Wednesday, August 4, 2021

Covid dan Krisis Hutang

Covid dan Krisis Hutang (Artikel in akan diterbitkan oleh majalah Dewan Ekonomi pada bulan September). Prof Mohd Nazari Ismail Universiti Malaya Pandemik Covid yang melanda negara semenjak dari bulan Mac 2020 masih bersama kita sehingga kini. Pada ketika artikel ini ditulis, iaitu pada 12 Julai 2021, jumlah kes aktif baru adalah melebihi 9 ribu orang manakala jumlah kematian pula sudah melepasi 6 ribu orang walaupun kerajaan telah melaksanakan PKP yang ketiga di seluruh negara bermula pada 10 Mei 2021. Selain itu juga, walaupun ramai rakyat Malaysia kini sudah divaksinasikan, namun virus Covid masih terus merebak dan terkini varian virus baru Delta yang dikatakan lebih berbahaya telah menjadi punca peningkatan kes di Malaysia. Virus tersebut bukan sahaja berjangkit dengan mudah bahkan juga dapat mengatasi kesan vaksinasi. Dalam erti kata yang lain, kita masih tidak pasti bilakah pandemik ini akan berakhir. Namun, satu perkara yang pasti berlaku akibat daripada pandemik ini ialah masalah kenaikan beban hutang kerajaan. Ini kerana kerajaan-kerajaan di seluruh dunia telah berbelanja dengan begitu banyak dalam usaha mengawal jangkitan Covid serta mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi akibat daripada pandemik tersebut. Strategi utama yang digunakan adalah pakej rangsangan ekonomi di mana kerajaan akan memberikan pelbagai bantuan kewangan kepada pelbagai kategori masyarakat termasuk organisasi perniagaan. Akan tetapi, oleh kerana hampir kesemua kerajaan sudah dibebani dengan beban hutang sebelum ini, maka mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa menambahkan lebih banyak hutang kepada jumlah hutang sedia ada, langkah ini sekaligus membuatkan keadaan keberhutangan kebanyakan negara menjadi semakin tenat. Sebagai contoh, dalam usaha menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat yang telah terjejas teruk akibat langkah penutupan ekonomi pada tahun 2020, pentadbiran Trump dan Bank Pusat Amerika (Federal Reserve) telah berbelanja lebih daripada AS$ 6 trilion (RM24 trilion). Ini mengakibatkan defisit belanjawan kerajaan melonjak naik daripada AS$ 1.1 trilion (RM4.4 trilion) menjadi AS$ 3.7 trilion (RM14.8 trilion) bagi tahun fiskal 2020. Presiden Biden yang telah mengambil alih pentadbiran Amerika pada awal tahun 2021 juga telah melaksanakan langkah perbelanjaan tambahan berjumlah AS$ 1.9 trilion (RM 8 trillion). Akibatnya, jumlah hutang kerajaan Amerika pada pertengahan tahun 2021 ialah hampir AS$ 29 trilion. Nisbah hutang kepada KDNK meningkat menjadi 127% iaitu jauh melebihi tahap 85% yang dikatakan oleh kebanyakan ahli ekonomi sebagai tahap bahaya yang boleh menyebabkan krisis ekonomi. Krisis berpotensi berlaku kerana apabila hutang kerajaan berlebihan, ia akan mengakibatkan kenaikan beban pembayaran faedah. Sehubungan itu, kerajaan terpaksa menaikkan kadar cukai serta mengurangkan perbelanjaan. Oleh kerana perbelanjaan kerajaan merupakan pemacu utama ekonomi, sebarang pengurangan perbelanjaan akan mengakibatkan penguncupan ekonomi yang serius. Situasi serupa juga sedang dihadapi oleh kerajaan Britain. Hutang kerajaan Britain telah meningkat daripada GBP 1.87 trilion pada bulan April 2020 menjadi GBP 2.19 trillon pada bulan Mei 2021. Hutang kerajaan Britain berbanding KDNK sekarang ini adalah hampir 100%, iaitu yang paling tinggi semenjak Perang Dunia Kedua. Di Malaysia, jumlah hutang kerajaan juga dijangka meningkat daripada tahap semasa. Masalahnya agak rumit kerana perselisihan pendapat mengenai jumlah sebenar tahap hutang kerajaan berikutan kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya 2018. Pada tahun tersebut, kerajaan Barisan Nasional menyatakan bahawa nisbah hutang kepada KDNK kerajaan adalah 50.8%, iaitu di bawah had maksimum 55%. Namun setelah mengambil alih, pemerintah PH menegaskan bahawa peratusan tersebut tidak tepat kerana tidak mengambil kira jaminan kerajaan ke atas hutang beberapa organisasi milik kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Ia disebut hutang di luar belanjawan dan jika kesemuanya ini dimasukkan, jumlah hutang awam Malaysia kepada KDNK pada masa itu sebenarnya telah melebihi 80%. Apa yang pasti kini ialah jumlah hutang kerajaan terus meningkat berikutan langkah kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk mengatasi masalah yang disebabkan oleh wabak Covid-19. Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa pemerintahan pada buan Mac 2020, pakej bantuan kewangan kepada rakyat berjumlah RM 380 bilion telah diumumkan. Namun, oleh kerana kesengsaraan rakyat masih berterusan, kerajaan Malaysia telah mengumumkan satu lagi pakej bantuan berjumlah RM150 bilion pada akhir Jun 2021. Sebanyak RM10 billion adalah bantuan tunai langsung kepada rakyat merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dalam bentuk bantuan tunai, subsidi upah dan bantuan kepada mereka yang hilang perkerjaan. Di samping itu, RM4.6 bilion adalah Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebagai bantuan langsung kepada 11 juta rakyat yang terkesan akibat Covid dan RM1 billion untuk membiayai program vaksinasi. Akibat daripada kesemua perbelanjaan di atas, jumlah hutang kerajaan sudah tentu akan meningkat lagi. Pada tahun 2019, pembayaran faedah tahunan hutang kerajaan Malaysia adalah sekitar RM28 bilion. Bagi tahun yang akan datang, jika mengambilkira hutang di luar belanjawan dan juga hutang tambahan yang timbul daripada pakej rangsangan ekonomi Covid-19, kemungkinan besar pembayaran faedah akan menghampiri angka RM40 bilion setahun. Jika dilihat daripada pendapatan kerajaan melalui cukai, didapati kutipan cukai melalui GST pada tahun 2017 adalah hanya RM44.03 bilion. Walaupun GST adalah sistem percukaian yang menyeluruh dan sangat efisien untuk menjana pendapatan negara, namun pendapatan tersebut tidak cukup untuk perbelanjaan mengurus dan membayar faedah terhadap hutang negara. Tambahan pula setelah GST dihapuskan oleh kerajaan PH pada tahun 2018 dan digantikan oleh SST, pendapatan daripada hasil cukai bagi kerajaan juga telah berkurangan. Bahkan kutipan SST pada tahun 2020 hanyalah RM24.5 bilion. Oleh kerana aktiviti ekonomi negara kini telah berkurangan akibat Covid-19, kutipan cukai kerajaan pada tahun 2021 juga diramalkan terus menurun. Ringkasnya, kerajaan Malaysia akan menghadapi cabaran yang sangat sukar pada masa akan datang untuk menjelaskan hutangnya. Implikasi paling penting daripada keadaan ini ialah kerajaan mungkin perlu meningkatkan kutipan cukai atau mengurangkan perbelanjaan, atau mungkin kedua-duanya sekali dalam usaha mengurangkan atau melunaskan hutang. Sudah tentu ini bermakna, rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah, akan menghadapi keadaan yang sukar di mana harga barang-barang keperluan akan meningkat naik akibat pengurangan subsidi oleh kerajaan atau kenaikan cukai, sama ada SST atau GST dan cukai-cukai lain. Di samping itu, kerajaan juga mungkin akan terpaksa menaikkan kadar bayaran kepada perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang selama ini adalah rendah atau percuma, seperti sektor pendidikan dan kesihatan. Masalah serius yang sedang kita hadapi kini seharusnya dapat memberi pengajaran yang sangat penting kepada kita, iaitu kita perlu mencari alternatif kepada pendekatan pembangunan ekonomi yang pada masa ini sangat bergantung kepada dana hutang. Alternatif yang perlu dipertimbangkan secara serius adalah sistem waqaf, iaitu sistem yang dijalankan dengan menggunakan dana yang disedekahkan oleh ahli masyarakat sendiri terutamanya daripada kalangan yang berada dan berharta. Sudah tentu ini juga memerlukan perubahan sikap di kalangan rakyat, iaitu cenderung untuk berbelanja di jalan Allah semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya. Pemimpin dan rakyat perlu dididik dengan nilai 'mengukur baju di badan sendiri' dan benci dengan amalan hidup yang berhutang daripada institusi Riba atau industri hutang. Sebenarnya tokoh agama dan ahli falsafah lampau telah memperingatkan kita tentang bahaya hutang dan industri hutang. Di dalam Al-Quran terdapat ayat yang memberi amaran kepada kita bahawa Allah akan mengisytiharkan perang kepada pengamal Riba (Al Baqarah 278-280). Malangnya, sebilangan besar daripada kita sekarang sama sekali tidak lagi mengambil peduli dengan peringatan Allah tersebut. Lebih malang lagi apabila terdapat sebilangan sarjana agama yang telah berusaha mencari jalan untuk mengekalkan industri hutang ini walaupun sebenarnya hutang hanya dibenarkan untuk membantu orang susah dan bukan untuk mendapatkan keuntungan. Sememangnya, 'industri hutang' sangat menguntungkan bagi beberapa orang yang terlibat di dalamnya, namun kita perlu sedar sebenarnya keadaan bagi kebanyakan ahli masyaraat yang lain, terutamanya golongan pekerja, rakyat yang lemah dan miskin, akan menjadi semakin sukar dan sengsara apabila tahap keberhutangan masyarakat meningkat. Persoalannya bilakah kita mahu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar demi kesejahteraan kita di dunia dan juga di akhirat?

