Tuesday, February 16, 2021
Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya?
Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya?
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Oktober 10, 2020 20:29 MYT
Protes pekerja di Indonesia - Apakah punca masalah yang sebenarnya?
BANDARAYA Jakarta dan beberapa bandaraya lain di Indonesia kini sedang menyaksikan protes mega yang telah berlangsung semenjak 6 Oktober 2020. Protes yang kadangkala menjadi ganas ini melibatkan ribuan peserta daripada pelbagai kumpulan, terutama sekali kumpulan pelajar universiti dan pekerja. Adalah dijangkakan keadaan ini akan berlanjutan selama beberapa hari atau beberapa minggu lagi.
Punca kemarahan mereka adalah kerana membantah Undang-undang Cipta Kerja Indonesia (Omnibus Law) yang telah diusulkan oleh pihak kerajaan Indonesia di Dewan Perwakilan Rakyat pada awal tahun 2020 dan telah diluluskan pada awal bulan ini.
Rang undang-undang ini bertujuan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara dengan cara memansuhkan beberapa peraturan yang dilihat menyulitkan operasi organisasi perniagaan. Aspek yang paling kontroversi ialah penghapusan peraturan yang melindungi hak pekerja serta yang melindungi alam sekitar. Sebagai contoh ialah penghapusan peraturan gaji minima serta peraturan yang melindungi pekerja daripada dibuang oleh majikan. Di samping itu, peraturan yang memerlukan organisasi perniagaan melakukan Analisa Impak ke atas Alam Sekitar (Environmental Impact Analysis) juga telah dilonggarkan.
Sudah tentu ini semua dilakukan akibat daripada tekanan pihak industri dan pelabur yang sedang menghadapi suasana perniagaan yang semakin mencabar. Tahap persaingan di hampir kesemua sektor semakin sengit dan memaksa organisasi perniagaan meningkatkan produktiviti dan dayasaing mereka. Ini bemakna kos operasi mesti dikurangkan, terutama sekali kos gaji dan upah pekerja.
Keadaan inilah yang membuatkan golongan pekerja dan pelajar menjadi marah kerana merasakan bahawa kerajaan Indonesia lebih mementingkan kepentingan golongan korporat berbanding golongan pekerja dan rakyat biasa.
Sebenarnya isu yang dibincangkan ini bukanlah isu yang baru. Bahkan ia telah berlaku di kebanyakan negara lain sebelum ini terutama sekali di negara-negara barat. Sebagai contoh pada tahun 2006, ribuan pelajar dan pekerja di Perancis telah memprotes dengan ganas terhadap kerajaan mereka di bawah pimpinan Perdana Menteri Dominique de Villepin yang telah mengusulkan satu undang-undang yang menyenangkan organisasi perniagaan membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi. Ini kerana organisasi perniagaan di Perancis telah menghadapi persaingan sengit dari luar negara, terutama sekali daripada negara-negara Eropah Timur seperti Poland dan Hungary di mana kos pekerja di sana adalah lebih rendah dan undang-undang buruh adalah lebih fleksibel. Ini bermaksud organisasi perniagaan di kedua-dua negara tersebut boleh membuang pekerja dengan mudah apabila ekonomi menjadi perlahan dan permintaan kepada produk mereka merosot. Apa yang berlaku di akhir episod protes ini adalah akhirnya tuntutan para pemprotes telah gagal dan kerajaan Perancis terus meluluskan serta melaksanakan undang-undang baru tersebut.
Kita perlu sedar bahawa persekitaran perniagaan di seluruh dunia kini sedang menghadapi suasana persaingan yang terlampau sengit (hypercompetition). Faktor utama yang menyumbang kepada suasana tersebut adalah pertambahan bilangan organisasi yang beroperasi pada skala yang besar di dalam hampir kesemua sektor perniagaan.
Suasana perniagaan sekarang boleh diumpamakan seperti suasana persaingan sengit di dalam kebanyakan bidang sukan. Punca utama persaingan sengit dalam bidang sukan adalah kerana penggunaan steroid oleh para atlet itu sendiri. Walaupun prestasi ahli sukan meningkat, namun beberapa kesan negatif telah timbul. Di antaranya, kita dapati ramai ahli sukan yang mengambil steroid ini telah menghadapi masalah jantung dan mati lebih awal daripada ahli sukan biasa. Malangnya sekarang ini ramai atlet terpaksa menggunakan steroid kerana ia sudah menjadi amalan biasa di kalangan atlet, dan menjadi syarat untuk mencapai kejayaan terutama sekali di peringkat antarabangsa.
