Saturday, May 4, 2013

PRU13... nak undi siapa ye?

Esok, 5 Mei adalah tarikh yang sangat penting untuk warganegara Malaysia. Mereka akan mengundi untuk menentukan siapakah yang paling layak dilantik menjadi pemimpin mereka untuk tempoh lima tahun akan datang. Perlantikan pemimpin adalah satu perkara yang sangat penting kerana keputusan-keputusan dan polisi yang digubal oleh parti yang memimpin negara akan memberi kesan yang sangat besar kepada semua aspek kehidupan masyarakat, seperti harga makanan, yuran sekolah, harga rumah, apa yang diajar oleh guru kepada anak-anak di sekolah, cukai pendapatan yang perlu dibayar dan banyak lagi aspek kehidupan kita sehari-hari.

Di Malaysia, keputusan untuk mengundi kumpulan mana, yakni sama ada BN atau PR mungkin boleh mengelirukan ramai orang (saya mengandaikan semua sedar bahawa adalah tidak cerdik atau waras untuk memberi undi kepada selain dari dua kumpulan di atas kerana calun bebas atau kumpulan lain tidak mampu membentuk sebuah kerajaan). Ini kerana hujah yang diberikan kekadang adalah sama saja. Sebagai contoh, bukan sahaja PAS yang mengatakan bahawa menyokong mereka adalah penting untuk kepentingan Islam, BN juga menyatakan perkara yang sama. Yakni BN juga mengatakan bahawa merekalah yang sebenarnya sangat peka dengan kepentingan Islam dan boleh dipercayai untuk melindungi kedudukan Islam dan umat Islam di Malaysia. Kepada orang bukan Islam, kedua-dua BN dan PR menyatakan bahwa merekalah yang akan melindungi hak-hak mereka sebagai kumpulan minoriti di negara ini.

Bagi saya secara peribadi, ada beberapa perkara penting yang saya akan kaji berkenaan sama ada BN atau PR layak memegang tampuk pemerintahan di negara ini seperti berikut:
1. Ketelusan. Ketelusan penting kerana ini akan menjamin tidak akan wujud pembaziran sumber negara dan tidak wujud penyalahgunaan kuasa. Siapakah yang lebih menekankan ketelusan, BN atau PR? Siapakah yang cuba menyekat maklumat tentang perbelanjaan kerajaan dan maklumat tentang keputusan-keputusan lain dari diketahui oleh rakyat biasa?
2. Keadilan. Keadilan dari aspek Islam adalah satu prinsip yang sangat penting dan disebut di dalam ayat-ayat Al Quraan seperti berikut.“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)
Keadilan dalam Islam bukan sahaja merujuk kepada aspek antara penyokong parti (sebagai contoh tidak menganiaya penyokong parti lawan), bahkan juga antara keturunan, warna kulit dan agama. Yakni kita tidak boleh menzalimi orang bukan Melayu semata-mata kerana mereka bukan dari darah keturunan Melayu.
3. Amanah. Ini juga ditekankan oleh ayat yang sama: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak...(al-Nisa (4): 58). Apabila kumpulan yang memerintah tidak amanah, maka akan banyak berlaku kes pecah amanah oleh pemimpin, kes rasuah dan mencuri harta rakyat untuk kepentingan peribadi dan keluarga.
4. Akhlaq. Akhlaq yang baik juga perkara yang ditekankan oleh Islam. Dalam satu hadis, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.). Siapakah yang lebih menunjukkan akhlaq yang baik... pemimpin BN atau PR. Sudah tentu ada di kalangan pemimpin kedua-dua belah pihak yang telah mempamerkan akhlak buruk. Tetapi persoalannya ialah dari kalangan pemimpin, pengikut dan penyokong BN atau PR, siapa yang lebih ramai berakhlak buruk, sebagai contoh suka menipu, suka berpesta mengikut cara barat, suka mencuri duit rakyat, suka menunjuk kemewahan yang melampau-lampau seperti rumah mewah dan kereta mewah. 
5. Keterbukaan. Keterbukaan penting kerana ini bermakna kumpulan yang memerintah akan boleh menerima kritikan dan pandangan dari rakyat dan dari bijak pandai dalam masyarakat. Tetapi jika bijak pandai dipertakutkan sehingga takut untuk bersuara, maka idea atau pendapat yang bernas tidak akan muncul. Siapa dari kalangan BN atau PR yang menakutkan kakitangan kerajaan dari bersuara dan mengkritik polisi kerajaan.
6. Demokrasi. Di dalam Islam demokrasi atau musyawarah adalah penting sekali seperti firman Allah ."... dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya" (AsSyuraa 42:38). Siapakah di antara BN dan PR yang lebih gemar menguatkan sistem demokrasi, yang suka memastikan bahawa proses pilihanraya dijalankan dengan betul dan tanpa sebarang penipuan?
7. Kepentingan rakyat. Dalam Islam, pemimpin adalah juga khadam rakyat. Tujuan pemimpin dilantik bukannya untuk memastikan pemimpin atau keluarga mereka akan menjadi senang dan kaya raya. Tujuan pemimpin dilantik ialah untuk memastikan semua rakyat sejahtera. Di antara BN dan PR, kumpulan manakah yang telah terbukti sangat berminat untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka semata-mata?

Rasanya tujuh perkara di atas sudah cukup untuk membantu kita membuat keputusan sama ada hendak menyokong kumpulan PR atau kumpulan BN.

Akhir sekali mungkin ada yang keliru berkenaan isu kerjasama antara kumpulan orang Islam dan orang bukan Islam. Ini tidak relevan sebenarnya sebab kerjasama antara orang Islam dan bukan Islam berlaku di kedua-dua belah pihak, yakni BN dan juga PR. Lagipun ini tidak salah dari segi Islam selagi yang bukan Islam itu bukannya dari kalangan yang memusuhi atau memerangi Islam. Rasulullah SAW pernah berkerjasama dengan golongan bukan Islam seperti semasa beliau berhijrah dan juga semasa beliau memerintah Madinah.

Selamat mengundi saya ucapkan kepada semua pembaca blog ini! Semoga Allah memelihara negara kita dalam keadaan aman dan sejahtera.


9 comments:

  1. Info yang sangat berguna. tq.

    ReplyDelete
  2. berpandukan elemen2 di atas,hanya 1 pihak saje yg layak diundi.

    ReplyDelete
  3. Accountability, Prof! And in my honest opinion, we have completely lost our trust in so many things - our leaders, public policies, and more importantly, each other.

    I was your student at MGSM (now GSM or Putra Business School?).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yes, i agree. Accountability is very important.

      Delete
  4. Alhamdulillah.. Blog prof sangat membantu... Boleh kiranya jika saye ade soalan saye terus komen disini prof.?

    ReplyDelete
  5. ni pro pembangkang ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa saudara cakap camtu? Adakah kerana saudara rasa pemimpin BN tidak memiliki ciri2 seperti ketelusan, keadilan, amanah, akhlaq dan ciri lain yang baik ke?

      Delete
  6. Prof. Nazari, sebagai seorang pakar ekonomi, apa pendapat Prof. berkenaan Trans Pacific Partnership Agreement (TPP)?

    Boleh buat 1 entry baru, mungkin. Thanks Prof.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.