Tuesday, February 16, 2021

Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya?

Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya? Prof Dr Mohd Nazari Ismail Oktober 10, 2020 20:29 MYT Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya? BANDARAYA Jakarta dan beberapa bandaraya lain di Indonesia kini sedang menyaksikan protes mega yang telah berlangsung semenjak 6 Oktober 2020. Protes yang kadangkala menjadi ganas ini melibatkan ribuan peserta daripada pelbagai kumpulan, terutama sekali kumpulan pelajar universiti dan pekerja. Adalah dijangkakan keadaan ini akan berlanjutan selama beberapa hari atau beberapa minggu lagi. Punca kemarahan mereka adalah kerana membantah Undang-undang Cipta Kerja Indonesia (Omnibus Law) yang telah diusulkan oleh pihak kerajaan Indonesia di Dewan Perwakilan Rakyat pada awal tahun 2020 dan telah diluluskan pada awal bulan ini. Rang undang-undang ini bertujuan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara dengan cara memansuhkan beberapa peraturan yang dilihat menyulitkan operasi organisasi perniagaan. Aspek yang paling kontroversi ialah penghapusan peraturan yang melindungi hak pekerja serta yang melindungi alam sekitar. Sebagai contoh ialah penghapusan peraturan gaji minima serta peraturan yang melindungi pekerja daripada dibuang oleh majikan. Di samping itu, peraturan yang memerlukan organisasi perniagaan melakukan Analisa Impak ke atas Alam Sekitar (Environmental Impact Analysis) juga telah dilonggarkan. Sudah tentu ini semua dilakukan akibat daripada tekanan pihak industri dan pelabur yang sedang menghadapi suasana perniagaan yang semakin mencabar. Tahap persaingan di hampir kesemua sektor semakin sengit dan memaksa organisasi perniagaan meningkatkan produktiviti dan dayasaing mereka. Ini bemakna kos operasi mesti dikurangkan, terutama sekali kos gaji dan upah pekerja. Keadaan inilah yang membuatkan golongan pekerja dan pelajar menjadi marah kerana merasakan bahawa kerajaan Indonesia lebih mementingkan kepentingan golongan korporat berbanding golongan pekerja dan rakyat biasa. Sebenarnya isu yang dibincangkan ini bukanlah isu yang baru. Bahkan ia telah berlaku di kebanyakan negara lain sebelum ini terutama sekali di negara-negara barat. Sebagai contoh pada tahun 2006, ribuan pelajar dan pekerja di Perancis telah memprotes dengan ganas terhadap kerajaan mereka di bawah pimpinan Perdana Menteri Dominique de Villepin yang telah mengusulkan satu undang-undang yang menyenangkan organisasi perniagaan membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi. Ini kerana organisasi perniagaan di Perancis telah menghadapi persaingan sengit dari luar negara, terutama sekali daripada negara-negara Eropah Timur seperti Poland dan Hungary di mana kos pekerja di sana adalah lebih rendah dan undang-undang buruh adalah lebih fleksibel. Ini bermaksud organisasi perniagaan di kedua-dua negara tersebut boleh membuang pekerja dengan mudah apabila ekonomi menjadi perlahan dan permintaan kepada produk mereka merosot. Apa yang berlaku di akhir episod protes ini adalah akhirnya tuntutan para pemprotes telah gagal dan kerajaan Perancis terus meluluskan serta melaksanakan undang-undang baru tersebut. Kita perlu sedar bahawa persekitaran perniagaan di seluruh dunia kini sedang menghadapi suasana persaingan yang terlampau sengit (hypercompetition). Faktor utama yang menyumbang kepada suasana tersebut adalah pertambahan bilangan organisasi yang beroperasi pada skala yang besar di dalam hampir kesemua sektor perniagaan. Suasana perniagaan sekarang boleh diumpamakan seperti suasana persaingan sengit di dalam kebanyakan bidang sukan. Punca utama persaingan sengit dalam bidang sukan adalah kerana penggunaan steroid oleh para atlet itu sendiri. Walaupun prestasi ahli sukan meningkat, namun beberapa kesan negatif telah timbul. Di antaranya, kita dapati ramai ahli sukan yang mengambil steroid ini telah menghadapi masalah jantung dan mati lebih awal daripada ahli sukan biasa. Malangnya sekarang ini ramai atlet terpaksa menggunakan steroid kerana ia sudah menjadi amalan biasa di kalangan atlet, dan menjadi syarat untuk mencapai kejayaan terutama sekali di peringkat antarabangsa. Di dalam dunia perniagaan ‘steroid' kepada organisasi perniagaan ialah dana kewangan yang dipinjam daripada sektor perbankan. Sudah tentu dana ini dapat membantu organisasi perniagaan beroperasi pada skala yang lebih besar, dengan tahap inovasi yang lebih tinggi serta kemampuan pemasaran yang lebih kuat. Namun, apabila semua organisasi melakukan strategi yang sama, iaitu berkembang dengan cara berhutang daripada sektor perbankan, tahap persaingan akan menjadi terlampau sengit. Bahkan kini keadaan menjadi lebih teruk lagi kerana wang sekarang adalah dalam bentuk elektronik dan bukan lagi berbentuk fizikal (sebenarnya hanya 3 peratus sahaja bekalan wang yang berbentuk fizikal). Keadaan inilah yang menyenangkan sektor perbankan mencipta wang baru dengan mudah dan seterusnya menjadi pembekal dana secara hutang kepada sektor perniagaan. Akibatnya jumlah pinjaman kepada sektor perniagaan telah meningkat dengan cepat dan keadaan keberhutangan syarikat perniagaan telah menjadi sangat tinggi. Akhirnya hampir kesemua organisasi perniagaan terbeban dengan beban hutang yang banyak. Keadaan inilah yang akhirnya memaksa syarikat-syarikat perniagaan mencari jalan untuk mengurangkan kos sebanyak mungkin. Jika tidak, mereka akan terpaksa memindahkan lokasi operasi mereka ke negara di mana undang-undang buruh dan alam sekitar adalah lebih longgar. Kerajaan Indonesia menyedari kemungkinan tersebut dan oleh itu terpaksa bersetuju dengan kehendak dan cadangan agar Undang-undang Omnibus ini diluluskan. Sebenarnya organisasi perniagaan adalah mangsa kepada sistem kewangan yang menghimpit mereka dengan bebanan hutang serta mewujudkan suasana perniagaan yang sangat mencabar. Untuk memastikan perniagaan mereka boleh kekal wujud dan terus bersaing, akhirnya mereka juga terpaksa ‘menghimpit’ pekerja-pekerja mereka serta mengancam alam sekitar. Rakyat yang umumnya daripada golongan pekerja merasakan bahawa keadaan ini adalah tidak adil kepada mereka dan oleh yang demikian membantah kerajaan yang dianggap berkomplot dengan pihak organisasi perniagaan yang sedang menzalimi mereka. Rakyat umumnya tidak menyedari bahawa punca kepada keadaan yang menzalimi mereka adalah sebenarnya bukan kerajaan Indonesia semata-mata, tetapi ia adalah berpunca daripada sistem Riba yang zalim yang diharamkan oleh Allah SWT. Namun, jika industri Riba yang mendapat keuntungan daripada memberi hutang ini dibenarkan beroperasi dan berkembang dengan cepat oleh masyarakat Indonesia sendiri, maka akibatnya semua pihak akan berada di dalam keadaan yang lebih tertekan dan sengsara, terutama sekali golongan pekerja. Berita terkini dari seberang melaporkan bahawa Nahdatul Ulamak atau NU, iaitu sebuah organisasi dakwah terbesar di Indonesia juga telah mengambil keputusan menyokong golongan pelajar dan pekerja untuk menentang kerajaan Indonesia dalam isu ini. Malangnya, berdasarkan apa yang telah berlaku di Perancis pada tahun 2006 serta di beberapa negara lain, besar kemungkinan usaha mereka akan sia-sia dan kerajaan Indonesia akan terus melaksanakan undang-undang tersebut. Ini kerana kerajaan Indonesia tidak mempunyai alternatif lain untuk memastikan pelaburan akan bertambah dan ekonomi Indonesia akan terus berkembang pada masa akan datang, demi ‘survival’ kerajaan itu sendiri. Sepatutnya NU, sebagai badan dakwah, menyedari bahawa punca masalah ialah kegagalan masyarakat Indonesia secara umumnya menyekat perkembangan industri Riba yang bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, di samping menyuarakan tentangan terhadap undang-undang baru ini, NU sepatutnya memfokuskan usaha untuk mendidik masyarakat Indonesia tentang bahaya industri hutang atau Riba sebagai penyelesaian jangka panjang. NU juga perlu melakukan usaha dakwah dan tarbiah supaya nilai ahli masyarakat Indonesia dapat diubah supaya tidak mengejar dan mengagungkan kebendaan serta kemajuan material semata-mata kerana nilai sebeginilah yang menjadi faktor kepada perkembangan industri Riba di Indonesia. Kegagalan mengenalpasti punca masalah ini bermakna masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Walaupun undang-undang yang diluluskan akan memastikan pelaburan bertambah dan ekonomi negara Indonesia berkembang, terutama sekali apabila Pandemik Covid-19 berakhir nanti, namun ia akan disusuli oleh pertambahan tekanan hidup dan kesengsaraan di kalangan rakyat biasa, seperti yang sedang berlaku di negara-negara lain termasuk di Malaysia. Protes dan demonstrasi terhadap kerajaan tidak akan mengubah keadaan yang sedih ini. Bahkan kemungkinan besar ia akan berakhir dalam masa beberapa minggu lagi apabila para pemprotes sendiri kepenatan. Apa yang boleh mengubah keadaan dalam jangka panjang adalah usaha dakwah dan tarbiah serta kesedaran tentang ancaman daripada perkembangan industri hutang dan Riba.

