna kuasa dapat dibenteras
3.       Berusaha untuk menghapuskan budaya dan amalan politik wang.
4.       Berusaha untuk menghapuskan budaya menggunakan taktik atau cara yang bertentangan dengan Islam dalam proses politik seperti menipu, menggunakan video dan gambar lucah, menggunakan kata-kata kesat yang melampaui batas.
5.       Mendidik ahli UMNO supaya berpegang tegih dengan nilai-nilai Islam. Pemimpin yang dilantik mestilah dari kalangan yang amanah dan bertaqwa.
Oleh Pemimpin PR (khasnya pemimpin PAS)

Pemimpin PR perlu memastikan langkah berikut dilaksanakan:
1.       Berusaha untuk melawan kezaliman terhadap mereka dengan cara yang aman dan melalui proses undang-undang dan mahkamah. Jika keputusan Mahkamah Pilihanraya masih berpihak kepada BN, mereka hendaklah bersabar dan tidak menggunakan cara yang ganas untuk mendapat hak mereka.
2.       Mendidik ahli dan penyokong supaya berpegang dengan nilai-nilai Islam dalam usaha untuk mencapai cita-cita politik.
3.       Berusaha untuk menghapuskan budaya menggunakan taktik atau cara yang bertentangan dengan Islam dalam proses politik seperti menipu, menggunakan video dan gambar lucah, menggunakan kata-kata kesat yang melampaui batas.
4.       Mendidik ahli parti mereka supaya berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam. Pemimpin yang dilantik mestilah dari kalangan yang amanah dan bertaqwa.

Aktivis Islam

Aktivis Islam perlu menyedari bahawa masyarakat kita sudah jauh terpesong dari menghayatai ajaran Islam sebenar. Ahli masyarakat kita lebih mementingkan kesenangan dunia berbanding dengan kesenangan akhirat. Akibat dari itu, dalam aspek politik mereka lebih mementingkan kesenangan untuk diri mereka dan puak-puak mereka dan bukan mementingkan Islam dan kesejahteraan masyarakat.  Oleh itu aktivis Islam perlu memastikan langkah berikut dilaksanakan:
1.       Berusaha untuk memastikan bahawa diri mereka sentiasa berpegang teguh dengan prinsip dan nilai-nilai Islam semasa terlibat dalam semua aktiviti kehidupan termasuk dalam aktiviti-aktiviti politik.
2.       Berusaha untuk menentang mana-mana pihak yang memupuk nilai-nilai yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti semangat perkauman anti Cina dll. Dalam hal itu, usaha kesatuan di kalangan orang Melayu Islam hendaklah didasari oleh prinsip keadilan Islam dan bukan dengan cara menzalimi orang bukan Islam.
3.       Berusaha untuk memupuk nilai Islam di dalam masyarakat supaya masyarakat akan peka dan membenci segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam
4.       Berusaha untuk mendidik masyarakat supaya ahli masyarakat akan bijak dalam memilih pemimpin  dan memilih pemimpin dari kalangan mereka yang boleh memelihara kepentingan Islam dalam jangka panjang.
5.       Berusaha untuk menyatukan aktivis Islam dalam satu gerakan yang syumul yang mencontohi Rasulullah Saw dalam usaha dakwah dan tarbiah.
6.       Memastikan gerakan Islam menekankan elemen ukhuwah supaya dapat meminimakan prgeseran di kalangan ahli dalaman dan juga pergeseran yang tidak wajar dengan gerakan Islam yang lain.

1 comment:

  1. Prof. , sayang jika tulisan ini sekadar tulisan. mungkin perlu dipanjangkan idea2 bernas Prof kepada pihak-pihak berkenaan. :)

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.