BELANJAWAN 2021 yang dibentangkan oleh menteri kewangan pada
6 November lepas mengundang berbagai reaksi dari masyarakat Malaysia. Di
kalangan ahli politik pembangkang, fokus utama adalah beberapa peruntukan yang
mencurigakan seperti RM85 juta untuk JASA, iaitu satu unit propaganda kerajaan
yang telah dihapuskan semasa kerajaan PH memerintah. Di samping itu kritikan
ditujukan kepada pemotongan peruntukan di dalam sektor tertentu seperti
perubatan, walaupun ini dinafikan oleh menteri kewangan sendiri dengan
penerangan yang terperinci.
Jika cadangan-cadangan balas pihak pembangkang supaya
kerajaan menambahkan lagi beberapa peruntukan, kemungkinan besar saiz
belanjawan negara akan bertambah dari RM322.5 bilion yang diperuntukkan
sekarang. Jika pendapatan negara pada tahun hadapan tidak setinggi yang
diramalkan oleh kerajaan, kemungkinan besar defisit belanjawan akan melebihi
RM84.84 billion dan peratusan berbanding GDP juga mungkin akan melebihi 5.4
peratus.
Di pihak rakyat, ramai yang akan bergembira dengan berbagai
bantuan yang diperuntukkan, seperti bantuan minuman susu setiap hari kepada
pelajar sekolah, komputer percuma kepada 150,000 pelajar, serta bantuan
kewangan kepada golongan yang terkesan teruk akibat COVID-19. Senarai
bantuan-bantuan adalah sangat panjang dan semua adalah amat baik dan perlu
disokong.
Namun satu perkara yang perlu disedari ialah ini tahun ini
adalah kali ke 22 berturut-turut kerajaan membentang belanjawan yang defisit.
Yakni sudah 22 tahun, semenjak dari tahun 1998 kerajaan berbelanja lebih dari
pendapatan yang diperolehi dan oleh itu memaksa kerajaan untuk berhutang lagi.
Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan terus bertambah. Seolah-olah
kerajaan langsung tidak mempunyai niat atau rancangan untuk melangsaikan hutang
tersebut.
Pada tahun 1970, hutang kerajaan adalah lebih kurang RM5
bilion sahaja.Sekarang ini jumlahnya telah melebihi RM874 billion atau 60.7%
berbanding KDNK. Jika hutang badan-badan yang berkait dengan kerajaan seperti
PTPTN, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam juga diambil kira, jumlahnya
adalah lebih dari RM1.2 trillion atau 85.5% berbanding KDNK. Kerajaan
persekutuan terpaksa berbelanja hampir RM34.0 bilion hanya untuk membayar bunga
di atas hutang kerajaan pada tahun ini akibat dari hutang yang banyak ini.
Pakar ekonomi Profesor Kenneth Rogoff dan Professor Carmen
Reinhart dari Universiti Harvard mengatakan bahawa kajian mereka menunjukkan
jika hutang kerajaan meningkat ke paras 90 peratus berbanding KDNK, kesannya
ialah ekonomi akan sukar untuk berkembang. Oleh kerana paras hutang kerajaan
kita sudah menghampiri paras tersebut, kita juga harus bimbang jika di masa
akan datang, ekonomi negara kita juga akan sukar berkembang. Tambahan pula
paras hutang di sektor lain juga sangat tinggi. Hutang sektor korporat dan juga
sektor isi rumah adalah kedua-duannya melebihi RM1 trillion.
Di dalam keadaan keberhutangan yang sangat tinggi ini, daya
tahan ekonomi negara (economic resiliency) akan menurun. Akibatnya sebarang
kejutan ekonomi (economic shock) seperti COVID dan yang seumpamanya akan senang
menghasilkan krisis ekonomi atau krisis kewangan kerana banyak organisasi dan
ramai individu akan mengalami masalah kewangan yang teruk.
Sekarang ini, ramai dari kalangan rakyat dalam keadaan
keberhutangan yang tinggi dan terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk
bantuan. Tetapi oleh kerana kerajaan kita juga dalam keadaan keberhutangan yang
tinggi, ini bermakna kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat
membimbangkan. Lambat laun satu krisis ekonomi yang lebih teruk akan berlaku,
terutama sekali jika badai COVID yang ketiga atau keempat melanda negara kita
lagi atau bencana lain timbul. Jelas bahawa keadaan yang wujud sekarang adalah
sebenarnya getir dan perlu diubah supaya masa depan negara adalah lebih stabil
dan kukuh.