Wednesday, February 10, 2021

Anwar Ibrahim: Zionist stooge or fighter for democracy?

Anwar Ibrahim is the leader of the opposition in Malaysia. He likes to think that he is fighting for the cause of justice and democracy in Malaysia and elsewhere. However, sometimes his statements on the Middle East make you wonder whether he is a Zionist stooge or whether his knowledge of the Middle East is very limited and shallow. Watch the videoclip below to know what I am talking about:

Belanjawan 2021: Semakin terjerumus ke dalam perangkap hutang riba

BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan oleh menteri kewangan pada 6 November lepas mengundang berbagai reaksi dari masyarakat Malaysia. Di kalangan ahli politik pembangkang, fokus utama adalah beberapa peruntukan yang mencurigakan seperti RM85 juta untuk JASA, iaitu satu unit propaganda kerajaan yang telah dihapuskan semasa kerajaan PH memerintah. Di samping itu kritikan ditujukan kepada pemotongan peruntukan di dalam sektor tertentu seperti perubatan, walaupun ini dinafikan oleh menteri kewangan sendiri dengan penerangan yang terperinci.

Jika cadangan-cadangan balas pihak pembangkang supaya kerajaan menambahkan lagi beberapa peruntukan, kemungkinan besar saiz belanjawan negara akan bertambah dari RM322.5 bilion yang diperuntukkan sekarang. Jika pendapatan negara pada tahun hadapan tidak setinggi yang diramalkan oleh kerajaan, kemungkinan besar defisit belanjawan akan melebihi RM84.84 billion dan peratusan berbanding GDP juga mungkin akan melebihi 5.4 peratus.

Di pihak rakyat, ramai yang akan bergembira dengan berbagai bantuan yang diperuntukkan, seperti bantuan minuman susu setiap hari kepada pelajar sekolah, komputer percuma kepada 150,000 pelajar, serta bantuan kewangan kepada golongan yang terkesan teruk akibat COVID-19. Senarai bantuan-bantuan adalah sangat panjang dan semua adalah amat baik dan perlu disokong.

Namun satu perkara yang perlu disedari ialah ini tahun ini adalah kali ke 22 berturut-turut kerajaan membentang belanjawan yang defisit. Yakni sudah 22 tahun, semenjak dari tahun 1998 kerajaan berbelanja lebih dari pendapatan yang diperolehi dan oleh itu memaksa kerajaan untuk berhutang lagi. Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan terus bertambah. Seolah-olah kerajaan langsung tidak mempunyai niat atau rancangan untuk melangsaikan hutang tersebut.

Pada tahun 1970, hutang kerajaan adalah lebih kurang RM5 bilion sahaja.Sekarang ini jumlahnya telah melebihi RM874 billion atau 60.7% berbanding KDNK. Jika hutang badan-badan yang berkait dengan kerajaan seperti PTPTN, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam juga diambil kira, jumlahnya adalah lebih dari RM1.2 trillion atau 85.5% berbanding KDNK. Kerajaan persekutuan terpaksa berbelanja hampir RM34.0 bilion hanya untuk membayar bunga di atas hutang kerajaan pada tahun ini akibat dari hutang yang banyak ini.

Pakar ekonomi Profesor Kenneth Rogoff dan Professor Carmen Reinhart dari Universiti Harvard mengatakan bahawa kajian mereka menunjukkan jika hutang kerajaan meningkat ke paras 90 peratus berbanding KDNK, kesannya ialah ekonomi akan sukar untuk berkembang. Oleh kerana paras hutang kerajaan kita sudah menghampiri paras tersebut, kita juga harus bimbang jika di masa akan datang, ekonomi negara kita juga akan sukar berkembang. Tambahan pula paras hutang di sektor lain juga sangat tinggi. Hutang sektor korporat dan juga sektor isi rumah adalah kedua-duannya melebihi RM1 trillion.