Di dalam dunia perniagaan ‘steroid' kepada organisasi perniagaan ialah dana kewangan yang dipinjam daripada sektor perbankan. Sudah tentu dana ini dapat membantu organisasi perniagaan beroperasi pada skala yang lebih besar, dengan tahap inovasi yang lebih tinggi serta kemampuan pemasaran yang lebih kuat. Namun, apabila semua organisasi melakukan strategi yang sama, iaitu berkembang dengan cara berhutang daripada sektor perbankan, tahap persaingan akan menjadi terlampau sengit. Bahkan kini keadaan menjadi lebih teruk lagi kerana wang sekarang adalah dalam bentuk elektronik dan bukan lagi berbentuk fizikal (sebenarnya hanya 3 peratus sahaja bekalan wang yang berbentuk fizikal). Keadaan inilah yang menyenangkan sektor perbankan mencipta wang baru dengan mudah dan seterusnya menjadi pembekal dana secara hutang kepada sektor perniagaan. Akibatnya jumlah pinjaman kepada sektor perniagaan telah meningkat dengan cepat dan keadaan keberhutangan syarikat perniagaan telah menjadi sangat tinggi.
Akhirnya hampir kesemua organisasi perniagaan terbeban dengan beban hutang yang banyak. Keadaan inilah yang akhirnya memaksa syarikat-syarikat perniagaan mencari jalan untuk mengurangkan kos sebanyak mungkin. Jika tidak, mereka akan terpaksa memindahkan lokasi operasi mereka ke negara di mana undang-undang buruh dan alam sekitar adalah lebih longgar. Kerajaan Indonesia menyedari kemungkinan tersebut dan oleh itu terpaksa bersetuju dengan kehendak dan cadangan agar Undang-undang Omnibus ini diluluskan.
Sebenarnya organisasi perniagaan adalah mangsa kepada sistem kewangan yang menghimpit mereka dengan bebanan hutang serta mewujudkan suasana perniagaan yang sangat mencabar. Untuk memastikan perniagaan mereka boleh kekal wujud dan terus bersaing, akhirnya mereka juga terpaksa ‘menghimpit’ pekerja-pekerja mereka serta mengancam alam sekitar.
Rakyat yang umumnya daripada golongan pekerja merasakan bahawa keadaan ini adalah tidak adil kepada mereka dan oleh yang demikian membantah kerajaan yang dianggap berkomplot dengan pihak organisasi perniagaan yang sedang menzalimi mereka. Rakyat umumnya tidak menyedari bahawa punca kepada keadaan yang menzalimi mereka adalah sebenarnya bukan kerajaan Indonesia semata-mata, tetapi ia adalah berpunca daripada sistem Riba yang zalim yang diharamkan oleh Allah SWT. Namun, jika industri Riba yang mendapat keuntungan daripada memberi hutang ini dibenarkan beroperasi dan berkembang dengan cepat oleh masyarakat Indonesia sendiri, maka akibatnya semua pihak akan berada di dalam keadaan yang lebih tertekan dan sengsara, terutama sekali golongan pekerja.
Berita terkini dari seberang melaporkan bahawa Nahdatul Ulamak atau NU, iaitu sebuah organisasi dakwah terbesar di Indonesia juga telah mengambil keputusan menyokong golongan pelajar dan pekerja untuk menentang kerajaan Indonesia dalam isu ini.
Malangnya, berdasarkan apa yang telah berlaku di Perancis pada tahun 2006 serta di beberapa negara lain, besar kemungkinan usaha mereka akan sia-sia dan kerajaan Indonesia akan terus melaksanakan undang-undang tersebut. Ini kerana kerajaan Indonesia tidak mempunyai alternatif lain untuk memastikan pelaburan akan bertambah dan ekonomi Indonesia akan terus berkembang pada masa akan datang, demi ‘survival’ kerajaan itu sendiri.
Sepatutnya NU, sebagai badan dakwah, menyedari bahawa punca masalah ialah kegagalan masyarakat Indonesia secara umumnya menyekat perkembangan industri Riba yang bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, di samping menyuarakan tentangan terhadap undang-undang baru ini, NU sepatutnya memfokuskan usaha untuk mendidik masyarakat Indonesia tentang bahaya industri hutang atau Riba sebagai penyelesaian jangka panjang. NU juga perlu melakukan usaha dakwah dan tarbiah supaya nilai ahli masyarakat Indonesia dapat diubah supaya tidak mengejar dan mengagungkan kebendaan serta kemajuan material semata-mata kerana nilai sebeginilah yang menjadi faktor kepada perkembangan industri Riba di Indonesia.
Kegagalan mengenalpasti punca masalah ini bermakna masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Walaupun undang-undang yang diluluskan akan memastikan pelaburan bertambah dan ekonomi negara Indonesia berkembang, terutama sekali apabila Pandemik Covid-19 berakhir nanti, namun ia akan disusuli oleh pertambahan tekanan hidup dan kesengsaraan di kalangan rakyat biasa, seperti yang sedang berlaku di negara-negara lain termasuk di Malaysia.
Protes dan demonstrasi terhadap kerajaan tidak akan mengubah keadaan yang sedih ini. Bahkan kemungkinan besar ia akan berakhir dalam masa beberapa minggu lagi apabila para pemprotes sendiri kepenatan. Apa yang boleh mengubah keadaan dalam jangka panjang adalah usaha dakwah dan tarbiah serta kesedaran tentang ancaman daripada perkembangan industri hutang dan Riba.