Kita perlu sedar bahawa di bawah sistem yang wujud sekarang
ialah mata wang baru sentiasa dicipta oleh sektor perbankan setiap kali hutang
diberikan kepada pelanggan. Akibatnya nilai mata wang menjadi lebih rendah dan
oleh kerana itulah rakyat merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk
membiayai kehidupan mereka. Inilah apa yang dikatakan sebagai masalah kos sara
hidup. Jika kerajaan terpaksa melaksanakan kembali sistem percukaian GST untuk
membiayai hutangnya, sudah tentu rakyat akan lebih tertekan.
Keadaan sekarang sebenarnya hanya menguntungkan satu
golongan kecil masyarakat sahaja iatu golongan kaya, terutama sekali yang
memiliki saham di dalam sektor perbankan atau mempunyai simpanan yang banyak di
dalam bank atau di dalam tabung kewangan seperti EPF dan tabung lain. Mereka
ini lah yang akan untung kerana mereka lah yang membekalkan hutang kepada
ekonomi kita.
Golongan lain di dalam masyarakat, termasuk M40 dan sudah
tentu dari kalangan B40 akan terus sengsara jika keadaan ini berterusan. Jika
kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan di masa akan datang atau
melaksanakan GST, atau menaikkan kadar cukai, rakyat biasa dari kalangan B40
dan M40 yang akan paling sengsara dan akan menjadi marah. Di beberapa negara
lain, ia telah pun berlaku di mana rakyat merusuh apabila kerajaan cuba untuk
mengurangkan perbelanjaan demi menyelesaikan masalah kewangannya atau menaikkan
kadar cukai.
Oleh kerana itulah kebanyakan pemimpin politik akan
mengambil jalan senang iaitu dengan berbelanja dengan lebih banyak dengan
menggunakan dana hutang, demi memastikan mereka akan kekal popular di mata
masyarakat. Tetapi sebenarnya ini hanya penyelesaian jangka pendek dan akan
hanya merumitkan masalah di dalam jangka panjang.
Sebenarnya ini adalah bencana akibat kita sudah puluhan
tahun beramal dengan sistem Riba dimana industri hutang menjadi paksi kepada
sistem ekonomi kita. Sesuatu yang diharamkan dan dibenci oleh Allah mustahil
akan dapat menjamin kesejahteraan kepada masyarakat. Kita mesti ingat balik
kepada pesanan Allah SWT:
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan
(atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada
perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan
sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30)
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat
dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia,
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian
daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)
Sudah sampai masa kita merubah sistem yang sedia ada supaya
kebergantungan kerajaan dan rakyat kepada industri hutang dapat dikurangkan.
Sebaliknya kita perlu bangunkan institusi Islam seperti zakat dan waqaf supaya
institusi Riba dapat dihapuskan terus satu hari nanti, demi untuk menjamin
kesejahteraan masyarakat terutama dari kalangan generasi yang akan datang.
Tetapi perubahan ini mustahil akan dapat dilakukan tanpa
berlaku juga perubahan nilai di kalangan masyarakat dan pemimpin negara supaya
sikap kebendaan dan terlalu mengejar keduniaan digantikan dengan nilai Islam
yang sebenar di mana ahli masyarakat suka hidup dengan cara bersederhana serta
berlumba-lumba untuk saling bantu membantu dengan berderma dan menginfaqkan
harta mereka. Kalau hutang diberikan kepada golongan yang susah, ia adalah juga
untuk tujuan membantu dan bukan untuk mendapat keuntungan.
Usaha dakwah dan tarbiah yang lebih gigih perlu dilakukan
oleh semua pihak, terutama sekali NGO dakwah. Semoga dengan itu Allah akan
membantu kita supaya balik ke pangkal jalan supaya kita dan juga generasi akan
datang akan selamat di dunia dan juga di akhirat.
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-semakin-terjerumus-ke-dalam-perangkap-hutang-riba-267835
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.