Di dalam keadaan keberhutangan yang sangat tinggi ini, daya tahan ekonomi negara (economic resiliency) akan menurun. Akibatnya sebarang kejutan ekonomi (economic shock) seperti COVID dan yang seumpamanya akan senang menghasilkan krisis ekonomi atau krisis kewangan kerana banyak organisasi dan ramai individu akan mengalami masalah kewangan yang teruk.

Sekarang ini, ramai dari kalangan rakyat dalam keadaan keberhutangan yang tinggi dan terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk bantuan. Tetapi oleh kerana kerajaan kita juga dalam keadaan keberhutangan yang tinggi, ini bermakna kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan. Lambat laun satu krisis ekonomi yang lebih teruk akan berlaku, terutama sekali jika badai COVID yang ketiga atau keempat melanda negara kita lagi atau bencana lain timbul. Jelas bahawa keadaan yang wujud sekarang adalah sebenarnya getir dan perlu diubah supaya masa depan negara adalah lebih stabil dan kukuh.

Kita perlu sedar bahawa di bawah sistem yang wujud sekarang ialah mata wang baru sentiasa dicipta oleh sektor perbankan setiap kali hutang diberikan kepada pelanggan. Akibatnya nilai mata wang menjadi lebih rendah dan oleh kerana itulah rakyat merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk membiayai kehidupan mereka. Inilah apa yang dikatakan sebagai masalah kos sara hidup. Jika kerajaan terpaksa melaksanakan kembali sistem percukaian GST untuk membiayai hutangnya, sudah tentu rakyat akan lebih tertekan.

Keadaan sekarang sebenarnya hanya menguntungkan satu golongan kecil masyarakat sahaja iatu golongan kaya, terutama sekali yang memiliki saham di dalam sektor perbankan atau mempunyai simpanan yang banyak di dalam bank atau di dalam tabung kewangan seperti EPF dan tabung lain. Mereka ini lah yang akan untung kerana mereka lah yang membekalkan hutang kepada ekonomi kita.

Golongan lain di dalam masyarakat, termasuk M40 dan sudah tentu dari kalangan B40 akan terus sengsara jika keadaan ini berterusan. Jika kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan di masa akan datang atau melaksanakan GST, atau menaikkan kadar cukai, rakyat biasa dari kalangan B40 dan M40 yang akan paling sengsara dan akan menjadi marah. Di beberapa negara lain, ia telah pun berlaku di mana rakyat merusuh apabila kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan demi menyelesaikan masalah kewangannya atau menaikkan kadar cukai.

Oleh kerana itulah kebanyakan pemimpin politik akan mengambil jalan senang iaitu dengan berbelanja dengan lebih banyak dengan menggunakan dana hutang, demi memastikan mereka akan kekal popular di mata masyarakat. Tetapi sebenarnya ini hanya penyelesaian jangka pendek dan akan hanya merumitkan masalah di dalam jangka panjang.

Sebenarnya ini adalah bencana akibat kita sudah puluhan tahun beramal dengan sistem Riba dimana industri hutang menjadi paksi kepada sistem ekonomi kita. Sesuatu yang diharamkan dan dibenci oleh Allah mustahil akan dapat menjamin kesejahteraan kepada masyarakat. Kita mesti ingat balik kepada pesanan Allah SWT:

“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30)

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Sudah sampai masa kita merubah sistem yang sedia ada supaya kebergantungan kerajaan dan rakyat kepada industri hutang dapat dikurangkan. Sebaliknya kita perlu bangunkan institusi Islam seperti zakat dan waqaf supaya institusi Riba dapat dihapuskan terus satu hari nanti, demi untuk menjamin kesejahteraan masyarakat terutama dari kalangan generasi yang akan datang.

Tetapi perubahan ini mustahil akan dapat dilakukan tanpa berlaku juga perubahan nilai di kalangan masyarakat dan pemimpin negara supaya sikap kebendaan dan terlalu mengejar keduniaan digantikan dengan nilai Islam yang sebenar di mana ahli masyarakat suka hidup dengan cara bersederhana serta berlumba-lumba untuk saling bantu membantu dengan berderma dan menginfaqkan harta mereka. Kalau hutang diberikan kepada golongan yang susah, ia adalah juga untuk tujuan membantu dan bukan untuk mendapat keuntungan.

Usaha dakwah dan tarbiah yang lebih gigih perlu dilakukan oleh semua pihak, terutama sekali NGO dakwah. Semoga dengan itu Allah akan membantu kita supaya balik ke pangkal jalan supaya kita dan juga generasi akan datang akan selamat di dunia dan juga di akhirat.

Artikel ini telag diterbitkan oleh Astro Awani pada Nov 11, 2020.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-semakin-terjerumus-ke-dalam-perangkap-hutang-riba-267835

Adakah mencetak wang oleh BNM boleh menyelesaikan masalah ekonomi negara?

SUSULAN dari cadangan Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang baru untuk diberikan kepada golongan miskin dan yang terkesan teruk oleh wabak COVID-19, beberapa reaksi telah diutarakan. Ada yang mengutuk dan ada yang menyokong. 

Namun satu perkara yang harus disedari oleh ramai yang mengutuk beliau ialah sebenarnya pendapat beliau bukan lah sesuatu yang pelik dan bukan juga dari orang yang tidak siuman atau tidak berpelajaran. Sebenarnya pendapat beliau pernah disarankan oleh pakar ekonomi lain sebelum ini seperti yang dilaporkan oleh majalah The Economist pada tahun 2016. Bahkan pada bulan Mei tahun ini, Dr Lin Sin Yan, bekas timbalan governor BNM sendiri telah menulis berkenaannya di dalam akhbar The Star. 

Terkini pendapat Wan Ahmad Fayhsal telah mendapat sokongan dua pakar ekonomi tempatan. Satu perkara yang harus disedari ialah sekarang ini, hampir 97 peratus dari wang di dalam sistem kewangan kita bukannya dicipta oleh BNM, tetapi adalah dicipta oleh bank komersial. Ini berlaku setiap kali mereka memberi pinjaman kepada pelanggan yang terdiri dari berbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat dan isi rumah. 

Oleh kerana motif memberi pinjaman adalah untuk keuntungan, ianya adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Pada masa yang sama ia menguntungkan orang-orang kaya terutama sekali pemilik saham di dalam bank atau syarikat kewangan. Satu lagi golongan yang mendapat keuntungan adalah mereka yang mempunyai simpanan yang banyak di dalam bank atau tabung kewangan seperti EPF, Tabung Haji, PNB dan lain-lain yang memiliki saham di dalam syarikat perbankan atau memberi pinjaman secara langsung kepada kerajaan atau badan korporat. 

Bagaimana pula jika wujud keadaan kadar bunga yang rendah? Di dalam keadaan tersebut, mereka yang untung juga adalah yang kaya kerana golongan ini dapat meminjam dengan banyak dari bank untuk melabur dalam saham syarikat atau hartanah. Aktiviti mereka ini adalah punca utama harga rumah melambung naik dan tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa. Inilah yang sedang berlaku beberapa negara di Eropah. Di Switzerland sebagai contoh, walaupun kadar bunga adalah hanya sekitar 1 peratus, namun oleh kerana harga rumah terlampau mahal, rakyat biasa masih tidak dapat memiliki rumah dan hanya boleh menyewa sahaja. Di bandar raya Zurich, 70% rakyat adalah penyewa dan hanya 30 % pemilik rumah. 

Di samping itu golongan kaya akan meminjam dalam jumlah yang besar untuk membeli saham di dalam syarikat dan kemudian berusaha untuk menaikkan nilai saham syarikat sebelum menjual syarikat tersebut. Cara yang dilakukan ialah dengan mengurangkan kos operasi terutama sekali kos upah atau gaji. Oleh itu golongan pekerja bukan sahaja menghadapi keadaan harga rumah yang sentiasa meningkat, bahkan mereka juga menghadapi keadaan gaji dan upah tidak meningkat kerana pihak majikan berusaha untuk mengurangkan kos. Inilah yang dikatakan masalah kos sara hidup. 

 Apabila kerajaan meminjam wang dengan banyak dari institusi kewangan untuk program membantu orang miskin, golongan kaya yang memiliki saham dalam institusi kewangan akan paling banyak mendapat keuntungan, sementara beban ini akan ditanggung oleh semua rakyat termasuk golongan miskin dalam bentuk cukai yang perlu dibayar dalam jangka panjang. Jika hutang kerajaan terlampau tinggi, lambat laun kerajaan akan terpaksa menaikkan kadar cukai untuk membayar hutangnya dan yang akan paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah juga. Sebenarnya sistem yang ada sekarang adalah sangat menguntungkan golongan yang kaya dan sangat membebankan golongan miskin. 

Cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal sebenarnya adalah bertujuan untuk membantu golongan miskin tanpa memberi keuntungan kepada golongan kaya dan menambahkan beban golongan miskin dalam jangka panjang. 

Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat risiko dengan cara yang beliau sarankan. Jika kerajaan dan parlimen terdiri dari ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan populariti mereka semata-mata, kuasa mencipta wang baru yang diberikan kepada kerajaan (melalui BNM) boleh disalahgunakan. Sebagai contoh bukan sahaja duit terlampau banyak mungkin akan dicipta, bahkan ianya mungkin akan disalurkan kepada golongan tertentu sahaja yang rapat dengan pemimpin politik yang berpengaruh. Akibatnya ialah masalah hiperinflasi (hyper inflation). Ini telah berlaku di Zimbabwe dan juga di Venezuela. 

Oleh itu idea ini memerlukan beberapa pra-syarat penting yang mesti dipenuhi dahulu, terutama sekali wujudnya para pemimpin politik yang bertanggungjawab serta rakyat yang tidak oportunis, yang meminta bantuan kewangan dengan berlebih-lebihan dari pemimpin politik. Saya berpendapat pra-syarat di atas belum dipenuhi lagi buat masa ini dalam masyarakat kita dan oleh itu kita memerlukan alternatif lain sebagai penyelesaian. 

Persoalannya ialah apakah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara yang tenat sekarang di mana ramai yang sedang terbeban dengan beban kewangan dan hutang, sementara pendapatan adalah tidak mencukupi? Sebenarnya jawapan telah diberikan oleh al-Quran dalam surah Al Baqarah ayat 278-280

 “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” 

Berdasarkan ayat di atas, sepatutnya pihak bank tidak lagi dibenarkan mengutip keuntungan (atau interest) di atas semua hutang yang diberikan. Hanya hutang pokok yang boleh dikutip, dan itu pun jika yang berhutang dalam keadaan di mana mereka mampu membayar balik. Jika mereka dalam keadaan yang tenat, pihak bank harus memberi masa kepada mereka untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka, yakni moratorium perlu dilanjutkan. Jika semua bank bertindak menurut saranan di atas, kadar kemelesetan ekonomi kita boleh dikurangkan. Di samping itu, ia akan memberi peluang kepada syarikat dan individu untuk merangka strategi untuk kembali kepada keadaan yang kompetitif. Sudah tentu semua ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana jumlah hutang di dalam sistem ekonomi kita terlampau tinggi sekarang dan oleh kerana itu proses pemulihan akan memakan masa. 

Namun sekurang-kurangnya golongan yang sengsara tidak akan dianiaya oleh pihak bank dan boleh bernafas kembali. Sementara itu, golongan yang langsung tidak mempunyai pendapatan harus diberi bantuan oleh ahli masyarakat lain yang masih berkemampuan untuk memberi bantuan iaitu dengan cara berderma dan amalan-amalan infaq lain yang sangat disarankan oleh Islam. Ramai yang akan bertanya, “Kalau begitu bank tidak akan mendapat keuntungan langsung?” Jawapan saya ialah menurut ajaran Islam, industri memberi hutang tidak wujud. Ini kerana Islam memang mengharamkan pihak yang memberi hutang mendapat keuntungan dari hutang yang diberikan kerana itu adalah amalan Riba. Oleh itu, pihak bank memang tidak layak pun mendapat keuntungan. Tetapi cadangan saya di atas akan bermakna mereka yang mempunyai simpanan atau caruman di dalam beberapa tabung seperti PNB (pemilik utama Maybank), Tabung Haji (pemilik utama Bank Islam) mungkin akan mendapat keuntungan yang sangat sedikit di masa akan datang. Bagitu juga pihak Khazanah (pemilik signifikan dalam CIMB) akan juga mendapat keuntungan yang rendah dari pelaburan mereka. Pulangan kepada KWSP juga akan berkurangan kerana tidak akan mendapat keuntungan dari pelaburannya di dalam sektor kewangan. 

Persoalannya ialah adakah mereka akan marah atau redha dengan keadaan di mana pelaburan dan simpanan mereka tidak mendapat sebarang pulangan atau pulangan yang kecil sahaja akibat dari saranan di atas, yang bertepatan dengan ajaran al-Quran? Pada hemah saya ini bergantung kepada sikap dan dan kefahaman mereka tentang ajaran Islam. Jika redha Allah adalah lebih penting bagi mereka, mereka tidak akan marah dan boleh menerima keadaan ini. Sebab itulah saya sering kali menyatakan bahawa usaha utama yang mesti juga dilakukan ialah proses dakwah dan tarbiah kepada masyarakat supaya ahli masyarakat akan dapat menghayati ajaran Islam sebenar yang lebih memberikan penekanan kepada akhirat berbanding dunia. Islam juga mengajar kita supaya lebih memikirkan bagaimana kita boleh membantu mengurangkan masalah kehidupan orang lain, dan bukan hanya memikirkan keuntungan dunia untuk diri kita sahaja semata-mata.

Artikel ini telah diterbitkan oleh Astro Awani pada November 21, 2020 09:12 MYT

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/adakah-mencetak-wang-oleh-bnm-boleh-menyelesaikan-masalah-ekonomi-negara-269421?_ga=2.167320766.1859803407.1612938840-1616665084.1599708070

Monday, February 8, 2021

Demokrasi penting tapi tidak memadai

Dunia sekarang sedang dalam keadaan tertekan akibat dari Covid-19. Angka kematian sudah pun melebihi 2 juta. Berjuta juga sedang terpaksa berkurung di kediaman masing-masing akibat dari PKP atau lockdown yang ketat di banyak negara. Namun di Tunisia, ribuan rakyat yang kebanyakan adalah anak muda sedang berprotes di jalan-jalan raya kerana marah terhadap kerajaan yang dilihat gagal menyelesaikan masalah kehidupan mereka, terutama dari aspek ekonomi seperti pekerjaan dan pendapatan.

Kerajaan Tunisia sekarang ini sebenarnya adalah kerajaan yang dilantik oleh rakyat selepas jatuhnya diktator Zainal Abidin pada Januari 2011 setelah memerintah selama 23 tahun. Walaupun di beberapa negara lain seperti Syria dan Mesir, pemimpin diktator masih berkuasa, namun di Tunisia rakyat telah berjaya mengekalkan sistem politik yang lebih demokratik dan bebas.

Malangnya dari aspek ekonomi, Tunisia masih menghadapi masalah ekonomi yang teruk sehinggakan ada yang merindui zaman pemerintahan diktator Presiden Zainal Abidin dan seolah-olah lupa bahawa keadaan pada masa itu adalah begitu teruk sehinggakan pada 17 Disember 2010, seorang anak muda bernama Mohamed Bouazizi membakar dirinya sendiri kerana sudah tidak dapat menahan kemarahan dan kekecewaan terhadap kesengsaraan kehidupan yang beliau hadapi.

Tindakan beliau telah mengakibatkan ramai rakyat Tunisia yang lain, yang sudah lama hidup di dalam kesengsaraan ekonomi dan politik memprotes secara besar-besaran di seluruh negara, yang akhirnya mengakibatkan Zainal Abidin terpaksa meletak jawatan dan berpindah ke Saudi Arabia untuk menyelamatkan diri beliau dan keluarga.

Namun selepas berlakunya revolusi di Tunisia, ramai yang sangat kecewa dengan keadaan kehidupan mereka terutama dari aspek ekonomi. Ramai yang masih tertekan akibat dari pendapatan yang rendah dan tidak mencukupi untuk menyara diri sendiri atau keluarga mereka. Kadar pengangguran adalah amat tinggi terutama di kalangan anak muda. Adalah dianggarkan lebih dari 30 peratus anak muda antara umur 15 dan 30 tahun tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan.

Akibat dari kesengsaraan kehidupan, ada yang sanggup menaiki bot dan merentas laut Mediterranean untuk mencari kehidupan yang lebih baik di negara Eropah, tanpa menyedari bahawa keadaan ekonomi di Eropah juga tenat.

Yang lebih menyedihkan ada yang mencontohi cara Mohamed Bouazizi dengan membakar diri sendiri dan ada yang meninggal dunia akibat tindakan tersebut. Rakyat Tunisa sekarang tertanya-tanya kenapakah dari aspek ekonomi, suasana tidak berubah langsung walaupun Tunisia adalah bebas dari pemerintah yang zalim dan sudah menjadi negara yang demokratik.

Satu perkara yang rakyat Tunisia tidak sedar ialah masalah ekonomi juga telah lama wujud di negara barat walaupun amalan demokrasi sudah wujud secara meluas di sana. Bahkan di negara barat telah lama rakyat dan berkali-kali turun ke jalan raya untuk memprotes atas sebab yang sama iaitu keadaan kehidupan yang sengsara di mana peluang pekerjaan adalah terhad dan pendapatan tidak mencukupi untuk menyara perbelanjaan kehidupan.

Sebagai contoh, pada tahun 2006, ribuan pelajar dan pekerja di Perancis telah memprotes dengan ganas terhadap kerajaan kerana merasakan kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri Dominique de Villepin tidak mengambil berat tentang nasib mereka dari segi peluang pekerjaan dan sebaliknya lebih mementingkan pihak organisasi perniagaan yang mahu mengurangkan kos operasi.

Protes besar-besaran juga berlaku di Perancis pada tahun 2018 oleh golongan pekerja dan yang berpendapatan rendah kerana menentang polisi kerajaan menaikkan cukai petrol. Mereka juga tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi dan politik negara Perancis yang dilihat tidak adil kepada golongan bawahan yang senantiasa hidup dalam suasana kesengsaraan.

Di Britain, pada tahun 2010, satu rusuhan yang serius di bandar raya London telah berlaku yang bermula apabila pelajar universiti memprotes keputusan kerajaan untuk tidak mengurangkan yuran pengajian. Pada tahun 2011, rusuhan yang lebih besar berlaku di beberapa bandar besar yang mengakibatkan kerugian lebih dari 200 juta pound dan mengakibatkan beberapa nyawa terkorban. Seperti di Perancis, punca utama kemarahan adalah masalah ekonomi terutama sekali pengangguran di kalangan golongan muda.

Di Amerika pada bulan September 2011, satu protes yang dipanggil Occupy Wall Street telah berlaku di bandaraya New York dimana ribuan peserta menyuarakan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dengan keadaan ketidakadilan ekonomi di negara mereka. Protes ini disusuli oleh beberapa protes yang sama di beberapa bandar raya lain di Amerika dan juga di Eropah.

Protes ini berterusan di banyak negara di seluruh dunia sehingga ke hari ini kerana kesengsaraan di alami oleh banyak pihak, terutama sekali di kalangan golongan pekerja dan yang berpendapatan rendah. Sudah tentu kesengsaraan ini akan bertambah di kalangan mereka akibat dari pandemik Covid kerana mereka lah golongan yang paling awal dibuang kerja atau dikurangkan gaji atau upah.

Kita perlu sedar bahawa sistem ekonomi barat yang berpaksi kepada sistem perbankan tidak akan mampu menyelesaikan masalah ekonomi masyarakat walaupun suasana politik bertambah baik, amalan demokrasi dihormati dan malahan jika rasuah diminimakan sekalipun.

Ini kerana sistem ekonomi yang berasaskan kepada industri perbankan mengakibatkan persekitaran perniagaan menghadapi suasana persaingan yang terlampau sengit (hypercompetition). Organisasi yang beroperasi pada skala besar mendominasi hampir kesemua sektor perniagaan dengan menggunakan sumber dana yang dipinjam dari industri perbankan.

Industri perbankan

Tambahan pula, industri perbankan zaman sekarang berbeza dari bentuk asal. Bank sekarang bukan memberi pinjaman dari dana pendeposit semata-mata. Sebaliknya industri perbankan sekarang memberi pinjaman dari dana baru yang bank sendiri ciptakan kerana 95 peratus dari bekalan wang sekarang adalah tidak lagi berbentuk fizikal tetapi adalah angka elektronik di dalam komputer sahaja. Oleh itu jumlah dana yang boleh diberi pinjam oleh industri perbankan adalah jauh lebih tinggi berbanding dahulu dan hanya terhad kepada kemampuan peminjam untuk membayarnya balik dan bukannya terhad dengan jumlah dana yang disimpan di dalam sesebuah bank oleh pendepositor.

Namun industri perbankan pula lebih cenderung untuk memberi pinjaman kepada syarikat yang bersaiz besar berbanding kepada syarikat kecil dan sederhana kerana syarikat yang besar lebih stabil dan mampu bertahan lama. Oleh itu syarikat kecil dan sederhana yang secara tradisinya yang paling banyak membekalkan peluang pekerjaan kepada masyarakat semakin tersisih. Inilah sebab utama kenapa peluang pekerjaan sekarang semakin berkurangan.

Di samping itu beban hutang yang tinggi memaksa syarikat perniagaan berusaha sedaya upaya mengurangkan kos, terutama sekali kos upah atau gaji pekerja. Namun jumlah hutang yang banyak di dalam sistem ekonomi akan mengurangkan nilai matawang dan oleh sebab itulah kita menghadapi suasana di banyak negara di mana kos rumah meningkat 4 kali ganda dalam masa 30 tahun, sementara gaji hanya meningkat 2 kali ganda.

Rakyat Tunisia dan di negara barat, terutama daripada golongan pekerja merasakan bahawa keadaan ini adalah tidak adil kepada mereka dan oleh yang demikian memfokuskan bantahan mereka kepada kerajaan yang dianggap berkomplot dengan golongan kaya dan organisasi perniagaan yang sedang menzalimi mereka. Di negara yang mempunyai pemimpin yang korup, mereka merasakan semua masalah mereka akan berakhir jika pemimpin yang korup dapat digantikan dengan yang lebih bersih. Mereka gagal menyedari bahawa punca kepada keadaan yang menzalimi mereka adalah sebenarnya bukan kerajaan semata-mata, tetapi adalah juga berpunca daripada sistem riba yang zalim, yang hanya menguntungkan satu golongan kecil yang kaya, dan oleh itu diharamkan oleh Allah SWT.

Kegagalan mengenal pasti punca masalah ini bermakna masalah ekonomi di Tunisia dan negara lain tidak akan dapat diselesaikan walaupun suasana politik negara telah berubah menjadi lebih demokratik dan amalan rasuah dapat dikurangkan. Protes dan demonstrasi terhadap kerajaan tidak akan mengubah keadaan yang sedih ini. Apa yang boleh mengubah keadaan dalam jangka panjang adalah perubahan sistem kewangan dan ekonomi supaya industri hutang dan riba dapat disekat dari berkembang.

Pendek kata solusi kepada masalah ialah bukan sahaja dengan menukar nilai masyarakat dan pemimpin supaya tidak zalim, tidak menyalahgunakan kuasa, bersikap adil dan tidak beramal dengan rasuah, tetapi juga dengan menyekat industri hutang dari berkembang dan menggantikan dengan sistem jual beli yang adil dan saksama yang mampu merubah keadaan supaya harta tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al Hasyr, ayat 7:

“Agar harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

PROF MOHD NAZARI ISMAIL berkhidmat di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya.